loading...

Tuesday, 6 October 2020

Guru rugi RM1.1 juta, peniaga rugi RM93,806 akibat diperdaya Macau Scam

Seorang guru wanita rugi mengalami kerugian lebih RM1.1 juta akibat terperdaya dengan individu yang tidak dikenali menyamar sebagai pegawai polis. 


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa berusia 49 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu semalam. 


Dalam keterangan mangsa mendakwa, dia menerima panggilan telefon dari 'pegawai polis' terbabit yang memaklumkan keretanya terbabit dalam kemalangan maut dan kegiatan wang haram. 


Suspek yang dipercayai ahli sindiket Macau Scam itu juga mengarahkan mangsa membuka dua akaun bank miliknya dan memasukkan nombor telefon yang diberi oleh suspek sebagai nombor telefon pemilik akaun. 


Mangsa akur dan memindahkan wang simpanannya ke dalam nombor akaun yang diberi oleh suspek kononnya bagi tujuan siasatan, selain diarahkan untuk menyediakan wang jaminan di mana mangsa membuat pinjaman peribadi di beberapa bank dan wang tersebut dimasukkan ke akaun yang diberi suspek. 


Mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu segera membuat laporan polis. 


Siasatan mendapati, nombor telefon yang digunakan oleh suspek sememangnya nombor dari agensi berkaitan tetapi sindiket itu menggunakan teknik 'spoofing' agar mangsa terperdaya. 


Sementara itu dalam satu lagi kes berasingan, seorang peniaga wanita juga mengalami kerugian RM93,806 kerana terperdaya dengan beberapa individu yang menyamar menjadi kakitangan pos dan pegawai polis. 


Mangsa yang berusia 40 tahun mendakwa, wang simpanan dalam akaun banknya lesap dan hanya tinggal baki RM80.63 selepas berurusan dengan 'Inspektor Baharu' kononnya mahu membantunya menyelesaikan satu kes bagi mengelakkan dia ditangkap. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dihubungi suspek wanita yang menyamar menjadi kakitangan pos pada 21 September lalu memberitahu ada kiriman di atas nama mangsa yang dikirim dari Kedah ke Seremban. 


Pada awalnya mangsa menafikan tetapi suspek memberitahu kemungkinan identiti mangsa telah disalahgunakan. 


Suspek kemudian berpura-pura menyambungkan panggilan itu ke IPK Seremban untuk semakan dan tak semena-mena nama mangsa berada dalam senarai individu yang dikehendaki atas kegiatan pengubahan wang haram. 


Mangsa dimaklumkan waran tangkap telah dikeluarkan dan dia diminta berurusan dengan seorang anggota berpangkat sarjan untuk tindakan lanjut. 


'Inspektor Baharun' meminta mangsa membuka akaun bank baharu sebagai akaun perlindungan dari pihak mahkamah dan semua wang simpanannya dipindahkan ke akaun tersebut.


Selain itu, mangsa diarahkan membuat kad bank menggunakan nombor telefon dan pin yang diberi oleh 'Inspektor Baharun', kononnya semua akaun bank mangsa akan dibekukan. 


Suspek meminta mangsa merahsiakan perkara itu sehingga siasatan selesai. 


28 September, seorang lelaki menyamar sebagai pegawai audit menghubungi mangsa dan memintanya memindahkan RM20,000 sebagai jaminan ke akaun bank miliknya.


Namun mangsa tidak menuruti arahan itu dan membuat semakan di akaun bank baharunya itu. Alangkah terkejutnya mangsa apabila dia mendapati wang simpanannya dalam akaun itu lesap dan hanya tinggal baki RM80.63. 


Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Sumber: Harian Metro, Sinar Harian



from The Reporter https://ift.tt/3lldNzs
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/30zuqiI
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...