loading...

Monday, 19 February 2018

Isteri bukan hamba abdi tidak bergaji, suami perlu berubah dan didik anak lelaki buat kerja rumah


Sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah ibu bapa mengajar anak secara tidak langsung bahawa tugas-tugas menguruskan hal-hal rumah dilakukan oleh ibu atau adik beradik perempuan lain, menjadikan anak-anak lelaki 'lepas tangan' begitu sahaja. 

Budaya yang tidak bagus ini kemudian diamalkan sehingga anak-anak pula mendirikan rumahtangga dan yang menjadi mangsa seterusnya adalah si isteri yang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja rumah seorang diri, sementara si suami hanya 'goyang kaki'. 

Tidak sedarkah si suami telah menjadikan isterinya sendiri sebagai 'hamba abdi'? Baca teguran dari Puan Intan Dzulkefli ini, semoga membuka mata anda dan berubahlah sementara masih sempat. 

SAYA kagum sungguh melihat wanita yang masih mampu me'raja'kan semua kaum lelaki di dalam rumah. Makan dihidangkan, air basuh tangan dihulurkan, nasi dicedokkan, air minum dituangkan. Fuh, pendek kata semuanya disediakan di depan mata, cuma makan sahaja yang tidak disuapkan.

Selepas makan, pinggan sekadar ditinggalkan atas meja. Bangunlah masing-masing meninggalkan meja berselerak. Termangulah kaum wanita ibarat cicak berak kapur. Sudahlah tadi penat memasak, kemudian sambung pula tugas membasuh pinggan bertimbun. Dari memasak, membasuh pinggan dan pakaian, menyapu, bahkan kadang nafkah diri sendiri pun diri sendiri yang tanggung. Sungguh saya kagum!

Selalu terlihat, si emak baru nak menyuap nasi setelah penat uruskan itu ini, datang si bapak minta bersihkan buntut anak yang berak. Sedangkan si bapak tadi tiada apa hal pun nak dibuat. Sebabnya dalam masyarakat telah dibiasakan bahawa uruskan anak-anak sepenuhnya tugas isteri. Tugas lelaki hanya penyumbang air mani sahaja.

Betulkah begitu? Maaf, saya tidak sesabar itu.

Saya melihat sendiri natijahnya kerana terlalu memanjakan kaum lelaki. Apabila si emak jatuh sakit berminggu, akhirnya berlonggoklah pinggan mangkuk, baju kotor semuanya yang hanya dibersihkan semula setelah si emak tadi beransur sihat. Bayangkanlah betapa masing-masing tidak tahu bertanggungjawab. 

Puncanya? Sebab tidak dibiasakan buat kerja rumahtangga sejak dari kecil. Sebab dibiasakan bahawa semua itu tugas hakiki orang perempuan.

Wahai emak, sedarlah kita tidak selamanya kuat dan sihat. Memang kita sayang anak-anak, tetapi sebab sayang itulah kita perlu ajar mereka buat kerja rumah. Ajarlah anak-anak kita agar ringan tulang dan tahu tanggungjawab.

Wahai isteri, kita tidak selamanya ada banyak masa untuk melayan lelaki seperti raja, semakin lama berkahwin, semakin bertambahlah komitmen kita. Ustaz Kazim dan Datuk Fadzilah Kamsah sendiri pernah berpesan, didik suami untuk sama-sama uruskan urusan rumahtangga sejak dari hari pertama kita halal untuknya.

Rumahtangga ini rumahtangga kita bersama, maka perlukan usahasama setiap dari kita. Jangan kelak kita tak ubah seperti hamba abdi yang tidak bergaji. Waktu itu, kesal pun sudah tidak berguna lagi.

Sedar atau tidak, budaya inilah antara faktor yang menyumbang kepada golongan suami yang lepas tangan dalam urusan rumahtangganya seperti yang berlambak kita lihat hari ini.

Ubahlah. Ubah!

Apa yang perlu kita lakukan untuk mengubah budaya ini? Saya percaya jika kita mahu mengubah sesuatu, ubahlah dari diri sendiri, pasangan, anak-anak dan keluarga. Semuanya bermula dari pendidikan awal kanak-kanak semasa bersama keluarga.

1. Para ibu bapa perlu mengajar anak lelaki sama-sama menyediakan meja sebelum waktu makan. Ambillah bahagian tidak kisahlah apa sahaja kerja, perlu involve. Banyak saja kerja, ceduk nasi, ceduk lauk, ambil sudu, ambil pinggan dan cawan, siapkan air dan lain-lain. Sesekali minta anak lelaki yang mencedukkan nasi dan tolong serve untuk family makan. Mintanya mengetuai bacaan doa makan juga.

2. Ajar anak lelaki menghantar pinggan ke sinki dan tolong kumpulkan pinggan bagi sesiapa yang sudah selesai makan. Contohnya semasa dia sudah selesai makan, nampak emak dan ayahnya sudah habis makan, ajarnya untuk volunteer menghantar pinggan mereka juga ke sinki dan mencucinya. Sesekali tetapkan gilirannya untuk membasuh semua pinggan kotor keluarga hingga selesai.

3. Ajar anak lelaki sentiasa mengutamakan orang lain dalam mengambil giliran hidangan makanan, tidak gelojoh dan gopoh serta tidak sewenangnya mengkritik masakan kecuali jika diminta. Itupun perlulah bersopan kerana Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mencerca makanan.

4. Begitu juga dalam pengurusan pakaian. Ajarlah anak lelaki mengumpul baju kotor ke dalam bakul dan memasukkan ke dalam mesin sekiranya telah penuh. Tolong sidaikan baju, angkat baju dan lipat baju keluarga sekiranya nampak ahli keluarga lain sibuk hal lain.

Tentunya teladan terbaik ini bukan sekadar arahan dan nasihat bahkan ditunjukkan sendiri oleh akhlak bapanya yang sentiasa membantu isteri dalam urusan rumahtangga. Moga akan diperwarisi kepada anak, cucu dan seterusnya. InsyaAllah.

Ajarlah anak lelaki kita agar menjadi insan yang bermanfaat, bermulanya dengan perkara yang sering dianggap remeh dan kecil seperti hal di dapur, di meja makan dan mendobi.

Tidak jatuh pun martabat apabila buat semua kerja rumahtangga. Tidak kurang kelelakian pun jika memasak, basuh pinggan dan lipat baju. Malah, ia menambahkan sakinah, rahmah dan mawaddah, insyaAllah. Jomlah jadi masyarakat yang lebih hebat. InsyaAllah.

Semua ini hanya pendapat peribadi saya melalui pemerhatian sekeliling. Ramai sahaja ibubapa hebat yang mendidik anak-anak lelaki dan perempuan semua pandai serba serbi yang kemudiannya pandai bawa diri apabila ketiadaan ibubapa dan berakhlak mulia apabila di rumah orang lain.

Paling penting, menjadi pasangan yang menyenangkan hati apabila berkahwin kelak. InshaAllah!



from The Reporter http://ift.tt/2Cc8LCG
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2FeWHiz
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...