loading...

Sunday, 11 February 2018

'Saya disahkan menghidap Kanser Ovari Dysgerminoma Tahap Ketiga' - Bermula dari situ dia menyendiri, emosi tak stabil


Kebelakangan ini, kita seringkali didedahkan dengan isu penyakit kanser. Penyakit ini dikategorikan sebagai pembunuh senyap. Ini kerana jika penyakit ini tidak dikawal, kanser akan mula merebak. Kanser ovari merupakan salah satu kanser yang paling kerap menyerang golongan wanita.

Dipetik dari Utusan Online bertarikh 12 Mac 2017, menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pantai Hospital Sungai Petani, Dr. Norhayati Bt Kasim, kanser ovari ialah ketumbuhan, barah dan pertumbuhan sel-sel di luar kawalan dan merbahaya yang berlaku pada kilang telur atau ovari wanita. 

Bagi pesakit kanser, hidup ini sudah bagaikan gelap gelita dan umpama tiada sinaran cahaya di depan. Hanya insan-insan yang tertentu dapat melepasi rintangan. 

Namun, tidak bagi pengidap Kanser Ovari Dysgerminoma Peringkat 3, Tiraa. Dia berjuang untuk meneruskan kehidupan walaupun pada awalnya dia merasakan lemah. Bebenang yang disampaikan melalui pengalamannya di Twitter ditujukan juga buat pejuang kanser.

2017 merupakan tahun paling perit selama 20 tahun hidup di atas dunia ini. Tetapi, hikmah paling manis Allah bagi. Bebenang ini adalah pengalaman saya berdepan dengan kanser. Kuatkan semangat kepada sesiapa yang masih berjuang memerangi kanser. Kamulah pejuang sebenar!

Semuanya terjadi begitu cepat. Perkara ini terjadi pada bulan Mei 2017.  Ketika itu sebenarnya saya sudah perasan perut agak kembung sikit tapi ingatkan sebab makin gemuk, jadi aku tak endahkan.

Kemudian balik ke Sabah, sambung belajar. Masa itu bulan puasa, makan pun banyaklah. Perasan juga setiap kali lepas berbuka, saya jadi seperti susah untuk bernafas. Ingatkan sebab semakin gemuk.  

Sampailah sudah semakin perasan perut makin kembung dan keras walaupun selepas makan tak surut. Tanya juga umi 'kenapa eh perut macam kembung semacam' tetapi melalui call sajalah sebab jauh. Umi suruh minum eno halia sebab mungkin masuk angin, fikirnya.

Keadaan masih tidak berubah, perut masih kembung seperti baru selepas makan dan bila ditekan keras, macam ada sesuatu di dalamnya. Kemudian sibuk siapkan tugasan sana sini,  kebiasaan pelajar sibuk nak dekat peperiksaan akhir dengan itu ini. Jadi saya tak endahkan keadaan perut sehingga dah nak dekat cuti raya. 


Balik saja cuti raya sampai di KLIA, seronok beborak dengan umi abah sebab dah lama tak jumpa kan. Kemudian suruh umi rasa perut, terus umi kata 'nih lain nih'. Bergegas pergi mencari klinik biarpun hari sudah malam. Umi abah dah mula risau.

Sampai klinik doktor periksa dan  buat ultrasound. Nampak tak normal. Doktor buat surat supaya buat rawatan susulan hospital pada keesokkan hari. Dari gembira dan kecoh, terus sunyi rumah malam itu. Muka umi abah sepenuhnya berubah, aku terus masuk bilik dan duduk termenung.

Keesokan harinya pergi ke PPUM untuk menjalani pemeriksaan di klinik sakit puan. Doktor buat ultrasound dan memaklumkan nampak seperti ketumbuhan atau tumor centuh dan saiznya agak besar. Doktor suruh cepat ambil tarikh, kena CT Scan dan buat pembedahan. 

CT Scan pertama, keputusannya tidak bagus. Walaupun CT Scan pun tak boleh mengenalpasti tumor itu kesan di mana sebab tumor itu sudah menutup sebahagian perut. Jadi kena buat pembedahan. 

Abah dan umi susah hati sebab doktor kata ada risiko jika buat pembedahan di mana usus akan dipotong, pendarahan banyak dan juga risiko maut. Saya pada masa itu sudah tidak tahu nak rasa apa. Sudahlah nak dekat final dan raya. 

Umi sedih sangat sampai nak buat persediaan untuk raya pun dah hilang entah ke mana. Saya pujuk umi, InshaAllah tiada apa-apa. Doa-doakan moga tumor je tu. 

Masa raya, acah-acah okey sahaja. Padahal serabut dan tertekan gila memikirkan nak ambil peperiksaan akhir atau tidak. Kalau tak ambil, nanti kena ulang semula. Sayang sebab tinggal nak peperiksaan akhir saja. Kalau ambil, ada risiko benda itu semakin besar dan sudahlah jauh. Umi dan abah senyum saja sepanjang raya di kampung, tetapi saya tahu jauh di sudut hati mereka rasa susah hati. 

Akhirnya saya buat keputusan untuk mengambil cuti khas. Umi suruh utamakan kesihatan. Redha. Doktor pun cakap benda yang sama. Peperiksaan boleh ulang tetapi kesihatan tiada ulangan. Seumur hidup tak pernah terfikir akan tangguh belajar. 


7 Ogos 2017, saya dimasukkan ke wad di PPUM. Belajar sikit physio untuk kuatkan paru-paru sebab nanti, pembedahan ada tiub akan dimasukkan mengikut mulut ke paru-paru dan semuanya bergantung kepada mesin. 

Habis pembedahan, sedar-sedar jururawat panggil nama dan cakap, 'Athirah di hospital ni dan kalau sakit, tekan saja butang ini ya sebab itu ubat tahan sakit'. Memang masa itu saya sedar tetapi mata kabur dan terpinga-pinga serta tertanya-tanya di mana saya berada. Kemudian baru saya sedar, dah habis pembedahan. Alhamdulillah. 

Tak boleh bangun dan perut terasa pedih. Nak bercakap pun tak boleh. Ada kawan datang menangis melihat saya betul-betul selepas pembedahan itu. Tergagap-gagap saya cakap maaf tak boleh bercakap dengan dia. Selepas itu tunjuk penumbuk, cakap jangan menangis weh. Hahaha! 


Selepas empat jam, baru betul-betul sedar. Abah kata, pembedahan saya hanya mengambil masa sejam lebih sahaja. Alhamdulillah. Saya sedar mata abah dan umi sembab selepas pembedahan itu. Tetapi mereka tak menangis di depan saya sebab tahu saya tak boleh melihat mereka dalam keadaan seperti itu. 

Masa itu juga sedar, tak kuat nak bangun. Selak perut, penuh dengan bandage lagi. Dua hari selepas itu, doktor cabut alat bantuan pernafasan dengan tiub kencing dan dia tengok luka di bahagian perut sudah kering. 

Kemudian, terkejut gila tengok, rupa-rupanya perut kena stapler weh! Terbuntang juga mata. Hahaha! Sebab katanya umur masih muda, jadi dia mengharapkan sel itu akan bercantum sendiri walaupun dijahit. Seram. Stapler menegak sebab tumor besar sangat. Kiri kanan ada tiub vacuum darah. 

Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar. Doktor kata, hanya sebelah kiri ovari saya yang dibuang sebab dia membesar di situ. Pada hari masa dia nak tarik tiub darah dari dalam perut itu, sakit seperti daging disiat. Tak menjerit apa tetapi tahu-tahu mata sudah meleleh. 

Okay, sebulan kemudian dapat keputusan tumor. Saya disahkan menghidap Kanser Ovari Dysgerminoma Tahap Ketiga. Tumor itu besar 20 sentimeter. Ya Allah, dugaan apakah ini? Hati saya hancur, tetapi gagahkan diri memujuk hati yang saya boleh buat. Percayalah. 

Masa doktor beritahu itu memang dah sedia lagi depan abah. Kemudian jururawat itu terangkan tentang kimo dan selalu cakap, 'Athirah kena kuat tau'. Abah pun asyik cakap benda yang sama. 'Kakak kena kuat dan tabah'. Memang menangislah juga dibuatnya. Hahaha! Saya kadang-kadang lembik juga. 

Balik ke rumah, bila Umi dapat tahu lagi sedih.sebab dia pernah hadap kimo dua kali dalam hidup dia. Dia tahu betapa sakitnya kimo. Seharian dia tidak bercakap dengan aku. Esoknya dia datang dan peluk. Umi cakap, 'Kakak, umi minta maaf sebab umi tak boleh tahan air mata umi. Umi harap kakak kuat untuk menghadapi semua ini'. 

Kimo pertama ramai beri semangat dan doa serta siap ada yang datang melawat. Terharu sangat. Salah satu sebab saya kuat ialah doa-doa dari mereka dan umi serta abah. Ucapan terima kasih tidak akan mencukupi, Allah sahaja yang mampu membalas jasa dan kebaikan mereka. 

Kesan ubat kimo membuatkan saya tertekan juga. Kimo pertama okay saja. Selepas itu saya selalu muntah dan pernah sekali itu hampir 17 kali saya muntah dalam sehari. Satu badan lemah dan menggigil. Lagi-lagi masa 3th dan 4th cycle rasa tak mahu dah nak pergi hospital hadap benda sama. 

Selepas kimo, berat badan semakin susut. Orang cakap makin cengkung dan kurus sangat. Murung gila dan menangis seorang diri. Bermula dari situ saya menjauhkan diri dari orang. Emosi memang tidak stabil. Pernah ada yang kena marah secara percuma dari saya. 


Masa kimo memang paling seksa sebab setiap kali kimo, saya kena duduk wad selama tiga hari. Hari pertama tiga ubat masuk dan selang dengan dua air. Hari kedua dan ketiga, satu ubat satu air. Jumlah ubat lima dan air lapan. 

Kadang-kadang bila orang tanya macam mana rasa kimoterapi, tak tahu nak jelaskan macam mana. Hahaha! Dah 2018 ini, harap sangat orang semakin peka dengan apa itu rawatan kimoterapi walaupun tak tahu dan tanya macam-macam. 

Hari berganti hari, kesan sudah semakin nampak. Rambut semakin gugur, kening hilang, bulu mata hilang. Tipu kalau saya kata tak tertekan. Sebab itu jarang dah tengok cermin sebab tak sanggup. Kadang-kadang sebak juga seorang-seorang tengok kawan seronok belajar, keluar beramai-ramai, swafoto. Sedangkan saya duduk di katil wad melihat instastory sambil ubat kimo tengah masuk. 

Bermula dari situ, saya lebih memilih untuk tidur saja sepanjang masa dan berharap semuanya segera selesai. Dan setiap minggu kena datang ke hospital untuk cucuk ubat kimo juga. Muak sangat dah pergi hospital. Kalau cerita tentang kimo, memang banyak dan tidak akan habis cerita. 

Tiap kali nak kimo semula, selalu pesan 'Satu lagi Athirah, sikit lagi dah nak habis dah'. Sampailah 6th cycle habis saja ubat terakhir masa hari ketiga, rasa beban itu dah ringan sikit. Dada dah tidak sesak, dah fikir untuk next cycle seterusnya sebab dah habis. 

Ya Allah, syukur saya dah melalui kesemua 6th cycle. Masa jururawat cabut saja ubat kimo itu memang mata berair habis. Sementara menunggu umi datang untuk dikeluarkan dari hospital, termenung seorang diri dan kesudahannya menangis gila. Tak percaya diri sendiri sudah menghadap semua ini. 

Sebulan selepas kimo yang terakhir itu, kena CT Scan untuk melihat sama ada kimo berkesan atau sel kanser itu semakin mengecil atau tidak. Serius berdebar habis nak menjalani CT Scan pada hari itu. 

Seminggu selepas CT Scan, jumpa doktor. Alhamdulillah Ya Allah, keputusannya okay dan sekarang hanya kena menjaga pemakanan dan menjalani rawatan susulan tiga bulan sekali. Gembira sampai tak tahu nak cakap apa. Tetapi bila fikir, saya belum pulih sepenuhnya sebab kimo itu hanya cara untuk mencegah kanser dari merebak lagi. Tetapi saya akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan saya. Makan tak boleh ikut suka hati dan perlahan-lahan nak naikkan balik stamina.

Kanser ini boleh menyerang mana-mana orang tanpa mengira umur. Kalau ada apa-apa perubahan pelik yang berlaku pada diri, buat pemeriksaan di klinik segera. Jadi boleh cegah dari awal. Jangan sesekali biarkan. 

Terutama jika ada keluarga ada sejarah kanser, perlu berhati-hati. Elakkan ambil kolagen, makanan ringan, makanan segera dan yang sewaktu dengannya. Sebab dari pengalaman saya, saya makan kolagen rumpai laut. Itulah penyebab benda itu aktif dan membesar dengan cepat. 

Tetapi ikut orang juga. Ada orang boleh saja makan tetapi tiada kesan. Bagi saya kemungkinan sebab mak dan makcik saya ada kanser payu dara. Jadi peratusan tinggi untuk saya kena lebih tinggi. Payu dara, ovari dan usus adalah kanser yang berkait. Jadi kalau ada salah satu, mungkin boleh kena di antara tiga itu. 

Dorongan semangat dari keluarga dan kawan-kawan adalah penting untuk membantu saya meneruskan kehidupan hingga kini. Lebih-lebih lagi umi. Umi punca saya kuat dan tabah menghadapi semua ini. Tanpa Umi, tidak mungkin saya sekuat ini. 

Mungkin saya diduga dengan sakit seperti ini. Tetapi ada orang lagi berat dugaannya. Walau apa pun dugaan yang kita hadapi, ingat bahawa Allah tahu kita mampu. Dia percaya hamba Dia mampu. Sakit ini penghapus dosa dan cara untuk melatih hati supaya terus bersabar dan tabah. 


Ini adalah diri saya sekarang. Tiada bulu mata dan bulu kening. InshaAllah sampai masa akan tumbuh semula. Doakan saya. Saya harap kehidupan saya akan lebih bersinar. Selepas ini bolehlah saya sambung belajar. 

Sumber: Athirah


from The Reporter http://ift.tt/2nVkWuI
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2EnmgRi
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...