Seorang murid sekolah di Likas, Sabah, telinga kirinya diketip dengan dawai kokot (stapler) oleh guru kerana gagal menyiapkan kerja sekolah Matematik yang diberikan.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa, Amir Shafuan Bahram (Tahun Empat) itu mengalami pendarahan di telinga kerana tindakan melampau guru terbabit.
Amir dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk mendapatkan rawatan dan keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Ibunya, Shuaila Madidy, 32, hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh kakaknya ketika mengambil mangsa yang baru keluar dari sekolah pada jam 11.30 pagi.
"Saya ada tanya dia kenapa menangis, tetapi dia hanya jawab tiada apa-apa. Namun saya terkejut melihat ada tompokan darah pada baju sekolah sebelum kakak saya memberitahu bahawa telinga anak saya diketip dengan dawai kokot oleh guru di sekolah berkenaan.
"Saya kemudian membawa Amir menemui guru terbabit dan bertanya mengapa dia bertindak sedemikian dan guru wanita itu mengatakan Amir tidak menyiapkan kerja sekolah Matematik yang diberikan.
"Saya tanya mengapa perlu bertindak mencederakan anak saya, guru itu hanya mendiamkan diri," katanya memetik laporan dari Sabah Post.
Shuaila juga melaporkan perkara itu kepada guru besar dan beliau memaklumkan akan menyiasat kejadian tersebut dan berkata terpulang kepada ahli keluarga untuk membuat laporan polis.
"Anak memaklumkan guru terbabit mengetip dawai kokot di telinga kiri sebelum guru itu mencabut semula dawai kokot tersebut yang menyebabkan pendarahan," katanya.
Shuaila menjelaskan bukan anaknya tidak mahu menyiapkan kerja sekolah yang diberikan, tetapi Amir tidak tahu cara untuk membuatnya.
"Jadi guru itu perlu membimbingnya dan bukan bertindak keterlaluan dengan mengetip telinga anak saya," katanya.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap mengenai kejadian itu yang sedang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Sementara itu, Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan keraja sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.
Sumber: Astro Awani, Sabah Post
from The Reporter https://ift.tt/2mLQ5DQ
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2m8frv6
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment