PADA 4 April 2015, negara dikejutkan dengan berita nahas helikopter yang mengorbankan Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis dan beberapa orang yang lain di Semenyih, Selangor.
Secara peribadi, aku mengenali beliau bukan saja atas dasar kedudukannya sebagai Menteri, ahli politik atau duta besar kita ke Washington – tetapi aku rapat dengan arwah melalui kerja-kerja amal yang beliau lakukan di Pulau Nias, Sumatera Utara, sebuah wilayah terpencil yang terletak ribuan batu jaraknya dari Kuala Lumpur.
Segalanya bermula sewaktu aku bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia yang membuat liputan gempa bumi besar di pulau tersebut kira-kira 10 tahun lalu.
Arwah yang ketika itu Menteri Teknologi, Sains dan Innovasi sangat tersentuh melihat begitu ramai anak-anak orang Islam yang miskin di pulau tersebut menjadi yatim piatu dalam sekelip mata bila berlakunya gempa bumi pada 28 Mac 2005 yang mengorbankan ribuan penduduk pulau berkenaan.
Untuk rekod, majoriti lebih 700,000 penduduk pulau itu adalah penganut agama Kristian Protestan.
” Syahril, memandangkan kau pernah buat liputan kat pulau tersebut, aku amanahkan kau sampaikan sumbangan zakat peribadi aku pada anak-anak yatim ini…tak boleh tidak, setiap tahun kau mesti ingatkan aku, selagi aku hidup, jangan bagitahu sesiapa,” kata arwah.
Yang tahu rancangan arwah ketika itu adalah bekas Ketua Pengarang Utusan, Datuk Khalid Mohd. Kami bertiga bertemu di sebuah restoran di Hotel Crown Princess, Jalan Tun Razak (sekarang Hotel Double Tree).
Setelah Dr. Jamaluddin meninggal dunia, wasiat itu diteruskan oleh anaknya, Hafiz dan ahli keluarga mereka yang lain.
Sempena Aidil Adha tahun lepas, mereka mengamanahkan aku untuk membeli dan mengagih-agihkan lembu/ kerbau bagi diberi pada penduduk pulau berkenaan terutama di kawasan perkampungan yang terpencil.
Tidak cukup dengan haiwan korban, kami juga diamanahkan untuk membeli naskah Al-Quran, surah Yassin dan telekung untuk diberi kepada surau dan masjid yang kami temui sepanjang perjalanan.
Keluarga Allahyarham juga meminta kami mendapatkan berpuluh-puluh jubah untuk diberi kepada anak-anak sebuah pondok pesantren di pulau berkenaan.
Semoga pahala segala amalan jariah yang dibuat arwah, sama ada ketika hidup ataupun selepas kematiannya, sampai dan diterima Allah ya Rabbul Alamin.
Siapa sangka…ribuan kilometer dari sini, nama arwah terus dikenang walaupun sudah lebih setahun allahyarham pergi mengadap Tuhan yang maha esa.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
“Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)
Buat Dr. Jamaluddin, amanahmu telah kami sudah laksanakan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mu.
Aku hilang kata-kata…
from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2nDIaDK
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2o4f0Rg
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment