loading...

Saturday 6 April 2019

'Jangan harap aku duduk kat bilik tu lagi!'

Sekadar perkongsian untuk bacaan suka-suka. Bagi mereka yang lemah semangat dan mudah terbayangkan perkara yang tidak sepatutnya, anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan bacaan. Risiko tanggung sendiri. Gambar-gambar yang digunakan juga hanyalah sekadar hiasan sahaja. Selamat membaca.


Aku dan keluarga menetap di Gombak, memang dari kecil aku dibesarkan di perkarangan hutan. Jiran kami pula tinggal jauh 500 meter dari rumah kami. Biasanya, binatang liar ini sudah biasa jumpa, ular, lipan, ulat gonggok gergasi, beruk dan binatang yang pelik-pelik pun ada cuma jarang jumpa. Kebanyakkan binatang-binatang inilah yang kami selalu harus berjaga-jaga supaya kami selamat dari gigitan yang berbahaya.

Nak dimulakan cerita, sebelum bulan puasa tahun lepas aku mengajak kawan-kawan aku datang ke rumah untuk berkhemah dan berseronok, biasalah orang muda. Menyanyi-nyanyi sambil diiringi bunyi gitar irama twist dan makan-makan BBQ. Mestilah, dah enjoy takkan tak lapar kot. Rumah aku ini pula bersebelahan dengan sungai Gombak, tapi pada masa itu musim kemarau, jadi air sungai pon surut macam air longkang mengalir je. Banyak ikan-ikan mati kelemasan, hahaha maksud aku lemas di udara.

Kami semua berlima, masih lagi berseronok sampai 2 pagi. Salah seorang dari rakan kami ini memang budak acah-acah bandar sikit nama dia Faiz (bukan nama sebenar). Biasalah, dalam hutan perbuatan dan pertuturan kena jaga tapi yang dia ini mulut tak reti cover pergi cakap bukan-bukan kononnya tak percayalah hantu-hantu ini semua. Kau sabar jap!! 

Beberapa jam lepas itu, kami lepak dalam satu bilik berlima masing-masing buat aktiviti sendiri. Seorang main game, seorang main gitar ditonton oleh seorang lagi rakan, yang Faiz ini pula menyanyi dengan seronoknya. Faiz ini menghadap ke arah tingkap kaca. Bilik itu kecil je, bilik orang bujang. Aku duduk di depan pintu masuk sebab nak hirup angin segar sambil scroll phone.

Tengah aku leka tengok phone, tiba-tiba Faiz ini tunjuk-tunjuk dekat tingkap di hadapan dia tu sambil tanya “Apa tu!?”. Tercampak gitar member sorang, dua lagi dah berpelukan. Aku yang baru perasan sebab leka sangat dengan phone tengok semua berpelukan sambil menjerit berulang kali macam nak kena tarik nyawa pula. 


Aku pandang apa yang ditunjuk-tunjukkan itu, tapi aku pandang kat tingkap lagi satu, cerita dia aku tak nampaklah makluk apa yang dia tunjuk itu. Dalam sangkaan aku, mereka ini nampak ular besar ke apa. Sebab memang banyak kali kes kat bilik aku ini ular melingkar kat tingkap ini. Aku peliklah kenapa nampak ular boleh terkaku diorang ini. Memang berlarilah aku, alang-alang dah dekat depan pintu. Panjang langkah aku buka.

Faiz ini pula dah nampak aku cabut dia pun kejar aku. Tak sampai 5 meter aku lari, Faiz terkam aku sebab ketakutan dan kami berdua jatuh depan bilik itu. Faiz lagi menjerit sekuat-kuatnya, yang kesiannya aku masih lagi “blurr”. Aku tengok rakan aku lagi 3 orang masih lagi kaku berpelukan di dalam bilik itu. 

Tiba-tiba sense aku sampai aku berkata dalam hati “Ini bukan benda biasa yang diorang nampak, mesti hantuuuu”. Aku pun bangun balik tapi Faiz dah peluk aku kuat jadi aku tak boleh bergerak. Aku keraskan juga bangun berlari balik ke bilik dan peluk semua yang ada kat situ. Faiz terjatuh-jatuh berlari sampai luka kepala dan lutut, longlai agaknya kaki dia dah nampak benda itu. Baru aku tahu maksud lari tak cukup tanah, bila lari tu badan rasa terapung-apung macam tak cukup tanah nak pijak.

Datanglah ayah aku dengan jiran-jiran dekat situ sebab dengar pekikan kami. Malunya, lima lelaki lima-lima tak ada telur hahaha. Aku lagilah tak nampak pun demam jadinya. Aku tanya apa yang mereka nampak, mereka nampak pocong tapi pocong tersebut tak lompat pon dia macam terbang rapat di tingkap perlahan je dari sudut pandangan tepi menuju ke bumbung bilik tingkat bawah. Untuk pergi ke arah bumbung bawah memang tak ada laluan pun dekat situ sebab jalan mati. Menurut mereka lagi pocong itu pendek je. Takut aku nak sambung lagi sebab kejadian itu berlaku di mana tempat aku tengah menulis cerita ni. Grrrrrr.....

Belum habis lagi, esoknya selepas kes itu, aku tak duduk di bilik itu. Jangan harap!!! Tapi ayah aku ini berani orangnya, berimanlah sikit dari aku. Dia lagilah macam-macam jumpa semasa mula-mula nak naikkan rumah ini, sampai seminggu kena rasuk seorang-seorang pun pernah terjadi. Ayah aku pun beranikanlah diri untuk tidur di bilik aku supaya aku tak takut lagi bila bilik itu masih boleh dihuni. (Aku dah kat ketiak mak) anak manja mak hahahah.

Nak dijadikan cerita, ayah aku dah tidur, tiba-tiba terdengar bunyi dengkuran seperti bunyi kucing berdengkur. Makin lama makin kuat sampai bunyinya betul-betul di telinga ayah aku, ayah aku pun buka mata ZUPPPP!!! Gelap tiba-tiba dan badannya tak boleh bergerak seperti dihempap sesuatu yang berat. Ketika itulah dia menjerit sekuat-kuat hati sampai tak ada suara. Tapi suara dia tak kedengaran langsung oleh kami satu keluarga.

Hari kedua kami semua keluar sebab ada hal masing-masing. Ayah aku baru balik dari masjid, sampai je depan rumah, dia dengar bunyi riuh dalam bilik aku macam bunyi orang-orang sedang berpesta. Ayah aku masuk bilik aku itu terus hilang suara tadi. Dia pun buat tak tahu je. 

Hari ketiga selepas kejadian, kami panggil orang kampung dan orang masjid untuk adakan bacaan yassin, doa selamat dan solat jemaah, Kiayi dari Indonesia pun kami jemput sekali. Pada malam itu juga, berlaku sesuatu. Kami memang ada sediakan toilet di luar untuk para tetamu, teman baik kiayi itu selaku ustaz juga dikejar oleh lembaga hitam yang besar bermata merah dan dia menceritakan pada ayah aku. Kami bertekad untuk memagar rumah dengan ayat-ayat suci Al- Quran.

Kami sekeluarga pelik, sekian lama kami tinggal aman je, tapi tiba-tiba musim kemarau tahun itu rumah kami diganggu mahluk halus selama 4 hari berturut. Selepas dipagar, Alhamdulillah tiada lagi bunyi pelik dan bunyi pesta muda mudi lagi di rumah aku. Aku difahamkan bahawa sungai atau benda yang berunsurkan aliran air adalah laluan jin dan syaitan. Mungkin ketika itu sungai Gombak terlampau kering jadi jin-jin itu tak boleh bergerak kemana-mana dan singgah di rumah aku. Tentang rakan-rakan aku yang nampak kelibat pocong itu tidak lagi ke rumah aku malah aku call pun tak pernah dapat.

Pengajaran dalam cerita benar dari aku ini adalah jangan terlalu sombong dan bercakap besar, lebih-lebih lagi bila di tempat seperti hutan, sungai dan lembah atau di tempat orang. Sekali dia tunjuk lari kau!! Percayalah bahawa alam ghaib itu wujud, dalam Al-Quran juga telah menceritakan banyak tentang jin dan syaitan. Apabila kita menafikan Allah buktikan kepada kita kebenaran Al-Quran itu. Moga terhibur dengan cerita aku ini. Assalamualaikum kawan-kawan jangan lupa solat.

Sumber: Namaku Rahsia

Hantarkan kisah seram anda ke emel thereportermyofficial@gmail.com


from The Reporter http://bit.ly/2KgJZ9h
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://bit.ly/2G0Jdrw
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...