Seorang pengusaha taska didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Jun lalu.
Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Azlinawaty Julaihi, 41, selepas dia mengaku bersalah dengan menampar kanak-kanak berkenaan beberapa kali sehingga bengkak di kedua belah bahagian mata dan lebam di bahagian kanan tulang pipi dalam kejadian di sebuah taska di Jalan Dato' Senu, di sini pada 12.30 tengah hari, 15 Jun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Dia membayar denda itu.
Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Emelia Kaswati dalam penghakimannya berkata, mahkamah perlu menjatuhkan satu hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya ia menjadi pengajaran kepada pengasuh lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
Wanita itu yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan, dengan alasan dia tidak berniat untuk mencederakan mangsa dan merasa kesal atas perbuatannya.
"Selama tujuh tahun sebagai pengasas dan pengasuh di taska rumah, perkara ini tidak pernah berlaku dan saya mula mengasuh kerana minat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Saya minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi," katanya dalam nada yang sebak.
Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub pula memohon mahkamah supaya hukuman bentuk pengajaran diberikan memandangkan mangsa adalah seorang kanak-kanak berusia dua tahun.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang juga ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada kedua-dua mata, tulang pipi merah dan bengkak di atas bibir selepas mengambil mangsa dari taska itu.
Pengadu telah bertanya kepada Azlinawaty dan dia memaklumkan mangsa terhantuk dengan anak asuhan lain ketika bermain tetapi akhirnya mengaku menampar mangsa.
Hasil siasatan polis mendapati, Azlinawaty menampar mangsa beberapa kali kerana mangsa mengeluarkan semula makanan yang disuap olehnya.
Hasil pemeriksaan rawatan pula mendapati, kecederaan yang dialami mangsa adalah akibat dipukul.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/ov39EI1
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/0nLIc6l
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment