loading...

Wednesday, 7 February 2018

'Tak sangka dia tipu dan khianat saya' - Pasrah ditipu bakal isteri, lelaki rugi RM30,000


Seorang lelaki bujang terpaksa berputih mata menanggung kerugian sebanyak RM30,000 selepas diperdaya teman wanitanya sendiri. 

Mangsa, Muzaffar, 32, berkata, dia mengenali teman wanitanya itu dari kenalannya sejak empat tahun yang lalu tidak menyangka gadis yang mempunyai sifat yang baik, lemah lembut serta sering berhubung dengannya melalui telefon bimbit dan WhatsApp itu tergamak menipunya. 

"Permulaan perkenalan kami pada tahun 2014. Dia tidak bekerja dan hanya duduk di rumahnya di Kampung Demit, Kubang Kerian. 

"Sifatnya yang alim dan sering memberi peringatan mengenai solat, manja dan lemah lembut membuatkan saya terjatuh hati kepadanya," katanya. 

Muzaffar berkata, gadis itu pernah meminta tolong memasukkan duit ke dalam akaun bank kerana dia memerlukan wang belanja. Oleh kerana sayang dan percaya, Muzaffar menurut saja kehendak gadis itu. 

"Saya masukkan duit dalam akaun milik rakannya secara berperingkat sehingga jumlahnya mencecah RM30,000. 

"Saya tidak pernah sangsi mahupun ragu yang dia akan menipu dan mempermainkan perasaan saya.

"Sehinggalah pada tahun 2016, dia akhirnya mendapat kerja sebagai pembantu taska di Bangi dan saya ada bertemu dengannya sekali di tempat kerjanya. 

"Kemudian kami bersetuju mengikat tali pertunangan dan saya menghantar rombongan meminangnya pada 2 Januari di rumah keluarganya. 

"Sehinggalah sebelum tarikh merisik dan meminang, saya ada masukkan RM3,000 secara berperingkat dalam akaunnya atas alasan kononnya dia mahu menempah dua bentuk cincin termasuk cincin merisik dan bertunang serta menempah sebiji kek untuk majlis merisik dan bertunang itu. 

"Dia juga berjanji akan menempah rumah tumpangan untuk saya dan keluarga menginap. 

"Sehari sebelum menghantar rombongan meminang, saya menghubunginya dan berjanji akan bertemu dengannya di depan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum dia membawa rombongan kami ke rumahnya," katanya. 

Malangnya bila tiba pada hari yang ditunggu-tunggu itu, Muzaffar dan keluarganya yang baru sampai di kawasan rehat Gua Musang tidak dapat menghubungi teman wanitanya itu. Malah telefon bimbitnya juga telah dimatikan. 

"Saya cuba menghubungi kedua-dua nombor telefon miliknya. Namun mesej WhatsApp saya telah disekat. Malah dia gagal dihubungi. 

"Memang pada mulanya saya berasa tidak sedap hati tetapi nekad meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke Kota Bharu dan sekali lagi cuba menghubunginya, namun masih gagal," katanya. 

Sehubungan itu, Muzaffar nekad pergi ke sebuah pasar raya berhampiran dan bertanyakan sama ada mereka pernah terserempak atau mengenali bakal isterinya itu. Tetapi jawapan yang diterima menghampakan. 

"Akhirnya pekerja kedai itu membawa saya dan rombongan ke masjid mukim Demit untuk bertemu dengan penghulu dan imam di masjid itu. 

"Selepas diselidik mengenai teman wanita saya itu, penduduk, imam dan ketua kampung akui tidak pernah mengenalinya malah keluarganya juga. 

"Puas saya bersuaha sehinggalah hari semakin gelap dan melihat saya dalam keadaan buntu, penghulu di kawasan itu menawarkan kami tinggal di rumah tumpangan berdekatan," katanya. 

Muzaffar mengakui dia terkilan dengan tindakan teman wanitanya itu yang mengkhianati hubungan mereka. 

Susulan kejadian itu, Muzaffar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa pada 3 Januari lalu. 

"Kejadian ini benar-benar menjadi pengajaran kepada saya. Walaupun masih terkilan dengan tindakannya itu, namun saya masih bersifat positif dengan menganggap kejadian ini sebagai ujian dan selepas ini saya akan lebih berhati-hati. 


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Ibrahim Sharif mengesahkan menerima laporan dari mangsa dan kes disiasat untuk tindakan lanjut. 

Sumber: Sinar Harian


from The Reporter http://ift.tt/2BfnH1x
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2E6E0ML
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...