Dalam video yang viral sejak Isnin lalu, Farid mengakui kesalahannya yang memparkirkan kenderaannya di zon tunda selama 15 minit sebelum ditunda petugas DBKL.
Farid kemudian pergi ke depoh simpanan kereta orang awam ditunda dan menurut seorang kakitangan depoh berkenaan, dia perlu membayar RM250 jika mahu mengeluarkan keretanya itu. Terkejut dengan jumlah yang agak tinggi itu, Farid kemudian menghubungi kenalannya yang bekerja di Ibu Pejabat DBKL.
"Saya letak kereta di tempat yang tidak dibenarkan sekejap saja, dalam masa lebih kurang 15 minit. Selepas itu, kereta saya ditunda oleh DBKL. Saya tiada masalah dengan itu kerana itu memang salah saya.
"Kemudian saya pergi ke tempat simpanan kereta untuk menuntut semula kereta saya. Pergi ke kaunter, tiba-tiba kakitangannya kata saya kena bayar RM250 dan diberi diskaun RM50 sahaja.
"Saya menghubungi kenalan saya yang bekerja di Ibu Pejabat DBKL dan dia kata, sepatutnya kalau kena tunda bayar RM150 saja. Macam mana boleh jadi RM250?
"Selepas itu, saya berdepan dengan kakitangan itu semula dan mempersoalkan harga RM250 yang dikenakan, sedangkan kenalan saya kata hanya RM150 saja? Muka lelaki itu terkulat-kulat lalu bertanya kawan saya itu kerja di DBKL mana.
"Bila saya kata kawan saya kerja di Ibu Pejabat DBKL, terus dia kata, 'kalau kenal orang DBKL, RM150'. Nampak tak? Rupa-rupanya dari RM250 itu, RM50 adalah saman, RM100 lagi untuk caj tunda. Lagi RM100 pula rupa-rupanya 'duit kopi'.
"Patutlah boleh diskaun RM50. Di papan tanda (amaran zon tunda) pun tak ada nyatakan kena bayar RM250, hanya RM100 saja kalau kereta ditunda.
"Nampak tak? Kalau kenal orang DBKL, dapat RM150. Kalau bodoh-bodoh kena tunda, kena bayar RM250," luahnya geram.
Tambah Farid, pihak DBKL perlu siasat kakitangannya di Depoh DBKL Sentul yang mengenakan 'duit kopi' kepada pemilik kenderaan melebihi kadar yang ditetapkan.
"Siasat-siasatlah korang punya anak buah ini. Kenapa pula kena duit kopi RM100. Nak cari duit raya ke? Raya lambat lagi. Ataupun sebab cuti sekolah hujung tahun?
"Korang bonus dapat, gaji dapat, korang kerajaan beb. Janganlah ambil kesempatan makan duit haram. Patutlah di resit bayaran tak tulis harga atau nilai saman," katanya.
Farid menasihatkan orang ramai berhati-hati jika kenderaan mereka ditunda pihak berkuasa serta mengingatkan kadar bayaran kompaun/saman adalah RM150 sahaja.
Dalam masa yang sama, Farid menafikan tindakan dia itu cuba memburukkan DBKL, namun kesal ada kakitangan yang tidak bertanggungjawab mencari 'duit kopi' dengan menjadikan orang awam sebagai mangsa.
"Saya bukan nak burukkan kakitangan awam tetapi agak-agaklah kalau dah sampai nak cari duit kopi. Saya mengaku saya bersalah dan saya bayar denda yang saya perlu bayar. Tetapi lebihan RM100 itu tidak patut. Nak buat kerja, biarlah ikhlas," katanya.
from The Reporter http://ift.tt/2AgyJ7n
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2nyimNH
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment