Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai dua kad kredit dengan gabungan had sebanyak RM3 juta dipercayai antara had kredit tertinggi yang pernah diberikan oleh AmBank.
Bekas Naib Presiden Jabatan Pengurusan Penipuan Perbankan Runcit AmBank Yeoh Eng Leong, 61, berkata Najib membelanjakan RM103,948.63 dengan dua kad, kad AmBank Visa Platinum berakhir dengan nombor 496 dan Mastercard Platinum berakhir dengan nombor 961 pada 2011.
"Purata pelanggan mempunyai had kredit RM50,000 bagi setiap kad, tetapi bagi Datuk Seri Najib bank memberikannya had RM3 juta untuk kedua-dua kad.
"Saya percaya had gabungan ini adalah antara had kredit tertinggi dalam AmBank. Kedua-dua kad dibatalkan pada Mac 2015," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar pada perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu berhubung pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Saksi pendakwaan ke-35 itu berkata antara urus niaga yang dibuat Najib adalah di sebuah hotel di Itali, The Westin Excelsior R Roma pada 21 Julai 2011 dengan jumlah RM98,013.63.
"Urus niaga lain adalah di butik Aigner (RM4,145) dan Hugo Boss di Suria KLCC (RM1,790) pada 21 Ogos 2011.
"Pada 30 Ogos 2011, Datuk Seri Najib menerima bayaran balik bebas cukai dari United Kingdom sebanyak RM2,190.68," katanya.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, Yeoh berkata lazimnya bank akan memberikan had kredit kepada pelanggan berdasarkan kapasiti pendapatan mereka.
Wan Aizuddin: Adakah bank akan melihat kriteria sama ada beliau seorang tokoh korporat atau ketua kerajaan dalam mempertimbangkan had kredit yang diberikan? Bagaimana jika pelanggan itu pelanggan lama bank?
Yeoh: Tidak. Bank hanya akan melihat kemudahan bank lain yang digunakan pelanggan. Tidaklah pada tempoh (berapa lama pelanggan sudah bersama bank).
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/WR0Cmpb
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/GXFNz6W
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment