loading...

Thursday 1 September 2022

'Saya mohon belas kasihan, kami sedang menanggung sengsara' - Rosmah menangis, merayu dikenakan hukuman ringan



Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor yang didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.


Berita Harian melaporkan, Datin Seri Rosmah Mansor merayu dan meminta belas ihsan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi menyabitkan isteri kepada Najib Razak itu bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. 


Baca: Rosmah disabitkan bersalah atas pertuduhan meminta & menerima rasuah


Dalam keadaan sebak dan menangis di kandang tertuduh, Rosmah meminta mahkamah supaya lebih bersifat kemanusiaan terhadapnya. 


Rosmah berkata, dia menghormati keputusan hakim Mohamed Zaini Mazlan, tetapi mahu meninggalkan mahkamah dengan memori yang baik terhadap sistem keadilan. 


"Saya memohon belas kasihan dan lebih berperikemanusiaan kepada saya. Jika ini boleh berlaku kepada saya, ia juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada isteri anda, anak anda atau sesiapa sahaja pada masa hadapan. 


"Mereka sudah melakukan kepada suami saya supaya kami menanggung sengsara. Kami sedang menanggung sengsara, anak-anak saya sengsara. Tolong lebih berperikemanusiaan.


"Saya sangat sedih dengan keputusan hari ini, saya terluka. Saya dibesarkan untuk sentiasa berkata benar dan tidak menipu. Begitu juga saya terapkan kepada anak-anak.


"Bagaimanapun saya hormat dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah ini. Saya mahu tinggalkan mahkamah ini kenangan yang manis. Ini membabitkan program Permata saya memberikan segalanya terhadap Yayasan itu. Saya sangat berminat dengan projek pertama saya ini. Saya mengambil berat masa depan kanak-kanak yang dibuli di sekolah dan mengalami gangguan seksual.


"Bayangkan ketika itu saya dan golongan profesional lain duduk berbincang untuk menghasilkan program ini. Kalau mahu bentuk negara kena bermula usia empat tahun. Disebabkan itu wujud Permata, Permata Kurnia. Saya gembira dapat berbakti kepada negara.


"Ya Arif, saya tidak pernah mempunyai niat meminta atau menerima rasuah. Saya tidak tahu ia membabitkan jumlah yang banyak. Ya Arif saya mengendalikan Yayasan Permata ia mempunyai dana sebanyak RM45 juta dan saya tidak pernah sekali pun mengusiknya, sebab itu kes ini menyakitkan saya, apabila saya dituduh berbuat demikian.


"Saya boleh buat pada tempat lain tidak perlu minta pada Jepak (Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin). Yang kenal adalah Rizal (Datuk Rizal Mansor) dan saya sudah minta Rizal berhati-hati dengan dia. Saya tidak minta dia (Rizal) berjumpa mereka.


"Tiada siapa nampak saya ambil duit, tiada siapa nampak saya mengira duit.... tapi jika itu kesimpulannya.


"Saya serah segalanya kepada Allah. Siapa yang betul dan siapa salah lambat laun akan keluar juga.


"Ia betul-betul mengejutkan saya, bagaimana ia boleh bertukar dan menjadikan saya mangsa.


"Saya tidak campur tangan dengan urusan suami (Datuk Seri Najib Razak). Setiap kali saya membuka mulut, beliau akan mengatakan 'anda hanya isteri saya, jangan campur tangan.


"Ia mungkin berlaku kepada saya tetapi ia juga mungkin boleh berlaku kepada anda dan anak-anak anda.


"Kamu lakukan kepada suami saya, kamu mahu saya juga menderita, kami sudah menderita.


"Saya harap Yang Arif dapat mempertimbangkan saya sebagai seorang wanita yang menjalankan tanggungjawab sebagai lelaki di dalam rumah," katanya.


Sumber: Berita Harian, Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/ciFSntd
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3PDpUx1
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...