loading...

Friday, 17 March 2017

KISAH PAK ENGKU PEMILIK KATERING PILIHAN VVIP, SELEBRITI

Jika disebut Raja Rosley Raja Mazlan mungkin ramai yang tidak pasti siapa gerangan dimaksudkan tetapi apabila merujuk pada panggilan Pak Engku, figura ini segera dikenali.

Memiliki portfolio lebih 25 tahun mengendalikan perkhidmatan katering, namanya berada di kemuncak apabila menjadi pilihan artis nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza bagi mengendalikan lauk pauk ketika majlis perkahwinannya pada 2006.

Mengimbas bagaimana boleh terlibat seterusnya mencipta nama dalam bidang katering, Pak Engku membuka sejarah silam keluarganya yang nyata mempunyai pengaruh kepada kejayaan sekarang.

Menurut anak kelahiran Kg Batu Laut, Banting, Selangor ini, kehilangan bapa ketika berusia setahun turut mencorakkan dirinya menjadi seorang yang berusaha keras.

“Saya tidak pernah menganggur walaupun sehari. Malah sebaik habis mengambil kertas terakhir SPM, saya terus bekerja sebagai pelayan pejabat,” imbau Pak Engku.

Malah sebelum bekerja makan gaji, anak bongsu daripada lapan beradik ini sudah pun giat membantu ibunya,Raja Halimah Raja Bagus yang cukup terkenal di Kg Batu Laut dengan kehebatannya memasak.

Antara tugas tak rasmi yang dilakukannya sejak di bangku sekolah rendah adalah menjadi tukang catat setiap kali penduduk kampung datang untuk menempah ibunya memasak di kenduri kendara mereka.

Dia juga menjadi drebar membawa ibunya ke tempat kenduri pada hari majlis.

“Sejak darjah enam saya pikul tugas membawa ibu ke kenduri naik basikal. Ketika tingkatan tiga barulah saya mampu menunggang motosikal,” cerita Pak Engku sambil tertawa.

Bayaran diterima ibunya untuk khidmat memasak pada masa itu kira-kira RM70 untuk 1,000 tetamu.

Apa yang menggembirakan Pak Engku, poketnya juga sering diselit RM5 oleh pelanggan ibunya sebagai upah mencatat.

Tiada raya pertama

Selepas menjadi pelayan pejabat, Pak Engku memberanikan diri mencuba pekerjaan baru sebagai pelayan di Hotel Hilton.

Ketika inilah dia banyak mengutip pengalaman termasuk melihat cara pengurusan katering dijalankan.
Bagaimanapun demi pendapatan lebih terjamin, Pak Engku menerima tawaran kerja di Pejabat Exco Kerajaan Negeri Selangor setelah tiga tahun berada dalam bidang perhotelan.

Bagaimanapun setelah berkhidmat dari 1979 hingga 1981, dia akhirnya memutuskan untuk berhenti kerja setelah melihat peluang perniagaan dalam bidang katering.

Pada mulanya syarikat yang menggunakan nama Ros Katerer menggunakan khidmat kakak Pak Engku sebagai tukang masak.

Namun setelah dinasihatkan agar turut turun padang, dia akur dan pemergian kakak ke rahmatullah pada 1985 membuatkan dia terus terlibat secara langsung.

Begitu pun tugas memasak tidak terlalu sukar buatnya memandangkan sejak kecil dia sudah terbiasa dengan resipi masakan ibunya.

Nama Ros Katerer seterusnya ditukar kepada Kuzie Katering yang merupakan gabungan nama Pak Engku bersama isterinya, Ramziah Samah.

Masakan signatur Kuzie Katering adalah daging dendeng dan mi jawa yang menjadi kesukaan orang istana. Selain itu, dia amat mementingkan pencuci mulut kerana baginya ia merupakan juadah wajib setiap kali menikmati hidangan.

“Keluarga saya memang kaki makan sejak dulu. Biasanya waktu tengah hari lagi kami dah rancang apa hendak dimakan untuk minum petang nanti.

“Pencuci mulut wajib bagi kami dan itu juga menjadi amalan keluarga saya sampai sekarang,” ujarnya yang pernah menjadi pilihan tiga Menteri Besar Selangor iaitu Muhammad Taib, Abu Hassan Omar dan Khir Toyo untuk melaksanakan tugasan katering.

Selain menteri besar dan golongan kenamaan lain, Pak Engku amat berbesar hati kerana air tangannya turut menjadi kegemaran pemimpin negara, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Malah kemuncak kepuasannya dalam bidang katering dirasai apabila mendapat tahu Najib pernah memujinya secara langsung dalam satu ucapan di khalayak ramai.

Antara pujian diberikan, masakan Pak Engku bukan sahaja sedap malah mempunyai ‘personal touch’.

“Saya terharu kerana tidak pernah menyangka diberikan penghargaan sebegitu besar oleh pemimpin negara sampai begitu sekali.

Saya juga amat berterima kasih kepada tiga menteri besar yang pernah memberikan kepercayaan kepada saya sebelum ini,” luah Pak Engku yang sempat berkongsi trivia makanan kegemaran Rosmah iaitu masakan pedas, apam daun rambai dan laksa Johor.

Sebagai tukang masak yang menjadi pilihan ramai kenamaan, Pak Engku mengakui jadualnya sentiasa penuh terutama menjelang Ramadan dan Syawal. Malah sudah 13 tahun dia tidak pernah beraya seperti orang lain kerana sentiasa terlibat dengan rumah terbuka kenamaan pada hari raya pertama.

Begitu pun, dia berasa gembira dan puas hati dengan rutin tersebut. “Prinsip saya dalam menjalankan perniagaan katering, jangan tamak dan saya tidak akan bercerita perihal pelanggan pada orang luar.

Biarlah untung diterima sikit pun tak apa asalkan dapat berikan yang terbaik. Lagi pun berdasarkan pemerhatian saya, banyak perniagaan serupa jatuh apabila tamak kerana mengejar keuntungan semata-mata,” ujar Pak Engku yang turut memberikan khidmat perancang perkahwinan selepas lapan tahun menjalankan katering.

Keikhlasan dan keseriusannya menunaikan amanah pelanggan membuatkan banyak pujian diterima

Namun akuinya, pujian keterlaluan kadangkala menaikkan roma kerana dikhuatiri membawa kepada riak.

Oleh sebab itu, Pak Engku berkongsi tabiatnya yang agak aneh iaitu gemar menyanyikan lagu Selimut Putih setiap kali gembira menerima pujian.

Ditanya pengalaman paling indah selama menjalankan perniagaan sekian lama, sambil tersenyum Pak Engku menyatakan panggilan telefon daripada Siti Nurhaliza meminta perkhidmatannya pada hari bahagia beliau sudah tentu tidak akan luput dari ingatan.

“Saya macam tak percaya Siti yang telefon saya ketika itu untuk meminta khidmat saya di majlis perkahwinannya sampaikan dia terpaksa memperkenalkan dirinya berkali-kali,” imbaunya mengenang momen manis tersebut.

SINAR HARIAN



from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2mbq7rM
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2n7bRiU
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...