Meskipun berjaya dikesan awal, kanser tersebut bersifat sangat agresif sehingga memaksa dia berehat seketika daripada profesionnya untuk memberi fokus kepada rawatan kemoterapi yang dijalani.

Bertanya pada mereka yang lebih arif dalam bidang perubatan, dia akhirnya akur dengan keputusan tersebut meskipun hati gelisah memikirkan kelangsungan kerjaya yang amat diminati itu.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya banyak mendapat sokongan daripada keluarga yang meminta saya terus kuat untuk melawan penyakit.

“Saya juga menyibukkan diri dengan aktiviti mewarna dan melukis untuk mengisi masa lapang. Mungkin kerana darah seni yang diwarisi daripada ibu yang merupakan seorang penyanyi, membuatkan saya gembira dengan hobi tersebut.

“Dalam masa sama saya berjaya menerokai sesuatu yang langsung tidak pernah saya terfikir sebelum ini, iaitu seni andaman dan solekan. Seperti magis, kemahiran menyolek datang tiba-tiba sahaja dan mula menyedarinya apabila adik saya meminta saya menyoleknya pada hari perkahwinannya.

“Tidak mempunyai pengalaman mahupun teknik asas melakukan solekan serta dandanan rambut, perlahan-lahan saya memupuk minat baharu tersebut.

“Saya mempelajari melalui pemahaman sendiri dan pengamatan teknik-teknik solekan dan penggayaan rambut daripada laman YouTube.

“Saya juga mula bergaul dengan jurusolek profesional tempatan untuk menambah ilmu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr. Mukhlis kemudiannya diberi peluang oleh pelakon Erin Malek dan Lia Natalia untuk membuat solekan setelah melihat sendiri hasil kerjanya di laman Instagram.

Kini selepas hampir lima tahun Dr. Mukhlis menceburi dunia solekan, dia semakin selesa dengan kerjaya tersebut walaupun ramai yang mempertikai kerana diang­gap sangat terpesong daripada bidang perubatan yang diambil ketika di Universiti Cardiff, United Kingdom.

Tidak kisah pandangan seorang yang dilontarkan oleh masyarakat. Baginya, seseorang itu tidak mampu lari daripada berhadapan dengan manusia yang sentiasa berfikiran negatif terhadap kehidupan orang lain.

“Itu hak mereka untuk berkata apa sahaja dan terpulang pula pada cara kita untuk menghadapinya.

“Bagi saya setiap pekerjaan itu ada baik dan buruknya, yang penting bagaimana saya menterjemahkan ke dalam kehidupan dan membuktikan kepada mereka yang memandang negatif bahawa saya mampu melakukannya.

“Saya yakin dengan apa yang saya lakukan. Bergelar seorang jurusolek membuatkan saya lebih gembira dan menghargainya sebagai satu anugerah Tuhan. Solekan juga salah satu cabang ilmu yang boleh diterokai.

“Secara tidak langsung, minat ini juga membantu proses penyembuhan saya. Lagipun dalam tempoh ini saya tidak digalakkan untuk menyambung kembali profesion di hospital kerana badan saya masih dalam tempoh pemulihan. Sistem imunisasi saya masih lemah dan perlu mengelakkan daripada sebarang jangkitan virus,” katanya yang telah disahkan bebas kanser pada 2013.

Ditanya sama ada akan menyambung kembali kerjayanya sebagai seorang doktor perubatan selepas pulih sepenuhnya, Dr. Mukhlis berkata, buat masa ini mahu menumpukan pada minat dalam solekan.

“Saya jenis yang pentingkan disiplin diri dan fokus kepada satu-satu bidang dahulu tanpa terlalu membebankan diri dengan impian-impian yang lain.

“Saya berharap apa yang saya lakukan dapat memberi semangat dan inspirasi kepada penghidap kanser lain supaya sentiasa terus kuat dalam melawan penyakit mereka.

“Apabila seseorang itu disahkan menghidap kanser, jangan sesekali putus harapan terhadap kehidupan anda. Gembirakan hati anda dengan melakukan perkara yang disukai kerana sedikit sebanyak boleh memberi keyakinan pada diri sendiri,” ujarnya.

UTUSAN MALAYSIA