Punca kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun terkena tusukan pisau yang dibaling oleh kakaknya akhirnya diketahui, selepas polis mendapat laporan hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa maut akibat hujung pisau pemotong sayur dibaling kakaknya terkena pada arteri di bahagian kanan leher mangsa, menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.
"Sebab kematian mangsa adalah kerana satu tusukan pisau dan hujung pisau itu terkena pada saluran darah utama (arteri) menyebabkan pendarahan yang banyak," katanya.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan pihaknya telah merampas pisau yang digunakan untuk siasatan lanjut. Tiada sebarang kecederaan lain yang ditemui pada badan mangsa.
Kakak mangsa yang berusia 18 tahun telah direman selama enam hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dua beradik berkenaan terdahulu dilaporkan bergaduh kerana berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah. Keadaan menjadi lebih teruk apabila mangsa mempersendakan kakaknya selepas sampai di rumah.
Pelajar Tingkatan 6 dikatakan gagal mengawal diri lalu mengambil dan membaling pisau pemotong sayur yang terkena pada adiknya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/z1A9CXj
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/4dEA2gl
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment