KISAH kesungguhan seorang mekanik Muhammad Fauwaz Zamzam mengejar cita-citanya sebagai juruterbang hingga berjaya menyandang jawatan Kapten dan kini bertugas sebagai juruterbang jet peribadi ternyata menyentuh hati masyarakat.
Cerita mengenai beliau dibaca dan dikongsi puluhan ribu netizen yang kagum dengan kesungguhan anak jati Sabak Bernam ini yang tidak pernah kenal erti putus asa walaupun pernah satu ketika beliau gagal untuk memasuki akademi penerbangan kerana permohonannya untuk mendapatkan pinjaman ditolak mentah-mentah oleh pihak bank dan institusi.
Hari ini saya ke Lapangan Terbang Sultan Abd Aziz Shah (LTSAS), Subang untuk sekali lagi menemui lelaki berusia 35 tahun ini bagi menyelami perasaannya setelah namanya tiba-tiba menjadi sebutan di laman sosial.
” Saya tetap begini…seorang juruterbang yang bertanggungjawab untuk memastikan penumpangnya sampai dengan selamat dari ‘titik A ke titik B’…pun begitu saya akui berbanding mengemudi pesawat komersil, membawa pesawat peribadi tetap ada cabarannya yang tersendiri, ” katanya ketika memulakan perbualan.
Menurut Fauwaz, jika membawa pesawat komersil, kelibat seseorang juruterbang itu sering mendapat perhatian orang ramai terutama ketika mereka berjalan di lapangan terbang sambil menarik beg sewaktu hendak pergi dan pulang daripada menjalankan tugasan.
Namun bila menjadi juruterbang pesawat peribadi semua ‘glamour’ itu hilang kerana kehadiran seseorang juruterbang dan penumpang yang dibawanya ‘jarang’ disedari sesiapa, apatah lagi terminal untuk krew dan penumpang pesawat peribadi selalunya berbeza dengan terminal pesawat komersil biasa.
Lagipun sebagai juruterbang jet peribadi, kerahsiaan dan keselesaan penumpang perlu dijaga kerana selalunya mereka adalah ‘super VVIP’ yang ingin mengelak daripada menjadi tumpuan orang ramai yang mengenali mereka di tempat-tempat tumpuan seperti di lapangan terbang.
” Penumpang kami membayar lebih RM20,000 untuk satu jam penerbangan, bayangkan kalau berjam-jam mereka di udara, berapa banyak wang yang mereka keluarkan…sudah tentu aspek ‘privasi’ dan keselesaan mereka menjadi keutamaan kami. Malah kalau dalam pesawat komersil, kita sering dengar pengumuman daripada kapten atau krew kabin, namun dalam jet peribadi, pengumuman seperti itu boleh dikatakan tidak ada langsung.
” Saya bagaimanapun akan memberi taklimat ringkas ketika penumpang saya sampai di lapangan terbang dan selepas itu, saya sebagai kapten akan membiarkan tetamu saya menikmati penerbangan itu dengan tenang dan penuh keselesaan sehingga sampai ke destinasi yang dituju,” kata Fauwaz.
Bercerita lanjut, membawa jet peribadi juga membuatkan Fauwaz perlu bersedia sekiranya perlu terbang secara tiba-tiba. Ini berbeza dengan juruterbang pesawat komersil yang lain kerana mereka sudah ada jadual atau ‘roster’ yang sudah disiapkan lebih awal.
Namun katanya, ia ‘alah bisa tegal biasa’.
Ujarnya, pihak syarikat bagaimanapun tetap memberi masa yang sewajarnya untuk beliau sekiranya dia perlu terbang ke mana-mana.
” Masa empat jam sudah memadai untuk saya membuat persediaan, tak kira siang atau malam, uniform sentiasa standby dalam kereta,” kata Fauwaz yang pernah memandu jet peribadi syarikatnya sehingga ke Zurich, Switzerland dari LTSAS Subang.
Satu perkara menarik mengenai Fauwaz, walaupun berusia 35 tahun, dia bertubuh kecil dan raut wajahnya yang keanak-anakkan. Ini juga sering menimbulkan ‘masalah’ kerana ada di antara VVIP yang menaiki pesawatnya ‘ragu’ dengan kebolehannya.
Tak cukup dengan itu, ada juga yang mudah menjatuhkan ‘hukuman’ dengan mengatakan beliau gagal mengendalikan pesawatnya dengan baik HANYA disebabkan pesawatnya mendarat dengan ‘kasar’ atau dalam istilah pilot dikenali sebagai ‘positive landing’.
Bagi Fauwaz, itu antara asam garam sepanjang beliau bertugas sebagai juruterbang jet peribadi ini.
” Ada yang macam skeptikal bila dapat tahu sayalah kapten pesawat yang mereka naik. Malah ada rakan-rakan saya sendiri hairan macam mana saya yang bertubuh kecil ini boleh memandu pesawat yang besar dan berkuasa jet ini. Memang lucu. Selalunya saya hanya akan senyum saja.
” Mengenai pendaratan ‘kasar’ ini, tak boleh nak kata apa. Orang yang tak tahu bab penerbangan ni memang akan selalu ingat bab mendaratkan pesawat adalah kayu ukur untuk menentukan kecekapan seseorang pilot walhal banyak faktor sebenarnya bila berlaku pendaratan ‘kasar’…antaranya cuaca dan permukaan landasan.
” Bab menjadi kapten dalam usia muda jawapan saya mudah saja. Dalam dunia penerbangan, bukan umur atau raut wajah penentunya, kita bergantung kepada jam penerbangan. Untuk menjadi atau dilantik sebagai kapten pesawat, individu itu perlu ‘terbang’ dalam jumlah jam penerbangan tertentu disamping telah mengikuti pelbagai latihan yang disyaratkan. Pendek kata, belum tentu mereka yang berusia boleh dilantik jadi kapten, belum tentu mereka yang muda tidak boleh ke posisi tersebut,” ujarnya.
Sementara itu seorang pegawai operasi penerbangan, Sameer Sharma yang ditemui berkata, bukan hendak memuji kaptennya itu, namun setakat ini belum pernah ada penumpang yang merungut bila mana Fauwaz mengendalikan pesawat yang mereka naik.
Kata Sameer, malah ada yang gembira bilamana mendapat tahu juruterbang itu yang akan menerbangkan kapal terbang tersebut.
Katanya, kecekapan dan pengalaman Fauwaz memang diakui dan sebagai pegawai yang bertugas di ‘ground’, dia akan membantu kaptennya itu menguruskan segala keperluan dan dokumentasi (flight plan).
” Saya akan uruskan kebenaran mendarat di sesebuah lapangan terbang, saya akan uruskan apa saja bagi membolehkan juruterbang dan pesawat kami selesa baik sebelum mahupun selepas mendarat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fauwaz berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk berkongsi segala ilmu dan pengalaman yang pernah dilaluinya kerana beliau percaya, tidak ada manusia yang dilahirkan untuk gagal!
” Saya hanya anak kampung…bukan dari keluarga kaya…saya tak masuk universiti…saya pernah kerja mekanik dan tubuh berlumur dengan minyak sebelum sampai ke tahap ini…berusaha, berdoa dan tawakal…InshaAllah tiada yang mustahil untuk kita capai,” kata Fauwaz yang kisahnya boleh turut dilayari di http://ift.tt/2myDMFC
Salute buat Kapten Haji Muhammad Fauwaz Hj Zamzam!
BACA: DARI MEKANIK KE PILOT JET PERIBADI
from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2m6wUmr
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2mNSc5z
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment