Orang Perak atau Perak Man merupakan rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia.
Tulang rangka Perak Man telah dijumpai pada 1991 di dalam Gua Gunung Runtuh yang terletak di Bukit Kepala Gajah, di Lembah Lenggong, Hulu Perak. Ia berada pada ketinggian lebih kurang 105 meter dari paras laut.
Rangka tulang Perak Man itu dipercayai yang berumur antara 10,000-11,000 tahun.
Melihat kepada kedudukan cara pengkebumiannya dan peralatan yang ditanam bersamanya, adalah dipercayai bahawa Orang Perak merupakan orang penting bagi puaknya.
Perak Man adalah lelaki berumur antara 40-45 tahun dengan ketinggian 157 cm, menjalani kehidupan sihat, memakan makanan berfiber dan berjalan dengan membongkok. Dia memiliki tangan kiri yang lemah (“atrophied “) dan satu jari cacat.
Siapakah dia watak terpenting di sebalik penemuan yang cukup mengkagumkan ini?
Orangnya adalah tak lain dan tak bukan, ahli arkeologi terbaik negara – PROFESOR DATUK DR ZURAINA MAJID yang bekelulusan PhD dari University of Yale, Amerika Syarikat, salah sebuah universiti terbaik di negara Uncle Sam itu.
Segalanya bermula pada tahun 1980-an apabila Dr. Zuraina yang ketika itu bertugas di Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (kini dikenali Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Malaysia), Universiti Sains Malaysia (USM) ‘berasa pelik’ tentang penemuan bukti manusia terawal di Gua Niah, Sarawak yang berusia 45,000 tahun dahulu.
Tanda tanya timbul di dalam dirinya mengenai penemuan tersebut. Detik hatinya berkata, jika manusia sudah sampai ke Gua Niah, Sarawak yang terletak di kepulauan Borneo, maka tentulah masyarakat purba sudah berada di mana-mana lokasi di Semenanjung Malaysia.
Pada ketika itu, ahli arkeologi di seluruh dunia telah sedia maklum mengenai teori Out of Africa iaitu teori yang menunjukkan laluan kuno manusia awal keluar dari benua Afrika menuju ke bahagian-bahagian lain di muka bumi ini.
Mengikut teori itu, manusia terawal keluar dari Afrika dengan berjalan merentasi India, Semenanjung Malaysia, kepulauan Indonesia dan Australia.
Keinginan untuk tahu lebih lanjut tentang penempatan awal manusia di Semenanjung Malaysia itu telah mendorong Zuraina membuat penyelidikan menerusi pembacaan manuskrip.
Hasilnya, beliau menemui manuskrip yang menceritakan tentang dua orang Inggeris yang bertugas sebagai pegawai daerah di Tanah Melayu pada 1936 dan 1954 menemui alat batu di Kota Tampan.
“Saya baca tentang dua orang Inggeris itu, seorang bernama Collings (1936) dan seorang lagi, Sieveking (1954).
“Kedua-duanya menulis mengenai alat batu yang ditemui di satu kawasan yang dinamakan Kota Tampan. Untuk melihatnya, saya pergi ke Singapura dan London kerana alat batu tersebut telah dibawa ke sana.
“Bila tengok sendiri alat batu itu, saya tahu ia memang dibuat oleh manusia. Masalahnya, saya tak tahu mana nak mula, sebab bila saya buka peta, ada banyak tempat namanya Kota Tampan,” katanya.
Menurut Zuraina, beliau kemudiannya bertanyakan kepada orang-orang tua yang tinggal di Kampung Cheri, Kota Tampan, Lenggong yang terletak di utara negeri Perak.
“Saya tanya, ada tak mat saleh datang sini untuk buat kajian. Kebanyakan mereka tak tahu. Namun berkat usaha dan doa, akhirnya saya ditunjukkan satu lokasi.
“Saya tengok tempat itu adalah hutan, ada kebun getah dan kampung yang kecil. Kalau beginilah keadaannya, saya kena buat kajian sendiri.
“Saya tahu permukaan bumi berubah mengikut masa dan jika tiada ada apa-apa di permukaan, maka tentulah ada sesuatu di bawah,” katanya yang kemudian meminta kerjasama seorang ahli geologi dari Petronas, Prof. Tjia untuk membantunya mengenal pasti kawasan.
Menurutnya, Prof. Tjia memang pakar dalam bidangnya dan berikutan itu, beberapa kawasan di Kota Tampan telah ditanda untuk kerja-kerja ekskavasi.
“Akhirnya, saya berjaya menemui bukti iaitu alat batu berusia kira-kira 70,000 tahun dahulu pada 1987,”
Zuraina berkata, penemuan tersebut telah memberi bukti baharu dan kesan pada kebudayaan manusia prasejarah di Asia Tenggara.
“Penemuan alat batu di Kota Tampan telah memadamkan bukti yang menyatakan manusia terawal di Malaysia mendiami Gua Niah.
“Ini kerana rangka yang ditemui di Gua Niah berusia 45,000 tahun sedangkan alat batu yang dibuat manusia di Kota Tampan berusia 70,000 tahun,” ujarnya.
Berikutan itu, katanya, ahli arkeologi dari 30 tempat di dunia termasuk dari Eropah, Amerika, China, Nepal dan negara-negara ASEAN datang ke Kota Tampan dalam masa tiga tahun kerja-kerja ekskavasi dilakukan beliau.
Menurut Zuraina, penemuan tersebut turut menaikkan nama Malaysia dalam bidang arkeologi yang sebelum ini pakar arkeologi dunia menganggap Malaysia agak terkebelakang dalam bidang itu.
Sementara itu, mengulas mengenai penemuan rangka manusia tertua di Malaysia yang dinamakan Perak Man pada 1991, katanya, apabila kerja-kerja di tapak ekskavasi membuahkan hasil pada tahun 1987, maka timbul pula tanda tanya mengenai ‘rumah’ yang didiami oleh masyarakat purba.
“Saya lihat ada banyak gua di sekitar Kota Tampan. Gua pada zaman batu dianggap seperti rumah semula jadi. Jadi, saya pun memulakan kerja-kerja ekskavasi di kawasan gua pula.
“Dalam salah satu gua yang ‘diteroka’, saya bersama pasukan saya menemui rangka Perak Man di Gua Gunung Runtuh,” katanya yang memberitahu nama rangka itu diberikan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.
Penemuan itu kemudiannya menjadi terkenal di seluruh dunia, sekali gus mengangkat martabat Malaysia dalam bidang arkeologi.
SALUTE PROF ZURAINA!
SUMBER
from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2nsljhb
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2nW6uBa
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment