loading...

Thursday, 5 September 2019

Pengantin tanggung malu, dah bayar RM8,000 tapi katering tak sediakan makanan untuk tetamu


Pasangan pengantin baru terpaksa menanggung malu apabila pihak katering yang telah dibayar gagal menyediakan makanan pada hari majlis berlangsung. 

Bukan itu sahaja, malah pihak yang sama turut menyediakan khemah yang tidak sempurna untuk tempat makan para tetamu majlis. 

Nur Azizi Sulaiman, 28, berkata, dia mengenali pemilik katering (wanita) itu dari Facebook dan bersetuju mengambil pakejnya yang berjumlah RM8,000.

Pakej: 
  • Makanan
  • Khemah
  • Jurugambar
  • Juruacara
  • Pelamin
  • Baju Pengantin
  • Makeup

23 Jun, Nur Azizi berjumpa dengan wanita itu di Seremban dan membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM2,000 secara tunai. 

26 Jun, Nur Azizi membayar transaksi online kepada pemilik katering RM1,500. 

15 Julai, Nur Azizi membuat pindahan wang sebanyak RM4,500 dan jumlah keseluruhan amaun yang telah dibayar ialah RM8,000. 

Tiga hari sebelum majlis yang akan diadakan di rumah pengantin lelaki di Kampung Teru, Tampin iaitu 1 September, beberapa pekerja katerer itu datang ke rumahnya untuk memasang empat khemah, sedangkan dalam pakej yang dipersetujui menyatakan lima khemah akan dipasang. 

Nur Azizi menghubungi wanita itu yang memberi penjelasan khemah kelima akan dipasang pada keesokan harinya. Tetapi janji tinggal janji, khemah kelima langsung tidak dipasang. Lebih teruk lagi, tiada sebarang hiasan pada khemah tersebut, hanya khemah semata-mata, termasuk meja pengantin juga tidak dihias. 

Pada pagi hari majlis, pemilik katering itu ada menghubungi Nur Azizi, meminta pengantin menyediakan makanan sendiri untuk tetamu dan memberi pelbagai alasan apabila ditanya mengenai hal khemah dan hiasan. 

Dalam pada itu juga, hanya jurukamera, jurumekap dan juruacara sahaja yang datang bertugas, tetapi mereka belum menerima bayaran daripada wanita terbabit. 

“Saya ketika itu buntu sebelum menghubungi pihak katering yang menyediakan makanan ketika kenduri di rumah pengantin perempuan dan katering berkenaan setuju membantu saya menyediakan nasi ayam bagi 300 tetamu saja.

“Ketika itu saya berada di hotel dan mendapat tahu keluarga dan saudara-mara bertungkus-lumus membeli lauk mentah dan menyediakan makanan kepada tetamu kerana wanita itu tidak tiba dengan makanan yang dijanjikan.

“Sehingga ke lewat petang, wanita itu tidak muncul namun berjanji ke rumah kami. Dalam masa sama pelbagai alasan diberikan dan kira-kira jam 12 tengah malam, saya membuat laporan polis di Balai Polis Tampin,” katanya.

Meskipun sedih dan terkilan dianiaya pemilik katering yang tidak bertanggungjawab, Nur Azizi bersyukur kerana semua keluarganya membantu menjayakan majlis itu. 

Difahamkan, sudah ramai yang menjadi mangsa pemilik katering itu, tetapi tiada yang mahu membuat laporan polis dan mengheretnya ke muka pengadilan. 

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan kes itu dipindahkan ke IPD Seremban untuk tindakan lanjut. 

Sumber: Harian Metro


from The Reporter https://ift.tt/30UzRXO
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2PMNJ5g
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...