GLOMAC Berhad bukan nama asing dalam pembangunan hartanah di Malaysia malah boleh dikatakan antara pemaju yang pesat berkembang dengan pembangunan pelbagai hartanah di seluruh negara ini.
Sebagai sebuah syarikat pembangunan hartanah yang diasaskan oleh anak Melayu, Glomac boleh berbangga dengan pencapaiannya kini setelah 26 tahun dibangunkan apabila dapat bersaing secara sihat dengan syarikat-syarikat bukan Melayu terutamanya syarikat asing.
Sebelum Glomac sampai ke tahap sekarang, pelbagai rintangan yang telah dilalui oleh pengasasnya, Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din atau lebih dikenali sebagai FD Mansor. Namun semuanya dapat ditepis dengan baik demi membina empayarnya sendiri.
Peluang penulis menemu bual dengan orang hebat ini, membuka mata akan peribadinya yang tersendiri selain memberi inspirasi untuk memajukan diri.
Secara peribadi, FD Mansor merupakan seorang yang begitu merendah diri dan mudah mesra, membuatkan sesiapa yang bertemu dengannya selesa untuk berbicara lanjut di sebalik pencapaiannya yang luar biasa.
Daripada bual bicara bersamanya, boleh dilihat personaliti FD Mansor yang begitu fokus dan bersemangat apabila membicarakan tentang pembangunan hartanah. Ceritanya, sewaktu mula mengasaskan Glomac pada tahun 1988 dengan modal kira-kira RM250,000 sahaja, tidak pernah dibayang olehnya yang syarikatnya itu satu hari nanti akan berdiri gah seperti sekarang, antara syarikat pembangunan hartanah ternama di Malaysia dengan pelbagai projek ikonik di bawahnya.
Dahulu, syarikat pemaju hartanah di Malaysia lama berada di bawah kekuasaan syarikat bukan Melayu dan kejayaan luar biasa entiti Melayu seperti Glomac telah membuka mata pemain dalam industri ini dan rasa hormat dalam kalangan pesaingnya.
“Meniaga sebenarnya tidak perlu ada duit, asalkan kita berani berhutang, perniagaan boleh dijalankan.
“Cuba kita lihat kenapa bangsa asing berjaya. Mereka berani berhutang malah sanggup lakukan apa saja untuk perniagaannya.
“Jika mereka tidak berjaya, mereka boleh berusaha di negara lain. Kalau kita, ke mana kita mahu pergi? Tapi ya lah, nilai kita lain,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Menara Glomac, Glomac Damansara, baru-baru ini.
Ujarnya, bangsa Melayu perlu tukar mentalitinya dan lebih berani mengambil peluang dengan cepat terutamanya dari segi pelaburan supaya dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain.
Nasihat FD Mansor, kita perlu lebih berani mengambil risiko dan keluar dari kepompong serta tidak berharap kepada bantuan sahaja kerana semakin lama, persaingan semakin sengit dalam apa saja industri.
Glow Mall
Mengambil contoh Glow Mall, pusat beli-belah tujuh tingkat di Glomac Damansara, ceritanya bangsa asing terutamanya dari luar negara sudah menyediakan wang untuk menempah unit di dalamnya walaupun ia masih belum dibuka kepada umum.
Menurutnya, orang Melayu dilihat lebih suka mengambil langkah tunggu dan lihat yang akhirnya semua unit akan terjual habis dan mereka perlu mendapatkannya daripada orang tengah dan sudah tentu harganya nanti akan jauh berbeza.
“Glow Mall dimiliki oleh syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, bukannya seperti Mara. Jadi, ia terbuka kepada semua bangsa untuk merebutnya.
“Orang lain terutamanya dari luar negara sudah sedia membayar duit tapi saya memberi arahan untuk tunggu dahulu. Apa yang saya mampu lakukan untuk membantu ialah membukanya terlebih dahulu kepada pelabur-pelabur Melayu.
“Orang Melayu perlu cepat merebut peluang dan jangan tunggu sehingga terlambat kerana kaum lain sudah ramai yang menunggu peluang ini.
“Sepanjang saya berada dalam industri pembangunan hartanah ini, saya lihat orang Melayu lebih suka beli atas orang. Ini tidak masuk akal,” ujarnya yang menambah terdapat apartment servis yang setinggi 23 tingkat di atasnya, menambahkan nilai pasaran selain kedudukan strategik.
FD Mansor melahirkan kekecewaan kerana dia melihat corak perniagaan bangsa Melayu yang agak lambat dan tidak berani mengambil risiko yang akhirnya merugikan diri sendiri.
Utusan
Sebelum mengasaskan Glomac Berhad sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan pada tahun 1988, FD Mansor pernah bekerja dalam sektor awam dan swasta sejak 1961.
Malah, mungkin ramai yang tidak tahu yang jawatan terakhirnya sebelum kewujudan Glomac ialah Pengarah Pengurusan dan Perjawatan dalam Kumpulan Utusan Melayu.
Di situ jugalah timbul rasa cinta kepada bangsanya dengan mendalam selain memberi semangat untuk dia melangkah lebih jauh bagi memajukan diri dalam arena global.
Dia berpegang pada falsafah ‘jiwa seorang Melayu, tetapi pemikiran global’ dan diterapkan kepada keluarganya serta orang di sekelilingnya.
Di sebalik kesibukannya membina empayar Glomac, FD Mansor tetap mencuri masa untuk memberi sumbangan kembali kepada masyarakat dengan menjadi salah seorang Pengarah Rumah Aman Malaysia.
Baru-baru ini, FD Mansor tidak melepaskan peluang untuk menyerahkan cek sumbangan ikhlas zakat kepada Rumah Aman Saujana Utama sebanyak RM150,000 kepada pengasasnya, Abdul Rehman Dakri.
Ujarnya, dia amat berbangga dengan Rumah Aman Malaysia kerana menyifatkan ia sebagai antara rumah anak yatim yang terbaik di dunia yang pernah dilihatnya dengan fasiliti lengkap serta selesa buat penghuninya.
Sumber Utusan Malaysia
from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2pcHg57
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2pf0gwW
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment