Seorang bayi perempuan berusia 3 minggu dilaporkan meninggal dunia selepas enam hari dirawat di hospital akibat dicekik. Ibu mangsa juga dilaporkan kritikal kerana ditikam menggunakan pemutar skru.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7 pagi 14 November lalu di sebuah apartmen di Batu Caves, Gombak.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi 19 November lalu ketika dirawat di Hospital Selayang.
"Wanita berusia 30 tahun parah selepas ditikam menggunakan pemutar skru di belakang kepala, manakala bayinya dicekik.
"Susulan itu, kami menahan dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 19 hingga 27 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini pada hari sama (kejadian)," katanya.
Siasatan mendapati, suspek utama iaitu wanita berusia 25 tahun bersama dengan pembantu rumah menyerang mangsa yang didakwa menjalinkan hubungan dengan suaminya.
Suspek bertindak sedemikian kerana berang dengan mangsa yang menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya sehingga melahirkan anak.
Polis turut merampas pemutar skru yang digunakan suspek dalam kejadian itu.
Dua suspek terbabit direman selama empat hari (15-19 November) dan reman disambung selama lima hari untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, suami suspek berusia 27 tahun yang juga ahli perniagaan direman seminggu bermula 17 hingga 23 November untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2O7An0u
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2O4MBqO
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment