Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu Umno pada pemilihan parti itu pada 30 Jun.
"Selepas meneliti kedudukan Umno dan menghalusi akan implikasi keputusan yang dibuat terutamanya mengenai perkara berkaitan soal kepimpinannya, saya dengan segala rendah diri sambil memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, menawar diri untuk bertanding sebagai presiden Umno.
"Saya membuat keputusan ini demi kepentingan Umno sebagai sebuah pertubuhan nasional yang mendukung hasrat kebangsaan untuk menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian ras sebagai gelegar dan teras negara," kata beliau di ibu negara hari ini.
Pada sidang media di kediamannya di Langgak Golf itu, Ku Li diapit oleh calon naib presiden Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas menteri besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin. Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan calon Majlis Tertinggi, Datuk Mohamad Razlan Rafii turut hadir.
Jika terpilih sebagai presiden Umno, Ku Li berjanji akan memastikan Umno dapat berperanan sebagai pembangkang yang setia kepada negara serta akan bersikap liberal menghormati hakikat kepelbagaian kaum di Malaysia.
"Di samping itu saya bercadang untuk memastikan Umno dapat memainkan peranan sebagai pembangkang setia lagi bertanggungjawab terhadap negara yang sedang mengorak langkah ke persada dunia sebagai negara maju.
"...kami akan terus menghormati hakikat kepelbagaian kaum yang kita warisi untuk memastikan keharmonian kaum terjaga.
"Kami akan terus memupuk dan menjaga sifat liberal ini demi memastikan Malaysia dihormati sebagai contoh baik mengenai keharmonian kaum," kata Ku Li, berusia 81 tahun merangkap Anggota Parlimen Gua Musang untuk penggal ke-13.
Ku Li meletakkan pengalaman kerjaya politiknya hampir enam dekad bagi melonjakkan semula pencapaian parti itu daripada kekalahan besar PRU14 berkata kepimpinannya nanti akan membuat perubahan penyesuaian jika perlu.
"Dalam pada itu, Umno sensitif terhadap realiti politik pasca PRU14 dan sudah pasti akan menyesuaikan diri untuk memastikan kami akan terus relevan.
"Bagi maksud ini, Umno di bawah saya akan membuat perubahan penyesuaian jikalau dianggap perlu," kata Ku Li yang pernah memegang jawatan naib presiden dan bendahari Umno
Beliau bakal berhadapan dengan pemangku presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi dan blogger Rahmat Azim Abdul Aziz.
Pada pemilihan Umno 1987, Ku Li pernah mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi merebut jawatan presiden tetapi kalah tipis dengan 43 undi.
Pada 9 Mei lalu, bekas presiden Umno Datuk Seri Najib mengakhiri penguasaan BN yang memerintah negara selama 61 tahun lalu apabila tumbang daripada tampuk kuasa dalam PRU14 kepada Pakatan Harapan selain Terengganu pula ditawan PAS. - MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/2JSgs4x
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2t9ajpW
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment