loading...

Sunday, 30 April 2017

Sudah-sudahlah terlalu percayakan tukang urut, bukan semua penyakit boleh diurut - Pakar



Bukan semua penyakit boleh diurut

Seorang lelaki India berusia awal 20-an dimasukkan ke wad saya 2 minggu yang lalu dengan kesakitan yang amat sangat pada betis kiri beliau. Saya yang Oncall pada hari tersebut terus datang ke wad bagi melihat beliau kerana diberitahu kemungkinan beliau mengalami Necrotising Fasciitis.

Necrotising fasciitis ialah sejenis jangkitan kuman yang amat serius dan boleh membawa maut. Ia biasanya disebabkan oleh kuman Staphylococcus aureus, gram positive Cocci dan Clostridium species.

"Encik Siva (bukan nama sebenar), apa khabar? Apa jadi ni?" kataku sambil tersenyum ke arah lelaki yang sedang terbaring di kubikel sub-akut Wad Kenanga 5, HOSHAS.

"Lepas tu ada kawan saya suruh pergi berubat kampung. Ada orang bagitau saya, ada tukang urut terer kat Jerantut. Saya pergi la. Takutlah juga kan sebab saya eksiden tu pukul 12 malam. Pastu dekat dengan kubur pulak tu..."

Tergelak saya. Encik Siva pun tergelak sama. Geli hati.

"Encik Siva, saya ingatkan orang Melayu saja percaya benda karut-marut macam tu. Orang India pun percaya yer?"

"Manalah tau doktor, takut la. Ada kawan Melayu saya suruh saya pergi berurut."

"Tisu dalam kaki awak ini sebenarnya ada yang sudah mati dan dah dapat jangkitan kuman. Biasanya akan ada kecederaan tisu otot masa hentakan masa eksiden itu. Jika diurut, kecederaan dalaman pada kaki itu boleh merebak dan tisu boleh mati. Jangkitan kuman pun boleh melarat."

"Kenapa terjadi jangkitan kuman ni doktor?" soalnya.

"Masa kemalangan, biasa ada luka pada kulit. Luka ini ada masanya terlalu kecik untuk dilihat dengan mata kasar dan boleh jadi laluan untuk kuman masuk."

"Jadi sekarang macam mana doktor?"

"Sekarang Encik Siva kena puasa dulu. Antibiotik kita dah bagi yang kuat sebab jangkitan ini agak serius. Kita terpaksa buat pembedahan untuk buang tisu yang mati. Kita buat secepat mungkin. Masalahnya, ada kes yang datang lambat hingga kuman dah masuk dalam peredaran darah dan rosakkan fungsi buah pinggang dan lemahkan jantung. Akhirnya kami terpaksa potong kaki untuk selamatnya nyawa pesakit."

"Ye doktor, saya terus ke hospital Jerantut selepas mengurut tu, sebab sakit sangat. Berdenyut-denyut betis saya ini. Terus doktor rujuk saya ke HOSHAS."

Masyarakat kita terlalu percayakan berurut. Jatuh sikit, berurut. Patah, berurut. Pening kepala, berurut. Angin pasang, berurut. Sakit perut, berurut. Anak songsang, berurut. Longgar, urut. Lembik, urut.

Sudah-sudahlah terlalu percayakan tukang urut itu. Mereka tidak akan bertanggungjawab jika kepatahan anda senget, jangkitan kuman berlaku, anak anda meninggal dalam perut dan sebagainya. Nak tengok keadaan tulang patah yang mereka urut pun anda disuruh ke hospital untuk x-ray. Kalau dah dikatakan Pakar Urut, tak payahlah ke hospital. Kan, Pakar!

Nota: anda boleh baca artikel saya untuk tahu lebih lanjut mengenai Necrotising fasciitis di di http://ift.tt/2oO90xu


from The Reporter http://ift.tt/2oO9Kme
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2qnKbFD
via IFTTT

'Buat malu orang yang datang supermarket saja bawa motosikal buruk. belanja acah-acah berkereta'


KUALA LUMPUR - "Kalau tak ada kereta, buat cara tak ada kereta," demikian status atau moment seorang pengguna aplikasi WeChat bernama Sarah Coco yang viral di media sosial sejak beberapa hari lalu. 

"Ini aku nak beritahu sikit, kalau tak ada kereta tu, buat cara tak ada kereta, tak payah nak eksyen sangat belanja di supermarket bawa troli, ambil barang macam datang bawa van. Padahal bawa motosikal saja. 

"Kemudian bila nak balik, sumbat barang dalam beg galas penuh, di bakul sumbat penuh dan bonceng di belakang macam beruk. Buat malu orang yang datang supermarket saja bawa motosikal buruk. belanja acah-acah berkereta. 

"Aku rasa perempuan itu mak dia agaknya sebab perempuan itu nampak tua. Kesiannya mak dia dapat anak tak berguna dan tak mampu bawa dia pergi belanja naik kereta. Hahaha! Opss!" tulisnya. 


Moment yang ditulis Sarah Coco itu kemudian sampai ke pengetahuan lelaki berkenaan, Mohd Nashiruddin Mokthar, tampil membalas kenyataannya yang biadab itu. 

"Kepada Sarah Coco atau sesiapa yang mengenali Sarah Coco itu, tolong sampaikan apa yang saya nak pesan. Berkenaan post dia di WeChat, saya tahu dia maksudkan saya sebab tadi di shop mall, kami ada berselisih faham terlanggar troli saja ceritanya. 

"Saya masih cam lagi muka dia tetapi tidak sangka sampai dia buat post begitu. Memang itu ibu saya, orang yang saya paling sayang dan awak dah silap. Ibu saya tak pernah pun rasa menyesal dan tak pernah pun anggap saya anak tak guna kerana tidak mampu berikan dia kemudahan. 

"Memang saya orang miskin, tak mampu untuk beli kereta dan saya kerja sebagai pengawal keselamatan sahaja. Tetapi Alhamdulillah bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Masih mampu untuk meneruskan hidup. Masih mampu menunaikan hajat ibu untuk ke Mekah. 

"Biar diri terasa susah asal ibu dapat penuhi impiannya. Tak apa Sarah Coco, saya maafkan awak. Setiap manusia tidak pernah lari dari membuat kesilapan. Kami sudah biasa dihina dan dikeji tetapi kami tetap kena kuat kerana ini diri kami dan ini hidup kami," tulisnya.


Semoga menjadi pengajaran kepada pengguna media sosial yang lain. Jangan sewenang-wenangnya menghina dan mengeji orang lain kerana kita tidak kenal dan tahu akan kesusahan mereka. Bersyukur dengan apa yang kita ada dan usah dibanding-bezakan dengan mereka yang tidak berkemampuan sehingga timbul penyakit hati yang boleh merosakkan akhlak diri. - The Reporter


from The Reporter http://ift.tt/2pyKYpe
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2pm2RqX
via IFTTT

Patah tangan kiri tersepit di rim tayar motosikal


ALOR SETAR, KEDAH - Seorang kanak-kanak lelaki patah tangan kiri selepas tersepit pada rim motosikal yang ditunggang oleh ibunya, semalam, lapor mStar Online

Dalam kejadian pada waktu tengah hari di Jalan Simpang Kuala, mangsa berusia 7 tahun membonceng motosikal yang ditunggang ibunya sebelum terjatuh dan tangannya tersepit di rim tayar belakang. 

Ibu mangsa segera memberhentikan motosikalnya dan meminta orang awam membantu menyelamatkan anaknya. 

Pihak Bomba dan Penyelamat Kedah, tiba di lokasi kejadian jam 2.08 petang dan mendapati tangan mangsa telah berjaya dikeluarkan olejh orang awam. 

Mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut. 


Sementara itu di media sosial, netizen mendakwa kain hijau yang dipercayai dipegang oleh mangsa terjuntai dan termasuk dalam tayar, lalu menarik tangan mangsa sebelum terjatuh dan tersepit. 

Justeru, para penunggang motosikal terutamanya golongan wanita diingatkan agar sentiasa memakai pakaian yang bersesuaian dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang. - The Reporter


from The Reporter http://ift.tt/2pltlcf
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2pywFRT
via IFTTT

'Dah sampai giliran, baru nak terkial-kial keluarkan kad ATM'



Adab di ATM

Dalam perjalanan ke tempat kerja hari ini, saya singgah di stesen minyak untuk mengeluarkan sisa-sisa tinggalan gaji bagi perbelanjaan seharian. Terdapat tiga buah ATM (Automatic Teller Machine) di situ dan masing-masing ada seorang pengguna di setiap ATM. Saya berbaris dan menunggu giliran.

Inilah saat yang saya bencikan, kesemua mereka mengambil masa yang cukup lama. Jadi di sini saya perturunkan sedikit adab di ATM terutama ketika waktu puncak.

1. Pastikan anda keluarkan kad ATM anda semasa berbaris, bukan apabila dah tiba giliran anda. Jangan masa itu baru terkial-kial nak cari di seluruh dompet dan segala poket.

2. Pastikan anda ingat nombor pin. Jika anda jenis pelupa, tulislah awal-awal di tangan atau kertas. Jangan pada masa itulah baharu nak telefon isteri atau suami tanya pin.

3. Pastikan anda sudah merancang berapa jumlah wang hendak dikeluarkan. Janganlah pada masa itu baru nak garu kepala dan telefon sana sini tanya berapa banyak nak dikeluarkan.

4. Jika anda perlu menyemak baki dan anda tahu baki anda sangat banyak jumlahnya, janganlah menunjuk sangat. Anda boleh mengundang jenayah ragut. Lagi satu, anda sebenarnya menyakitkan hati pengguna belakang yang duitnya tak cukup sampai hari gaji berikutnya.

5. Jika anda biasanya membuat segala pembayaran hutang melalui ATM, seeloknya carilah masa yang sesuai. Janganlah anda buat masa orang nak ke pejabat atau waktu rehat tengahari ketika semua orang mengejar masa.

6. Janganlah menggunakan telefon semasa berbaris dan mengeluarkan wang kerana ia mengganggu tumpuan dan merugikan masa orang lain yang memerhatikan anda yang terhegeh-hegeh memegang telefon berbual dan dalam masa sama ingin membuat transaksi.

7. Janganlah mengira duit anda selepas mengeluarkannya. Saya percaya semua mesin akan memberi jumlah yang tepat mengikut jumlah dikeluarkan. Jika ada terkurang sekalipun, anda masih boleh membuat aduan dan pihak bank akan memeriksa rekod ATM. Lagi satu, bimbang juga terjadi kes ragut.

8. Jika kad anda 'ditelan' akibat pin salah atau lambat dicabut keluar, usahlah meratap dan menghalang pengguna lain untuk menggunakan mesin itu. Kad yang ditelan tak akan keluar semula. Laporkan kepada pihak bank dan dapatkan penggantian kad.

9. Jika ada orang tua, perempuan sarat mengandung atau orang kelainan upaya turut berbaris di belakang anda, seeloknya berilah laluan kepada mereka.


from The Reporter http://ift.tt/2qncunB
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2oZfDJu
via IFTTT

'Silibus semua subjek Tahun 1 semakin sukar, padahal anak-anak masih terkial-kial nak tulis nama sendiri'


Mak, berat hati saya nak tulis. Tetapi percayalah silibus semua subjek anak-anak Tahun 1 semakin sukar. Arasnya tinggi. Mak sendiri pun ramai yang tak tahu nak jawab macam mana. 

Tak percaya? Saya mohon mak belek buku teks Tahun 1 yang baru. Bukan satu subjek, semua subjek. Ini contoh Matematik Tahun 1 (credit to cikgu Mohd Fadhli). Tahun 1 sudah kena bina ayat, padahal anak-anak masih terkial-kial nak menulis nama sendiri. 

Mak rasa? Berbaloi ke 2 murid maju di depan? Tetapi 30 lagi ketinggalan di belakang? 

Mak, nak mengajar itu senang, nak beri faham itu sukar, nak pupuk minat itu sulit. 

Cikgu sebagai pelaksana dasar paling bawah, mentimun, bukan musang king. Andai keputusan ujian anak kurang menyenangkan hati, usah dituduh cikgu makan gaji buta, usah dikata cikgu tak pandai mengajar, masa cikgu sudah habis 'dicuri'. 

Kemenjadian murid bermula di rumah. Aktifkan suara ibu bapa pada musang king kerana ibu bapa ibarat opet. Hanya opet yang suka makan musang king. Mentimun kalau bersuara, sila-silap kena lenyek. 

Anak saya di Pra Sekolah pun dah ada latihan begini. Saya cikgu, tapi saya juga ibu. Risau, sedih dan keliru.





Mak, bagi soalan matematik seperti contoh pada post saya ini, nama tajuknya number bond. Ini kaedah bagi memudahkan anak mengira berbanding kaedah biasa yang kena bawa ke depan itu. Dengan kaedah number bond ini, nombor itu dikecilkan.

Saya setuju kaedah ini sebenarnya lebih mudah. Bila anak dah menguasai pelengkap nombor 5 dan 10. Maksudnya, semasa usia 5-6 tahun, anak sudah tahu apa kombinasi nombor yang boleh menghasilkan jumlah 5 dan 10.

  • 1+4=5
  • 2+3=5
  • 5+0=5
  • 1+9=10
  • 2+8=10
  • 3+7=10
  • 4+6=10
  • 5+5=10
  • 10+0=10

Ajar anak untuk mahir cerakinkan nombor puluh dan sa. 24 = 20 + 4. Jika anak tak mahir dengan kombinasi nombor ini, sukarlah jua bagi mereka menjawab soalan number bond. Naik darjah 1 terus dapat soalan begini, risau minat mereka terus terpadam. Jadi, saya seru mak-mak yang hebat semua mulakan di rumah. Ingat, kemenjadian murid bermula di rumah.

Ya, yang hantar di tadika hebat, saya yakin topik ini sudah ada dalam silibus mereka. Tetapi untuk yang kurang mampu, ini tipsnya. Biarlah sama-sama mendaki puncak, bukan berpisah dua di depan, 10 di belakang.  Mak jangan stress, jangan jadi naga. Anak-anak perlukan sokongan kita.


from The Reporter http://ift.tt/2pMUTZp
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2oZ3eVX
via IFTTT

Saturday, 29 April 2017

GST: Mufti Penang kata haram, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kata hukumnya harus selagi terdapat keperluan untuk negara & rakyat


SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd berkata, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan pada masa ini telah menimbulkan banyak masalah dan menyukarkan kehidupan golongan berpendapatan rendah, lapor Sinar Harian.

"Sebarang tindakan dan polisi membebankan serta menganiayai rakyat adalah haram kerana bercanggah dengan nilai keadilan yang dikehendaki Islam seperti diperintah oleh Allah SWT kepada kerajaan untuk menegakkannya. 

"Dari segi perspektif Islam, cukai tidak harus dikenakan ke atas golongan miskin dan berpendapatan rendah. Perlaksanaan GST perlu dikaji semula agar ia lebih adil dan tidak membebankan golongan berpendapatan kecil. 

"Cukai seperti itu sepatutnya dihadkan hanya kepada golongan kaya, termasuk syarikat-syarikat korporat," katanya. 

Lapor Astro Awani, pada Oktober tahun lalu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menyatakan hukumnya harus selgai terdapat keperluan untuk negara dan rakyat. 

Pengerusinya, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, tidak salah kerajaan mengenakan GST sekiranya pelaksanaannya berlandaskan hukum syarak. 

"Selagi kerajaan komited dalam melaksanakan syariat Islam dan memastikan cukai yang dikutip adalah untuk kebaikan negara dan rakyat, GST boleh dikenakan," katanya. - The Reporter


from The Reporter http://ift.tt/2oL6ckD
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2ptFs5z
via IFTTT

'Ya Allah, kalaulah suami aku khianati aku, curangi aku, biarlah malam ini dia kemalangan'



Assalamualaikum. Sekadar nak kongsi pengalaman. 

Saya sudah16 tahun berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak. Saya dan suami sebaya, berkahwin awal pada usia 21 tahun. Selepas tamat SPM, saya sambung belajar, manakala suami terus bekerja. Mak mentua yang beria-ria mahu kami kahwin awal. Belum sempat saya habis belajar, saya dah berkahwin. 

Di awal perkahwinan, kami PJJ selama setahun. Tamat pengajian, saya pun melahirkan anak sulung. Allah permudahkan urusan saya. Selesai saja berpantang, saya ditawarkan kerja di bandar yang tidak jauh dari kampung. Alhamdulillah, rezeki anak. 

Kami menyewa sebuah rumah kampung sahaja pada waktu itu. Tidak lama selepas itu, ujian pertama dalam perkahwinan, suami dah pandai balik lewat setiap hari. Hati saya dah syak macam-macam. Semakin lama, keadaan semakin teruk. Yang paling membuatkan saya rasa geram, rumah saya terbakar dan puas saya menelefon dia, tak dijawab. Mujurlah pada waktu itu ada jiran-jiran yang baik membantu. 

Menjelang tengah malam, barulah dia pulang. Masa itu dia memang menyesal sebab tak jawab panggilan saya (waktu itu saya guna telefon jiran, telefon bimbit tak ada line dan tak dapat nak hantar SMS). 

Selepas kejadian itu, saya terpaksa menumpang di rumah mak saya. Tetapi suami masih lagi buat perangai. Jam 2-3 pagi baru pulang ke rumah. Saya malu dengan keluarga saya sebab mereka sudah mula 'bersuara' Akhirnya saya tak tahan dan berdoa. 

"Ya Allah, kalaulah suami aku khianati aku, curangi aku, biarlah malam ini dia kemalangan" 

Masa itu saya dah geram sangat dan mendoakan suami ditimpa kemalangan. Selepas tersedar, saya istighfar semula. Mungkin doa saya, doa hamba yang teraniaya agaknya, Allah makbulkan doa saya. 

Dalam jam 5 pagi, saya terdengar bunyi kereta di luar rumah tetapi bukan kereta dia. Bila saya buka pintu, tengok suami dengan lebam dan luka sepanjang satu inci di kepala. Katanya kemalangan langgar babi. Mengucap saya pada waktu itu dan terdetik dalam hati, "Allah perkenakan doa aku?", menjadikan hati saya kuat mengatakan dia memang ada melakukan sesuatu di belakang saya. Tetapi saya bersabar dan tidak mahu bergaduh di rumah mak saya. 

Tidak lama selepas itu, kami berpindah ke rumah lain. Masa itu saya mula siasat. Saya perasan dia selalu menyorokkan telefon bimbitnya. Suatu pagi, sewaktu dia sedang mandi, saya mencari telefonnya. Bila terjumpa, saya terus buka telefon itu dan mendapati ada mesej dari perempuan yang 'ber'abang-abang' dengannya. Saya tunggu dia di pintu bilik.

Selesai saja dia mandi, saya tanya dia siapa perempuan yang dia sms itu? Dia diam. Saya lempar telefon itu ke dinding, hancur! Sebelum itu saya dah salin siap-siap nombor telefon perempuan itu. Suami saya merayu-rayu dan menangis takkan buat lagi. Dia merayu agar saya tidak tinggalkan dia. 

Saya pergi kerja seperti biasa. Sampai di pejabat, saya menghubungi perempuan itu dan ceritakan hal sebenar dan ajak dia berjumpa. Perempuan itu kata, dia tidak tahu yang suami saya sudah berkahwin. Suami saya selalu balik lambat sebab keluar dengan dia sehingga larut malam. Perempuan itu berjanji yang dia tidak akan kacau suami saya lagi.

Tetapi saya tak bodoh. Keesokannya saya pergi mengintip dia di tempat kerja dan ternyata mereka masih berjumpa lagi. Masa itu saya tak ada kereta dan saya mengekori mereka menggunakan teksi. Rupa-rupanya mereka pergi makan tengah hari bersama. Memang saya geram pada waktu itu dan terjah mereka yang sedang makan. Air sirap di atas meja, saya simbah atas muka suami dan perempuan itu. 

Dengan nada lembut dan manja, saya kata, "Abang, sila pilih saya atau perempuan ini?" 

Suami bangun dan kata pilih saya.

"Kenapa ganggu suami saya lagi?" soal saya pada perempuan itu. 

"Sebab tak boleh nak lupakan dia," jawabnya. 

"Lepas ni kau jaga, aku akan upah seorang perempuan untuk kacau ayah kau. Aku tak boleh buat engkau, aku akan buat pada keluarga engkau. Aku dah siasat dan aku tahu semua pasal engkau, mak ayah engkau, adik beradik engkau (sedangkan saya tak tahu apa-apa pun, gertak saja lebih)," kata saya sebelum beredar dari situ dan suami mengekori dari belakang. 

Selepas kejadian itu, suami saya jadi lelaki mithali untuk beberapa bulan. Saya pula mengandung anak kedua dengan harapan bila bertambah anak, suami akan lebih bertanggungjawab.

Lahir saya anak kedua, sekali lagi suami buat perangai dengan budak perempuan berhampiran dengan rumah sewa kami. Suami siap hantar dia pergi kerja bagai. Sekali lagi saya kumpul bukti dan bila bukti sudah mencukupi, terus pergi serang. Kali ini sayab elasah kedua-duanya sekali. 

Perempuan itu tahu suami saya sudah berkahwin dan ada anak, tetapi gatal juga nak melayan. Hati saya sudah mula tawar, tetapi masa itu saya muda dan takut kalau bercerai, mesti keluarga akan salahkan saya. 

Tetapi hati saya berdendam dengan suami dan mulai dari hari itu, saya tidak bertolak ansur dah dengan suami. Gaji saya, saya gunakan sepenuhnya untuk saya. Saya tak bayar ansuran kereta sebab kereta atas nama dia. Saya beli makanan untuk saya dan anak-anak sahaja. Gaji saya dijoli bersama dengan anak-anak. Akhirnya kereta dia ditarik, saya buat tak tahu saja. 

Maka dia pun pergi kerja jalan kaki. Kawan-kawan dulu semua menghilangkan diri. Keperluan anak, 100% saya minta dari dia. Susu anak tak ada, saya minta dia pergi belikan. 

"Nak pergi dengan apa? Kereta tak ada. Tunggu balik kerja esok, saya belikan," katanya. 

"Pergilah jalan kaki! Anak nak susu, tak boleh tunggu esok!" balas saya. 

Tidak lama selepas itu, suami naik pangkat dan gaji pun naik. Suami sambung bayar kereta kawan dia, Proton Iswara. Bila dah ada kereta, dia beli pula telefon baru. Dia terlupa yang dia masih dalam pemerhatian saya lagi.  Dan sekali lagi dia buat perangai. suami saya yang gatal sebenarnya, sibuk bermesej dengan perempuan lain. 

Bila dia kantoi, sekali lagi telefonnya menjadi mangsa, pecah telefon itu saya kerjakan. 

"Siapa perempuan itu?!" soal saya tanpa dijawabnya. 

Memang masa itu saya naik angin dan saya kejar dia dengan pisau pemotong daging. Mujur dia sempat masuk bilik dan kunci pintu. 

Selepas peristiwa itu, saya memang berdendam dengan dia. Hidup dia pun kucar-kacir sampai kena buang kerja sebab selalu datang lambat. Sejak kes itu, saya memang abaikan dia walaupun serumah. Saya siap pergi kerja, di saya tak pedulikan langsung. Anak-anak saya tinggalkan dengan dia. Pandai-pandailah dia nak uruskan. Sebab itu dia selalu lambat pergi kerja. 

Selepas dia dibuang kerja, kereta tak mampu bayar dan diambil oleh kawannya semula. Saya memang tak tolong. Masa itu saya tak ada kerja lagi, saya pergi kerja naik bas atau teksi. Saya rela susah naik bas dari beli kereta sebab saya tahu kalau saya beli kereta, mesti dia yang akan tumpang senang. 

Setiap malam saya akan terbayangkan kecurangan suami. Hati rasa macam terbakar. Waktu itu saya tak boleh tengok muka dia, geram sangat. Saya nak dia rasa macam mana saya rasa. Keesokkannya sebelum balik kerja, saya pergi ke bandar belikan sebuah telefon yang paling murah dan kad sim baru. Saya guna nombor baru itu untuk sms ke nombor saya kononnya ada orang lain yang hantar pada saya. Sengaja saya simpan semua sms cintan-cintun dalam telefon itu.

Dua tiga minggu itu saya asyik dengan telefon, tak berenggang dengan telefon. Sebenarnya waktu itu, tak ada apa-apa pun tetapi saya sengaja berlakon supaya dia curiga. Memang dia nampak curiga sebab dia dah mula tegur saya bermesej dengan siapa. 

Dah banyak mesej romantik dalam telefon saya dan saya tinggalkan telefon di rumah sewaktu saya pergi kerja. Telefon baru itu memang ada dengan saya. Tengah hari itu, dia menghubungi nombor baru, saya cuma tersenyum dan biarkan panggilan itu tanpa dijawab. Banyak kali dia menghubungi nombor baru ini, tetapi saya tak jawab sehinggalah dia menghantar sms, 

"Kau sape? Kenapa ganggu isteri aku?! Jawab call aku!" 

Saya rasa puas hati, saya nak dia rasa apa yang saya rasa. Biarpun terpaksa berlakon. Tidak lama selepas itu, dia datang ke pejabat saya dengan kereta kawannya. Dia bawa saya pergi makan dan tanya siapa lelaki yang sms saya itu. Saya hanya ketawa dan tanya dia,

"Pedih tak, bang?"

Saya tinggalkan dia dan terus balik ke pejabat. Sejak dari itu suami berubah. Setahun saya ambil masa untuk ikhlaskan hati untuk menerima dia. Tiap-tiap malam saya terbayangkan semua perkara yang dia sudah buat pada saya. Kesusahan dan keperitan saya pada waktu itu sukar saya nak gambarkan dengan perkataan. 

Akhirnya saya terima dia, saya mohon ampun pada dia, cium tangan dia. Saya tahu saya pun banyak buat salah dan kadang-kadang tak dapat menahan marah bila tahu dia curang dan mengkhianati saya. Suami menangis teruk waktu itu, dia beritahu saya yang dia sudah rasa apa yang saya rasa dan dia menyesal.

"Ini peluang terakhir saya beri pada abang. Abang berubahlah betul-betul," kata saya pada dia. 

Alhamdulillah, suami pun sudah berubah. Sekarang dia pun sudah berniaga sendiri. Pernah sekali gulung tikar, tiga tahun kemudian kami cuba lagi. Alhamdulillah, rezeki Allah. Anak pun dah bertambah seorang lagi. Kami pun dah semakin matang, ada bergaduh sekali sekali tetapi bukan disebabkan orang ketiga.

Semua perniagaan dia saya yang uruskan. Dia jadikan saya orang terpenting dalam hidup dia dan saya pun jadikan dia orang yang terpenting dalam hidup saya. Apa-apa saja perkara, kami akan maklumkan walaupun perkara kecil. 

Dugaan semalam walaupun pedih, mengajar kami banyak perkara. Banyak yang kami sudah tempuh. Yang akan datang, kami memohon pada Allah kuatkan hati kami untuk menempuhi segalanya bersama-sama. 

Sekarang suami banyak masa di rumah. Cuma saya kadang-kadang bosan bila dia di rumah sebab suami sekarang dah dapat hobi baru, membebel. Meningkat usia ini jadi kaki bebel pula. Tetapi saya terima daripada jadi kaki perempuan. 10 kali saya lebih rela suami jadi kaki bebel seperti karang. Doakan kami berkekalan ke jannah. InshaAllah. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Jadikan Allah utama dalam hidup kita. InshaAllah kita akan kuat berdepan ujian Allah. 


from The Reporter http://ift.tt/2oX5E7h
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2pi7It3
via IFTTT

Friday, 28 April 2017

Tempurung kepala retak, sebahagian otak rosak selepas terjatuh dari inflatable bouncer


GEORGE TOWN - Seorang kanak-akan berusia lima tahun kini koma selepas terjatuh dari ketinggian hampir mencecah 10 meter ketika bermain inflatable bouncer, lapor Harian Metro. 

Dalam kejadian di kediaman mereka di Persiaran Sungai Gelugor, Ahad lalu, Syarul Ariel Fifqi Mohd Azriq, 5, terjatuh ketika bermain inflatable bouncer yang disewa khas daripada sebuah syarikat katering. 

Ibu mangsa, Norsyaliza Yahaya, 32, berkata, dia mengadakan majlis sambutan hari jadi untuk bapanya dan menyewa peralatan permainan berkenaan untuk kanak-kanak yang dipasang di hadapan rumah mereka oleh pekerja katering pada jam 3 petang. Kemudian Syarul Azriel bersama sepupu yang lain bermain peralatan gelongsor berkenaan. 

"Bagaimanapun setengah jam selepas itu, anak saya terjatuh kerana alat permainan itu terbalik dan kepalanya terhentak di atas tar dan menyebabkan dia tidak sedarkan diri. 

"Dalam keadaan kelam kabut itu, saya terus membawa anak ke hospital dan dia menjalani ujian MRI sebelum doktor mengesahkan ada keretakan serta pendarahan di kepalanya," katanya. 

Mangsa kini masih dalam keadaan koman di Unit Rawatan Rapi Hospital Lam Wah Ee.

Menurut Norsyaliza, berikutan kejadian itu, Syarul Azriel menjalani dua pembedahan di otak kiri dan kanan pada hari yang sama dan kini masih belum sedarkan diri. 

"Doktor memberitahu tempurung kepala anak saya pecah serta sebahagian daripada otaknya rosak dan saya tidak tahu apa yang bakal berlaku kepada anak saya selepas ini," katanya. 

Norsyaliza kesal dengan syarikat katering berkenaan yang dilihat cuba mengambil sikap lepas tangan kerana pekerja yang memasang peralatan berkenaan tidak melakukannya dengan betul. 

"Saya difahamkan, sepatutnya pekerja yang memasang peralatan terbabit mengikat tali untuk mengelak daripada terbalik. Namun mereka tidak melakukannya. 

"Selain itu saya turut kesal kerana pihak syarikat terbabit langsung tidak bertanya khabar dan bersemuka dengan kami untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah itu," katanya. 

Ekoran kejadian itu, Norsyaliza membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik syarikat katering berkenaan. 

Sementara itu, pihak katering telah memberi keterangan kepada pihak polis dan berserah kepada mereka untuk mengambil tindakan undang-undang kerana kejadian yang berlaku sebenarnya adalah kemalangan dan bukan kecuaian mereka. 

