Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta orang ramai berhenti menularkan video sekumpulan pelajar sekolah yang melakukan vandalisme di sebuah sekolah di Pulau Pinang.
Beliau berkata, pihaknya bimbang jika video itu terus ditularkan di media sosial, proses intervensi pelajar berkenaan akan terganggu.
Menurutnya, proses intervensi itu adalah penting bagi memastikan mereka diberi peluang untuk memperbaiki diri dan juga memberi kesedaran kepada pelajar lain.
"Kita memang mahu jaga dan lindungi anak-anak ini supaya dia dapat kaunseling yang berterusan. Kita bimbang jika terus diviralkan, proses intervensi itu tidak dapat berjalan dengan baik.
"Kita sudah selesai siasatan dan kita sudah panggil pelajar ini, ibu bapa mereka dan sudah melakukan pelbagai intervensi. Selepas ini kita lihat dari hasil kaunseling itu dan kita lihat apa yang menyebabkan mereka jadi begitu.
"Saya faham ramai yang marah melihat kejadian itu. saya fikir anak kita mesti diberi peluang, teguran dan kaunseling yang berterusan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, pihaknya percaya ada sebab tertentu yang menyebabkan kumpulan pelajar terbabit bertindak sedemikian.
Beberapa hari lalu, tular video sekumpulan pelajar sekolah menjahanamkan harta benda di dalam kelas dan tandas tanpa sebaran rasa bersalah, mengundang kemarahan ramai.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/Kl6FW98
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/LRD1QGg
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment