loading...

Wednesday, 2 January 2019

'2-3 hari tak mahu makan dan minum susu, dia menangis mencari ibunya' - Sayu, si ibu meninggal selepas melahirkan anak kedua


"Dua tiga hari dia tidak mahu makan dan minum susu. Dia berlari ke dapur mencari ibunya. Lepas itu menangis, kerana tidak jumpa," demikian kata jurutera kilang di Alor Gajah, Melaka, Mohd. Hasbullah Mohamed Yasin, 32, menceritakan keadaan anak perempuan sulungnya selepas kehilangan ibu 10 hari lalu. 

Nurul Huwaina Arissa, 1 tahun 4 bulan, begitu merindui ibunya yang mesra dengan panggilan 'mama' dan tidak mengerti bahawa ibu kesayangannya itu telah pergi buat selama-lamanya. 

Nurul Shuhadat Mohd. Daud, 32, ustazah dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, Melaka, meninggal dunia semasa melahirkan anak keduanya, Muhammad Hayyan, di Hospital Besar Melaka. 

Muhammad Hayyan selamat dilahirkan pada jam 12.21 tengah malam, 22 Disember lalu dengan berat, 3.17 kilogram. 

"Nurul Huwaina memang rapat dengan ibunya. Setiap malam dia akan tidur berpelukan dengan arwah isteri. Dia masih kurang mengerti bahawa ibunya sudah pergi buat selama-lamanya. Dua ke tiga hari selepas ibunya meninggal dia tidak lalu makan dan minum susu. 

"Dia berlari ke dapur mencari ibunya, melihat ke kerusi yang selalu ibunya duduk tetapi tidak berjumpa. Selepas itu dia akan menangis kerana tidak jumpa. Malah, apabila terjaga pada tengah malam dia akan memanggil mamanya," katanya ketika ditemui di Kampung Kebakat di sini semalam.

Menurut Mohd. Hasbullah, selepas isterinya melahirkan anak kedua mereka, keadaan Nurul stabil dan arwah beriya-riya mahu memberikan nama kepada bayi lelaki itu. 

"Saya sempat azan dan iqamat di telinga anak kedua sebelum doktor mengarahkan saya keluar untuk prosedur seterusnya. Kira-kira jam 2 pagi, pihak hospital memaklumkan keadaannya stabil dan perlukan rehat. 

"Kira-kira jam 3, dia koma dan terus tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia. Doktor memaklumkan punca kejadian berpunca daripada darah beku menyerang paru-parunya," katanya. 

Jenazah Nurul kemudian dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Selehor, Kok Pasir. 

Mohd. Hasbullah kini bercadang mencari pekerjaan di Kelantan dan mahu memastikan dua anaknya itu mendapat perhatian dan kasih sayang yang mencukupi semasa membesar. 

"Isteri ini jodoh yang baik dengan saya, dia amat mengambil berat tentang saya. Sifat penyayangnya itu terhadap keluarga ini akan sentiasa dirindui. Dia pergi dalam keadaan mengejut namun saya tetap reda.

"Ini dugaan ketiga buat keluarga saya, pada Mac tahun lalu bapa saya, Mohamed Yasin Mohamed meninggal dunia diikuti kakak sulung, Norhayati pada Ogos lalu meninggal akibat demam denggi berdarah di Hospital Selayang," katanya.

Sumber: Kosmo!


from The Reporter http://bit.ly/2F4APJF
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://bit.ly/2Asa2mt
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...