Pemilik syarikat katering yang tidak mahu didedahkan nama itu berkata, sepatutnya pengawasan kanak-kanak ketika bermain peralatan itu adalah tanggungjawab ibu bapa dan pihak katering tidak sepatutnya dipersalahkan. 

"Semua perjanjian itu memang sudah ada dalam syarat ditetapkan pihak syarikat dan tugas kami hanya memasang peralatan tersebut. Pekerja kami sudah melakukan apa yang termampu dan saya rasa kejadian ini berlaku mungkin disebabkan aksi kanak-kanak terbabit yang aktif ketika bermain sehingga membuatkan peralatan itu terbalik. 

"Jika terlalu ramai kanak-kanak bermain, memang mereka sukar dikawal dan disebabkan itu kami meletakkan syarat meminta penjaga mengawasi tingkah laku anak-anak mereka sendiri dan tidak menyerahkan tugas itu kepada pekerja syarikat," katanya. 

Dalam kenyataan kepada Harian Metro itu, pemiliknya turut menjelaskan pihaknya ada menghubungi keluarga mangsa untuk bertanya khabar serta mengetahui perkembangannya. Namun buat masa ini mereka enggan bertemu dengan keluarga berkenaan kerana sudah menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut. 

"Jika keluarga berkenaan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kami, itu terserah kepada mereka kerana bagi saya, pekerja mengikut prosedur ditetapkan ketika memasang peralatan terbabit," katanya lagi. 


from The Reporter http://ift.tt/2qhaTjv
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2oV79mk
via IFTTT

'Saya tak menyesal potong kemaluan suami yang kaki perempuan'


BANDAR ILOILO, FILIPINA - Tidak tahan dengan sikap suami kaki perempuan, seorang wanita memotong kemaluan suaminya dengan gunting, lapor Inquirer.net.

Mark Betita, 33, sebelum kejadian sedang tidur di rumahnya di bandar Carles sebelum isterinya, Leizel, memotong alat kelaminnya dengan gunting pada 22 April lalu. 

Leizel ditahan polis selepas kejadian itu di balai polis sementara menunggu penyelesaian kes yang difailkan terhadapnya kerana mencederakan Mark. 

"Saya tidak menyesal memotong kemaluannya. Ini sebagai hukuman kepadanya kerana ini balasan terhadap kaki perempuan. Saya bersedia berdepan dengan apa-apa kemungkinan kerana tindakan saya ini," kata Leizel. 

Pegawai polis, Carles, Alexis Bataga berkata, siasatan awal menunjukkan Leizel bersama Mark minum pada malam kejadian. 

"Apabila suaminya mabuk, mereka masuk ke bilik tidur. Tidak beberapa lama kemudian, mangsa keluar dalam keadaan berlumuran darah dan mendakwa isterinya telah memotong kemaluannya," katanya. 



Mangsa dikejarkan ke hospital, malangnya doktor gagal menyambung semula zakarnya. Sementara itu Leizel menjelaskan dia hanya mahu memberi pengajaran kepada suaminya. 

"Saya bosan dengan sikapnya yang kaki perempuan dan dia mempunyai teman wanita baharu baru-baru ini," kata Leizel. 

Bagaimanapun, Mark menafikan dakwaan itu dan nekad mahu memfailkan saman terhadap isterinya. - The Reporter


from The Reporter http://ift.tt/2oHt04W
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2qgXebS
via IFTTT

Kanak-kanak melecur selepas dicampak dalam tab mandi berisi air panas kerana kotorkan pakaian


MISSOURI, AMERIKA SYARIKAT - Gara-gara menggotorkan seluar, seorang lelaki tergamak mencampak kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ke dalam tab mandi berisi air panas sebagai hukuman, lapor Mirror. 

Korbin Edwards, 2, dijaga oleh teman lelaki ibunya, Daniel Rose, 32, bertindak demikian kerana berang mangsa telah menggotorkan seluarnya. 

Mangsa yang mengalami kesan lecur tahap tiga dari bahagian pinggang ke bawah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kejadian itu menyebabkan perut dan ususnya rosak teruk memaksanya menggunakan N-tiub, katerer dan Iv selama beberapa minggu. 


Selepas terselamat dari kecederaan yang dialami, doktor memberi amaran bahawa mangsa tidak akan dapat berjalan lagi berikutan kecederaan teruk di kulitnya. Namun ajaibnya, Korbin yang kini berusia enam tahun mampu berjalan dengan dorongan dan bantuan ibunya. 


DJ Gilbert, 34, dari Bandar Kansas di Missouri, Amerika Syarikat berkata, "Saya benar-benar takut bila pertama kali melihat kulitnya yang merah terang dan putih. Saya dimaklumkan dia mengalami luka terbakar tahap tiga bermula dari bahagian perut, pinggang, alat kelamin, punggung dan keseluruhan kakinya. 

"Disebabkan kejadian itu, perut dan ususnya telah rosak sehingga meneyebabkan dia tidak boleh makan, minum, pergi ke bilik air sendirian dan segala-galanya. Sukar untuk saya melihat keadaan dia begitu. 

"Dia memerlukan tiub makanan, IV dan keteter selama tiga minggu. Itupun dia tidak boleh makan makanan pejal bagi tempoh masa yang lama. 


"Tetapi dia semakin pulih dan keadaannya semakin baik dan walaupun diberitahu dia mungkin tidak boleh berjalan lagi, dia buktikan bahawa tanggapan itu salah. Dia seorang budak yang sangat kuat." katanya. 

Difahamkan, Gilbert meninggalkan dua anaknya dalam jagaan Rose pada 2013 ketika dia berada di tempat kerja. Pada awalnya dia terkejut apabila menerima gambar anaknya dengan tanda merah yang didakwa Rose sebagai ruam lampin. 

"Saya kenal Daniel selama 15 tahun dan kami telah bercinta selama beberapa bulan dan dia telah menjaga Korbin ketika kejadian itu berlaku. 

"Dia menghubungi saya di tempat kerja dan memaklumkan Korbin mengalami ruam. Lalu saya meminta dia menghantarkan gambar dan apabila saya menerimanya, dari bahagian perut hingga ke bawah kaki Korbin kemerah-merahan. 

"Apabila saya tiba di rumah, Krobin baring di sofa dan kulitnya telah tertanggal. Saya membungkusnya dengan selimut dan bawa ke hospital," katanya. 


Siasatan polis mendapati, Daniel telah mencampak mangsa ke dalam tab mandi yang berisi air panas kerana berang mangsa mengotorkan pakaiannya.

"Dia beritahu saya ia adalah ruam lampin tetapi dalam keterangannya pada polis, dia mendakwa Korbin terjatuh dalam tab mandi. 

"Kami percaya Daniel marah kerana Korbin kotorkan seluarnya dan disebabkan itu Daniel campak dia ke dalam air panas," katanya. 


Daniel Rose, dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah pada Ogos lalu. 

"Saya tak sangka dia tergamak lakukan anak saya begini sedangkan dia langsung tiada tanda-tanda akan menjadi manusia kejam seperti ini. Dia pernah berkhidmat sebagai tentera dan dia orang yang baik yang saya sangka dia boleh dipercayai," katanya. - The Reporter


from The Reporter http://ift.tt/2qfhQnK
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2oUqILU
via IFTTT

Baru 3 jam berkahwin, terus 'diceraikan' gara-gara sikap tamak pengantin lelaki



INDIA - Seorang suami diceraikan tiga jam selepas berkahwin dan kepalanya dicukur sebagai hukuman, selepas isterinya mendakwa lelaki itu tamak dan telah berkahwin dengan lelaki lain pada hari yang sama, lapor Daily Mail.

Rubana Parveen, 18, berkahwin dengan Muntaj Ansari, 26, pada pagi Rabu di kampung Chandwa, barat India. 

Namun selepas selesai perkahwinan yang dilangsungkan mengikut adat muslim itu, pemandu beca roda tiga (auto) itu mula menuntut mahar yang besar dan berkeras mahu membeli sebuah motosikal mahal. 

Bapa pengantin perempuan, Bashir-ud-din Ansari, 58, yang memiliki sebuah hotel bagaimanapun telah membelikannya sebuah motosikal, tetapi Muntaz tidak berpuas hati dan meminta dibelikan motosikal jenama yang lebih bagus. 


"Orang ramai meminta pengantin lelaki bertenang dan memujuknya menerima motosikal yang diberikan itu. Tetapi dia terus mengugut mahu keluar rumah tanpa isterinya. 

"Pengantin lelaki dan bapa Rubana bertengkar dan keadaan menjadi tidak terkawal dan memalukan," kata saksi. 

Pengantin perempuan, Rubana kemudian mengambil keputusan untuk menghubungi Tok Kadi, dan dengan sokongan kesemua ahli keluarganya,  Rubana membatalkan perkahwinan itu dan sekaligus 'menceraikan' suaminya. 

Bashir-ud-din berkata, beliau akan memastikan keluarga Muntaz mengembalikan kesemua hadiah dan mas kahwin yang telah dibayar. 

Malu dengan kejadian itu, keluarga Muntaz menulis surat dan memohon maaf serta berjanji akan memulangkan kesemua barangan yang dipinta. 

Penduduk kampung yang berang dengan perangai Muntaz kemudian menghukumnya dengan menggantungkan kasut dan kertas tertulis, "Saya tamakkan mas kahwin". Malah, rambutnya turut dicukur, termasuk abangnya yang turut dikenakan hukuman sama. 



Tidak beberapa lama kemudian, Bashir-ud-din, bapa kepada empat orang anak itu, mengatur perkahwinan untuk anak perempuannya dengan lelaki lain. 

Beliau menghubungi keluarga Mohammed Elias, 25, dan merancangan perkahwinan mereka pada petang pada hari yang sama. Pada sebelah malam, perkahwinan mereka berjalan dengan lancar mengikut apa yang telah dirancang dalam masa yang singkat itu. 


"Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Saya gembira anak perempuan saya tidak perlu menghabiskan masa bersama lelaki tamak itu. 

"Dia bersyukur yang dia akhirnya telah berkahwin dan saya merestui hubungan mereka berdua," katanya. - The Reporter


from The Reporter http://ift.tt/2pbM5uB
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2pGdvuc
via IFTTT
loading...