Padah bermain mercun, seorang pelajar tingkatan dua buta mata kanan dan hancur lima jari kiri serta satu jari telunjuk kanan dalam kejadian di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan, Selasa lalu, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Eiman Najwan Anwar Fuad, 14, cedera ketika bermain mercun dengan dua rakannya berdekatan di rumah selepas belerang mercun bola yang diletakkan dalam botol kaca terjatuh dan meletup atas bara api menyebabkan serpihan letupan kaca itu juga terkena kaki salah seorang rakannya.
Ibu mangsa, Rozita Zakaria, 41, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang melipat kain di rumah.
"Saya terdengar bunyi letupan kuat dan terus berlari keluar melihat seorang budak lelaki jatuh bersujud dalam keadaan berlumuran darah.
"Saya terus memeluk budak lelaki itu dan pada masa itu, saya tidak tahu mangsa adalah anak sendiri. Saya terus pengsan kerana melihat terlalu banyak darah.
"Namun, selepas sedar baru saya tahu mangsa mercun yang parah itu anak sendiri sebelum saya dan suami membawanya ke unit kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurut Rozita, anaknya yang berada berdekatan bara api ketika itu tidak sempat melarikan diri dan cedera parah terkena letupan itu.
"Kejadian itu menyebabkan mata kanan anak tidak dapat diselamatkan, manakala lima jari tangan kiri serta satu jari telunjuk tangan kanan hancur.
"Sebelum kejadian, anak saya ada meminta wang RM1 untuk membeli air dan saya memberinya. Pada masa itu, rakan anak ada mengajaknya keluar dan anak menolaknya kerana mahu berada di rumah.
"Namun, saya tidak sangka kejadian ini terjadi kepada anak sendiri kerana sebelum ini, hanya membaca laporan anak orang lain cedera terkena mercun," katanya.
Rozita berkata, anaknya kini stabil dan masih mendapatkan rawatan susulan.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2LaFLMc
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2HanThZ
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment