Viral di media sosial video menunjukkan seorang lelaki memukul dan menerajang dua pekerja pasar raya Speedmart yang dipercayai berlaku di Gombak.
Berdasarkan video berdurasi satu minit itu, lelaki berbaju kelabu berkenaan datang ke depan premis tersebut dan mula bercakap dengan dua pekerja berkenaan yang sedang duduk berehat melayani telefon bimbit masing-masing.
Secara tiba-tiba lelaki itu menolak kepala mangsa pertama dan menendang mangsa kedua sehingga terjatuh. Tidak diketahui apa yang dibicara mereka sehingga berlaku pergaduhan, tetapi kedua-dua mangsa tidak melawan dan hanya cuba mempertahankan diri dari terus dipukul lelaki itu.
Insiden itu terhenti selepas beberapa orang awam yang menyedari kejadian itu datang dan lelaki berkenaan terus beredar dari kawasan itu.
Maklumat awal yang tersebar mendakwa, seorang pelanggan wanita mengadu kepada suaminya yang dia sudah menunggu giliran terlalu lama untuk masuk ke pasar raya itu disebabkan terlalu ramai pelanggan.
Bagaimanapun, wanita terbabit dalam kejadian itu tampil menafikan dakwaan tersebut dan menceritakan hal sebenar di mana salah seorang pekerja pasar raya itu terlebih dahulu bertindak mengganggunya.
"Lebih kurang jam 2 petang (6 Ogos 2021), saya dan tunang pergi ke Speedmart untuk membeli barang keperluan. Ketika saya menunggu tunang di atas motosikal miliknya, salah seorang pekerja Speedmart telah menegur dan mengganggu saya dengan berkata, "Awak meh lah duduk sini, panas tu, sini redup" sambil ketawa sebanyak dua kali.
"Perbuatan itu amat keji dan menjatuhkan maruah saya sebagai seorang wanita. Kemudian saya menghantar mesej WhatsApp kepada tunang saya memberitahunya untuk keluar cepat kerana saya tidak selesa dengan kelakuan pekerja Speedmart itu.
"Kemudian tunang saya bertanya kepada pekerja berkenaan dan dia menafikan perkara itu dengan kurang ajar. Selepas itu berlaku pertelingkahan di antara mereka," kata wanita itu dalam salinan laporan polis.
Pada keesokan hari, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah premis berhampiran yang menunjukkan kejadian itu viral di media sosial dengan dakwaan yang tidak tepat.
Tidak berpuas hati dengan fitnah tersebut, pasangan itu tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan itu dan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, salah seorang daripada mangsa mengalami kecederaan di dada, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Pihaknya juga menerima dua lagi laporan polis berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Facebook Asal Gombak, Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/3CqLCs5
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3jsCb2C
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment