Kebelakangan ini banyak kisah negatif mengenai keburukan tinggal di rumah mertua. Namun, harus diingatkan bukan semuanya begitu. Ada juga kisah-kisah manis di antara mertua dan menantu sebenarnya.
Walau bagaimanapun, pernahkah anda terfikir cara untuk menyelesaikan ketidaksefahaman yang timbul di antara pasangan anda dengan ibu anda atau sebaliknya? Lelaki ini kongsi tips bagaimanapun menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang baik dan sudah tentunya berlaku adil terhadap kedua-dua belah pihak.
Saya seorang lelaki, mempunyai seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia 4 tahun. Usia perkahwinan 7 tahun.
Awal perkahwinan, saya bekerja di daerah lain. Saya dan isteri tinggal di rumah sewa. Pada tahun kedua perkahwinan, saya dipindahkan kerja di daerah tempat asal saya. Isteri saya mengikuti saya tinggal dengan mak ayah saya, walaupun masa itu saya sudah membeli rumah. Sebabnya, atas permintaan mak ayah saya kerana rumah mak ayah saya cukup besar, banyak bilik dan tempat kerja saya pun lebih dekat dengan rumah mak berbanding rumah yang saya dah beli itu (saya jenis tengah hari balik rumah untuk makan sebab nak jenguk isteri dan lebih suka makanan isteri, di samping jimatkan kos).
Dalam rumah, selain mak ayah, ada seorang adik lelaki bujang dan dua orang adik perempuan bujang saya tinggal sekali. Kami semua masing-masing ada bilik sendiri. Mula-mula itu biasalah isteri saya kejap terasa itu kejap terasa ini, makan hati itu makan hati ini. Tapi saya mainkan peranan seadilnya. Mak dan isteri saya pun sama-sama surirumah. Mak saya jenis rajin buat kerja rumah dan rajin masak, dan sangat teliti. Isteri pula jenis santai, dan baru-baru belajar nak masak dan buat kerja-kerja rumah. Jadi korang boleh bayanglah macam mana kan, apa yang boleh mencetus sakit hati.
Tetapi apa sahaja yang saling tak puas hati itu, saya tak fikir panjang terus sahaja aturkan sesi luahan hati ke hati antara isteri dengan mak saya. Bagi ruang sepenuhnya untuk kedua-dua belah pihak bersuara dan mendengar.
Kalau isteri ada tak puas hati, saya akan tanya dia balik suruh fikir, salah ke apa yang mak buat itu? Ada mudharat ke? Tak bagus ke? Dari sudut agama pula agaknya macam mana? Begitu juga dengan mak, saya cakap baik-baik, salah ke yang isteri saya buat itu? Apa yang tak patutnya? Dari masa ke semasa bapa saya juga akan join sesi pertemuan dan berikan nasihat, pendapat. Bila kedua-dua pihak menilai tanpa emosi, akhirnya sama-sama boleh memahami dan menerima, sama-sama boleh sepakat.
Saya perasan ada satu hal di mana mak dan isteri saya sangat serasi dan saling melengkapi iaitu suka bercerita. Apa-apa topik, gosip-gosip, hal-hal semasa, hal-hal family mereka suka sembang. Jadi, mereka bersama-sama di dapur atau lipat kain depan tv, masa itulah mereka gunakan kesempatan untuk bersembang-sembang.
Alhamdulillah setelah dua tahun duduk serumah, isteri sudah selesa di rumah mak saya, dah natural. Di mana mak saya letak barang, isteri lebih tahu dari saya. Pokok bunga mana nak siram tiap hari dan mana yang selang sehari, isteri lebih tahu dari saya. Malah kalau mak ayah saya bercuti atau balik kampung perlu tinggalkan rumah beberapa hari, isteri sayalah yang diamanahkan untuk menjaga rumah dan adik-adik saya. Adik-adik saya mesti patuh pada isteri saya. Isteri saya akan ambil alih peranan mak saya mentadbir urus rumah.
Cuma, memang betul tak boleh selama-selamanya nak duduk dengan mak ayah. Sampai masanya kena tinggal sendiri juga, kena belajar hidup berdikari.
Selepas 5 tahun, akhirnya saya bawa isteri tinggal di rumah sendiri. Dan hikmah kami lima tahun tinggal dengan mak ayah saya, isteri saya "terlatih" menjadi sangat cekap menguruskan rumah dan keluarga. Mak mertua saya pun perasan perubahan positif isteri saya. Selain itu, tempoh lima tahun itu cukup untuk saya lengkapkan rumah kami secara beransur-ansur. Mulanya kosong, tambah perabot, tambah hiasan. Sekarang dah cantik dan lengkap. Alhamdulillah.
Pun begitu, ada masa-masanya isteri rindu juga nak bermalam di rumah mak ayah saya. Saya tak perlu ajak pun, dia sendiri yang akan mengajak. Dan pernah juga isteri saya cadangkan,
"Baik teruskan tinggal dengan mak je lah, rumah kita buat bisnes homestay. Boleh tambah pendapatan."
Ikutkan hati, saya lebih suka idea isteri saya itu. Lebih-lebih lagi rumah kami lebih jauh dari tempat kerja, jalan pun jem teruk. Lepas itu dia boleh teruskan bantu mak saya di rumah, saya pula boleh bantu ayah saya untuk hal-hal luar rumah. Cuma saya yang tak turutkan kerana merasakan sudah sampai masa untuk tinggal di rumah sendiri, di samping ingin memberi ruang kepada masa depan adik-adik saya kerana satu hari nanti mereka juga akan berkahwin.
Kesimpulannya, saya nak kongsikan ialah, rahsia menantu perempuan boleh duduk aman sebumbung dengan mertua ini:
Peranan suami/anak lelaki sebagai penghubung/pengaman. Suami jangan biarkan isteri bersendirian belajar menyesuaikan diri. Bimbing dia, jangan serah sepenuhnya pada mak untuk ajar isteri. Dengar semua luahan isteri dan mak, analisa ia dan fikirkan penyelesaian.
Elakkan bersangka buruk. Salah satu penyebab ketidak serasian ialah perempuan cenderung sangka yang buruk-buruk kalau mertua/menantu berkata/berbuat sesuatu yang tidak kena dengan hati. Minta suami jelaskan, dan fikir mana betul mana salah.
Mak mertua bukan malaikat yang sentiasa bebas dari masalah dan tekanan. Mereka tak boleh senyum manis sepanjang masa. Dan menantu sila faham, bila mertua bermasam muka bukan semestinya berpunca dari menantu. Mungkin dia cuma merajuk dengan bapa mertua sebab tak nak belikan baju baru.
Menantu sila sentiasa berfikir seperti ini: "Kalaulah mak aku sendiri yang akan buat macam ni, apakah yang akan aku lakukan sebagai anak soleh?" Ya, memang mak sendiri tak sama. Tapi amalkan sahaja soalan ini tiap hari. Untuk ingatkan diri.
Sabar, sabar dan sabar. Tabah, tabah dan tabah. Ikhlas, ikhlas dan ikhlas. Insha Allah, Allah akan bantu hambaNya yang ikhlas.
Biasanya, bila tiba hari ulangtahun kelahiran anak-anak, majoriti ibubapa akan berusaha sedaya upaya untuk belikan hadiah yang terbaik dan teristimewa.
Lain pula dengan sepasang ibubapa ‘awesome’ ini, mereka hadiahkan anak-anak mereka gedung buku Borders yang terkenal itu!
Hari ini, sedang aku belek-belek tajuk akhbar utama, mataku tertumpu pada sepasang ibu bapa yang dilaporkan dalam akhbar The Sun sebagai pelabur baru gedung buku Borders, sebuah jenama antarabangsa yang mempunyai rangkaian seluruh dunia.
Teringin sangat nak tahu berita baik ni, aku pun terus hubungi beberapa pihak dalam industri mengenai keputusan Datuk Khairul Anwar Rahmat dan isterinya melabur dalam gedung buku Borders.
Selidik punya selidik, barulah aku tahu rupanya ibu bapa ini menghadiahkan gedung buku Borders sempena hari lahir anak-anak mereka yang jatuh pada bulan ini dan bulan depan.
Melalui firma Smartwheels Resources Sdn Bhd, Khairul Anuar dan isterinya, Datin Yuskiahniza Md. Yusof memeterai perjanjian dengan Berjaya Books Sdn Bhd sebagai memenuhi minat anak-anak mereka yang sangat minat membaca, sehinggakan sebahagian besar ruang rumah mereka dipenuhi dengan pelbagai bahan bacaan !
Dalam ucapannya pada sebuah majlis ringkas semalam, bapa ini membuat hadirin sebak apabila memberitahu impian mereka termakbul untuk menghadiahkan anak-anaknya gedung buku yang mengandungi ribuan judul buku berkenaan agama, motivasi, pendidikan, perniagaan, kepimpinan, novel dan pelbagai genre bacaan lain.
Kata beliau lagi, mereka sebagai ibubapa lega jika anak-anak membesar dan disibukkan dengan persekitaran ilmu.
“Jika kita memiliki harta, kita akan sibuk dengan urusan menjaga harta. Sebaliknya, jika kita memiliki banyak ilmu, insyaallah ilmu itulah yang akan menjaga diri kita. Borders bukan sekadar gedung buku, ia adalah taman ilmu dan kasih sayang”
Aku angkat topi pada pasangan ibubapa awesome ini menunjukkan kasih sayang pada anak-anak mereka!
SALUTE DATUK!
from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2okFTRm
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2nGLXkB
via IFTTT
Asiah seorang janda anak lima. Selepas diceraikan talak dua melalui SMS, bekas suaminya terus menghilangkan diri. Langsung tidak pernah bertanya khabar anak-anak, apatah lagi memberi nafkah.
Asiah terpaksa bekerja menyara anak-anaknya. Demi mencukupkan keperluan anak-anak yang sedang belajar, Asiah terpaksa membuat dua pekerjaan. Di waktu siang, dia bekerja di kilang. Habis waktu kerja, balik ke rumah dan menguruskan anak-anaknya. Waktu malam pula, COD barang-barang niaga online. Dihantar ke alamat yang diminta oleh pelanggan dengan menunggang motosikal.
Suatu malam, Asiah pergi COD barang di kawasan perumahan yang agak sunyi jalannya. Di pertengahan jalan, Asiah telah disamun dan diheret ke dalam semak, kemudian dirogol beramai-ramai. Oleh kerana keadaan yang agak gelap dan sunyi, Asiah tidak dapat melihat wajah lelaki-lelaki yang merogolnya. Malah jeritannya juga tidak didengari oleh sesiapa pun.
Selepas kejadian itu, Asiah trauma. Asia silap kerana tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Sebaliknya dia terus balik dalam keadaan sakit, terus berehat dan akhirnya tertidur.
Asiah takut melaporkan kejadian itu kepada polis kerana ia akan menganggu urusan kerjanya. Asiah perlu mencari nafkah untuk menyara anak-anaknya. Asiah sangat menyayangi anak-anaknya.
Oleh kerana kedatangan haid memang tidak stabil, kelewatan beberapa bulan hadi dianggap biasa oleh Aisah. Sehinggalah dia hanya menyedari dirinya mengandung setelah beberapa bulan kemudian, apabila merasa ada pergerakan di dalam rahimnya.
Perawakan tubuh Asiah yang gempal, lapisan kulit dan lemak yang tebal di bahagian perut membuatkan Asiah tidak menyedari dirinya mengandung.
Apabila mendapat tahu dirinya mengandung, Asiah berasa sangat sedih. Mujur adik beradiknya memahami kesusahan Asiah. Lalu mereka bersepakat untuk membantu dan menyarankan Asiah pergi ke rumah perlindungan untuk mendalami ilmu agama sehingga melahirkan anak, sementara mereka tolong menjaga anak-anak yang lain.
Selama menjadi janda dan terpaksa bekerja menyara anak-anak, adik-beradiknya sering membantu. Mereka tahu Asiah gigih bekerja menyara anak-anak tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Walau apa pun, bagi adik beradik maruah dan aib Asiah tetap perlu dijaga.
Anak-anak Asiah sudah besar, mereka tidak mahu anak-anak Asiah mendengar tohmahan masyarakat terhadap ibu mereka. Ibu mereka bukan terlanjur dengan sesiapa tetapi diperkosa ketika mencari nafkah.
Maka duduklah Asiah di Baitus Solehah sambil belajar mendalami ilmu fardhu ain dan membetulkan bacaan Al-Quran.
Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada Asiah untuk menjalani kehidupan yang penuh duri dan ranjau ini sambil menyara anak-anaknya.
Lelaki yang diharap menjadi pelindung, meninggalkan dia dengan anak-anak. Lelaki yang patut menjaga perempuan telah mengambil kesempatan pula dengan menyamun duit dan kehormatan dirinya. Lelaki mana lagi yang boleh diharapkan?
KUALA LUMPUR - Gara-gara merokok ketika mengandung, seorang ibu kesal apabila anak ketiganya yang dilahirkan pada November tahun lalu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang, lapor Harian Metro.
Ita, 30, berkata, dia menyesal kerana anaknya, Mikhael, 4 bulan, terpaksa menanggung akibat daripada perbuatannya yang merokok semasa mengandungkan anak itu.
"Saya mula merokok semenjak usia remaja. Ketika mengandungkan Mikhael pun saya merokok tetapi tidak kerap. Dua kehamilan sebelum ini juga sama tetapi mereka tiada masalah kesihatan.
"Tidak sangka pula kali ini ia akan memberi kesan pada Mikhael. Apabila Mikhael yang terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan saya, saya rasa menyesal dan bersalah sangat," katanya.
Sejak Mikhael disahkan menghidap penyakit jantung berlubang ketika berusia tiga bulan, Ita nekad berhenti merokok.
"Dulu sekurang-kurangnya satu kotak rokok sehari, tetapi apabila doktor kata Mikhael hidap jantung berlubang, saya terus berhenti.
"Sejak Mikhael dilahirkan di Hospital Ipoh, dia sudah mengalami masalah pernafasan. Bagaimanapun doktor meminta Mikhael dirujuk ke hospital di Selangor selepas saya selesai berpantang.
"Pada mulanya saya ingatkan tidak serius, tetapi apabila saya bawa Mikhael ke Klinik Desa Padang Jawa untuk pemeriksaan bulanan, doktor terus panggil ambulans untuk bawa dia ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang kerana pernafasannya merosokt," katanya.
Menurut Ita, Mikhael seperti bayi normal yang lain tetapi dia lebih cepat berasa letih dan sentiasa mahu tidur. Mikhael kini sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Serdang kerana ada jangkitan di paru-parunya.
Mikhael dijadualkan akan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) tetapi tarikh pembedahan masih belum diberikan.
"Semua orang pun tahu bahawa rokok adalah penyebab utama masalah kesihatan. Tetapi sebelum ini tidak kena pada kita, bila dah kena baru sedar. Kalau Tuhan nak tunjuk, bila-bila masa sahaja," katanya. - The Reporter
JOHOR BAHRU - Tindakan pemandu lori membuat Pusingan U di tempatan yang tidak sepatutnya menyebabkan sebuah kereta merempuh bahagian sisi kanan lori berkenaan.
Dalam kejadian jam 9.11 pagi tadi di Plaza Tol Perling itu, tindakan pemandu lori berkenaan dirakam dashcam pengguna jalan raya yang melalui lebuhraya tersebut.
Berdasarkan video rakaman itu, pemandu lori itu terdahulu memperlahankan kenderaannya di bahagian kiri jalan sebelum tiba-tiba membuat pusingan u.
Sebuah kereta jenis Honda City model 2014 berwarna biru yang dalam perjalanan menuju ke plaza tol tersebut tidak sempat berhenti lalu merempuh lori terbabit.
Footage dari dashcam (KJR) pada pagi tadi berhampiran Plaza Toll Perling.. Boleh plak lori tue U-TURN!!!
Posted by UBAH on Friday, March 31, 2017
Dalam video itu juga menunjukkan papan tanda pengguna jalan raya dilarang membuat pusingan u.
*Penulis asal tidak diketahui. Jika anda tahu, mohon maklumkan untuk dikreditkan kepada individu yang sepatutnya. Terima kasih
KERANA LISAN, BURUK PADAHNYA
KISAH PERTAMA
Seorang kakak bertanya kepada adik perempuannya ketika bertandang ke rumah seminggu setelah adiknya itu melahirkan seorang bayi yang comel.
"Hadiah apa yang diberikan oleh suamimu setelah engkau melahirkan bayi untuknya?"
"Tidak ada," jawabnya ringkas. Kata kakaknya lagi,
"Uish?! Takkan camtu? Adakah engkau tidak berharga di sisinya? Aku sendiri kerap dapat hadiah dari suamiku walaupun tanpa alasan yang istimewa," kata kakaknya lagi.
Petang itu, ketika suaminya penat pulang dari bekerja, dilihat isterinya sedang merajuk sedih di rumah. Mereka berdua sering bergaduh sejak itu. Tidak lama kemudian, suami dan isteri ini bercerai.
Dari mana punca masalah rumahtangga mereka? Hanya dari pertanyaan yang diucapkan oleh kakak kepada isterinya.
KISAH KEDUA
Seorang ibu mertua bertanyakan soalan tentang keselesaan rumah anak menantunya.
"Kamu tidak rasakah rumah kamu ini terlalu sempit? Bukankah anak-anak kamu sudah ramai?”
Rumah yang tadinya terasa lapang, sejak ketika itu mula dirasa sempit oleh penghuninya. Ketenangan yang dulu membajai rasa kasih di dalam keluarga, juga turut hilang ketika keluarga ini mula tersepit dengan hutang kerana cuba membeli rumah yang lebih besar dengan berhutang di luar kemampuan kewangan keluarganya.
KISAH KETIGA
Seorang kawan bertanya.
''Berapa gaji kamu sebulan?"
Kawannya menjawab, "2 ribu ringgit."
"Hanya 2 ribu ringgit? Sikitnya!!! Majikan kamu tidak reti menghargai kerja kamu. Mana cukup untuk memenuhi keperluan hidup kamu?" kata kawannya lagi.
Semenjak dari itu, dia mula membenci pekerjaannya. Dia cuba meminta kenaikan gaji Dari majikannya. Malangnya, majikan tidak mampu serta menolak dan terpaksa menamatkan perkhidmatannya. Kini dirinya tidak berkerja dan mengganggur.
KISAH KEEMPAT
Seseorang bertanya kepada makcik tua. "Berapa kali anak-anak makcik datang melawat makcik dalam sebulan?"
Makcik itu menjawab, "Sebulan hanya sekali."
Individu itu kemudian menempelak, "Uish!! Melampau sekali anak-anak makcik. Di usia makcik sebegini, sepatutnya mereka mengunjungi makcik dengan lebih kerap lagi."
Hati si makcik mula menjadi sedih. Sedangkan sebelum ini dirinya terlalu rela dan memahami kesibukan anak-anaknya. Dia mula menangis dan bersedih sehingga menyebabkan kesihatannya bertambah buruk dan akhirnya jatuh sakit.
Apakah sebenarnya keuntungan dan manfaat yang kita perolehi ketika bertanya soalan-soalan seperti di atas?
Jagalah lidah kita dari mencampuri kehidupan orang lain. Tidak perlu cemburu dengan kebahagiaan yang diperolehi orang lain. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Andai dia berbahagia, lihatlah corak dan gaya kehidupannya. Bukannya menghukum dengan membawa cerita.
Mengecilkan dunia mereka itu hanya akan menanamkan rasa tidak redha pada apa yang mereka miliki. Jika terus berperangai seperti itu, kita juga akan menjadi agen perosak di muka bumi ini. Perosak kebahagiaan orang lain.
Andai ada bom yang meletup, cubalah periksa diri. Adakah kita yang menyalakan sumbunya? Na'uzubillahi minn zaalik.
PUTRAJAYA - Kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyarankan rakyat menyewa rumah berbanding membeli rumah bagi mengelakkan hutang jangka masa panjang, pastinya menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
Namun bagi 'otai hartanah' seperti Dr Azizul Azli Ahmad pula mempunyai pandangannya tersendiri.
"Pandangan saya yang lemah dan tidak pandai ini, begini. Bagaimana sedang kita sewa dah lebih 10 tahun, tiba-tiba kita meninggal dunia, hilang keupayaan atau mati dilanggar lori?
"Semakin lambat kita beli, semakin kecil tempoh pembiayaan yang kita dapat. Semakin tinggi bayaran bulanan yang kita perlu bayar. Semakin lewat kita membeli rumah, semakin tinggi kadar takaful yang kita kena tanggung. Bila umur dah 40 tahun baru nak beli rumah, pihak bank rasa kita dah hidup tak lama lagi.
"Peraturan dan kawalan perundangan kerajaan tempatan di UK berbeza dengan peraturan di Ulu Kelang. Jika kita beli awal dengan purata kenaikkan hartanah sekitar RM30,000 setahun, kita ada aset berharga.
"Cadangan menyewa tidak membantu meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera yang sedia rendah. Mop lantai di rumah yang kita sewa dengan rumah sendiri ada bezanya di mana kasih sayang waktu mop lantai rumah sendiri lebih tinggi.
"Golongan 'kapitalis' yang banyak rumah akan terus kekal kaya, kita yang miskin akan terus menyewa. Isteri akan lebih cintakan kita jika rumah yang kita duduk ada bahagiannya jika kita tiada nanti. Lebih senang nak meluaskan dapur gaya hipster bagi mertua sayang sebab rumah kita bukan rumah sewa.
"Memang nasihat menteri ini ada benarnya meminta kita bersedia dari segi kewangan sebelum rumah. Bila dah ada wang, baru beli rumah, jangan kekal menyewa. Ini sekadar pandangan Abah Qilah yang ensem sahaja, bukan siapa-siapa," tulis beliau di Facebooknya semalam yang telah dikongsi 400 lebih followersnya. - The Reporter
PUTRAJAYA - Memiliki aset hartanah di usia muda hanya mengundang hutang jangka masa panjang, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, semalam.
Sebagai contoh, negara luar seperti United Kingdom (UK), penduduknya lebih suka menyewa lama-lama sebelum mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli aset.
"Ia budaya kita, kita tidak percaya kepada sewa. Kita perlu tukar fikiran," katanya ketika sesi dialog Transformasi Nasional (TN50), lapor Malay Mail Online.
"Apabila anda ke UK, mereka hanya menyewa sehinggalah mereka mempunyai wang untuk membuat komitmen jangka panjang," katanya.
Johari turut mencadangkan lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk disewakan, bukannya untuk dibeli. Ramai rakyat Malaysia membuat pinjaman sewa beli pada masa yang muda terutamanya mereka sudah mula mendapatkan pekerjaan baru.
"Sebab itu kita melabur dalam pengangkutan awam untuk keperluan generasi akan datang. Apabila mereka pergi bekerja, mereka tidak perlu membeli kereta lagi," katanya. - The Reporter
Aku tersentak mendengar deringan telefon, seraya menoleh ke arah bunyi deringan itu. Tak nampak kelibat sesiapa. Bunyi telefon itu terus berdering mencemar sunyi malam. Aku jengah lagi. Lampu di pondok perhentian bas ini suram, hanya bisa menerangi sekitar hentian ini sahaja. Namun bunyi deringan itu seakan dekat. Sepatutnya aku boleh nampak tuan punya telefon tu.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Aku bangun daripada bangku pondok hentian bas, dan meninjau. Dengan langkah kecil aku menghampiri punca deringan itu. Telefon bimbit ku genggam erat. Entah apa sebabnya, tapi menggenggam telefon bimbit tu terasa seperti reaksi yang agak rasional dalam situasi ini.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Deringan itu masih mencemar suasana. Semakin aku mara, semakin kuat bunyinya. Aku hela nafas panjang dan nekad menuju ke arah deringan itu. Bila ia sudah dekat, baru aku perasan ada pondok telefon di sisi pondok hentian bas ini. Tak terfikir pula aku tentang pondok telefon. Iya lah, zaman sekarang semua orang ada telefon bimbit, pondok telefon semakin langka. Semakin pupus.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Aku capai gagang telefon dan meletakkannya di telinga. Nada dail yang ku dengar di talian. Mungkin pemanggil tadi sudah menamatkan panggilannya. Aku mengangkat bahu lalu meletakkan gagang itu kembali ke tempatnya. Siapa pula yang menelefon pondok telefon malam-malam buta seperti ni?
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Telefon itu berdering semula sebaik sahaja aku letakkan gagangnya. Tak guna punya telefon, tersentak aku dibuatnya. Dua kali ia hampir buat jantungku berhenti. Dalam keadaan separa marah, aku mengangkat gagang dan menyuakannya ke telinga.
“Akhirnya ada orang angkat. Dah banyak kali saya cuba hubungi!” ujar suara di hujung talian sebelum sempat saya menyebut hello. Kedengaran seperti seorang gadis muda. Suaranya seakan-akan berbisik.
“Ya. Ada apa saya boleh bantu?” kataku separa keliru. Telefon bimbit aku sisip kedalam poket seluar.
“Ada sesiapa tak, selain awak, di sana?” soal pemanggil itu.
Aku berkira-kira ingin menjawab soalan itu. Aku bimbang jika ini perangkap samun. Pondok bas ini berada di tempat yang agak terpencil. Jika tidak kerana motosikal aku meragam di sini, tak mungkin aku akan berhenti di tempat yang sesunyi dan segelap ini.
“Ada! Ada beberapa orang” tipuku.
“Ada? Awak jangan tipu!” tegas gadis itu.
“Betul! Saya dengan seorang kawan. Awak ni siapa?” aku meneruskan pembohongan aku. Hati aku semakin tak tenang. Bulu roma di lenganku mula meremang. Aku menoleh kiri dan kanan. Nafasku mulai deras.
“Tuuuuuttt….”
Talian teputus. Mata aku meliar ke sekeliling. Pandanganku hanya terhad pada radius 10 kaki, kerana sejauh itu sahaja lampu di pondok hentian bas ini mampu menyinar. Mataku meliar kiri dan ke kanan. Melihat kalau-kalau ada penyamun mendekati.
“Mana pula Joe ni?” getus hatiku. Dia kata 15 minit. Ini dah hampir satu jam masih belum muncul-muncul. Lebih baik aku telefon dia sekali lagi. Aku cuba keluarkan telefon bimbit aku, namun seluar super skinny jeans aku menyebabkan ia suatu perkara yang sukar dilakukan ketika ini.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Telefon di pondok telefon itu berbunyi lagi sebaik sahaja aku berjaya keluarkan telefon bimbit aku dari kocek. Aku swipe skrin aku untuk unlock skrin. Incorrect pattern. Aduh! Dalam keadaan cemas, tangan aku terketar-ketar dan jari aku mulai sejuk kerana pembuluh darah periferi aku mengecut. Ini menyebabkan penderia sesentuh pada skrin telefon bimbit tak dapat kesan jari aku dengan cekap.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Kekalutan menyebabkan tangan aku berpeluh dan cemerkap, lantas telefon bimbit aku pun terlepas dari genggaman. Aku menutup telinga dan mata ketika ia terhempas ke lantai. Tak sanggup aku melihat. Sedetik kemudian, aku buka mata dan segera kutip telefon bimbit aku dari lantai, dan membelek skrinnya! Sial! Skrin pecah! Berang aku dibuatnya.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
“Kau nak apa lagi ha, betina!” ujar ku sebaik sahaja mengangkat telefon di pondok telefon itu. Marah sudah mengenepikan rasa cuak.
“Saya telefon dari rumah bertentangan dengan hentian bas di mana awak berada tu.” kata gadis di hujung talian. Sejurus selepas itu kelihatan cahaya malap muncul di celah kepekatan malam. Mungkin 20 meter dihadapan.
“Nampak tak lampu rumah saya yang saya baru buka?” kata gadis itu lagi.
“Nampak! So?” balasku.
“Saya cuma nak kepastian. Betul ke ada orang lain dengan awak? Saya tak yakin gadis yang berambut panjang yang duduk di atas bumbung hentian bas itu kawan awak.” jelasnya.
Kehangatan mula meninggalkan tubuh aku. Gagang telefon dilempar dan aku berlari meninggalkan tempat kejadian seperti tak cukup tanah. Suara hilaian yang nyaring memecah kesunyian malam. Aku teruskan berlari menyusuri jalan raya dan sebaik sahaja aku nampak lampu kereta menghampiri aku, aku pergi ke tengah jalan untuk menahan kenderaan tersebut.
HOOOONNN!!!!!
Kenderaan berkenaan sempat berhenti di hadapanku. Aku segera berlari ke sisi kereta itu, dan mengetuk tingkap pemandu dengan buku jari bertalu-talu.
“Hoi! Kau gila ke Kamarul! Nasib baik aku tak terlanggar kau! Kenapa kau ni? Nak mati ke? ” tempik pemandu pada aku sebaik sahaja tingkap keretanya diturunkan. Rupanya kenderaan yang aku tahan itu adalah kereta Joe.
“Buka pintu Joe! Kita berambus dari sini!” ujarku termengah-mengah.
Sejurus aku masuk dalam perut kereta dan melabuhkan punggung di tempat duduk sebelah pemandu, aku mula menceritakan perkara yang jadi. Tersasul-sasul aku bercerita. Joe mendengar sambil memandu.
“Perempuan yang call kau tu tak cuak pula?” soal suara dari tempat duduk belakang.
Aku terkejut sehingga terlompat dari tempat duduk. Bagai nak luruh jantung aku terdengar suara itu. Muka Joe berkerut melihat aku.
“Kau dah kenapa?” soalnya disusuli dekah ketawa di tempat duduk belakang
“Cis, kau Faizul! Aku tak perasan kau ada kat belakang. Aku ingat hantu tadi” kataku sambil mengurut dada.
“Aku lambat sebab ambil si Faizul ni dulu lah!” kata Joe.
“Ni siapa pula?” soalku sambil menoleh ke belakang dan menghulurkan jabat tangan pada gadis di sebelah Faizul.
Faizul pandang aku. Joe pandang aku. Aku pandang muka gadis yang menyeringai itu. Selepas itu kereta yang kami naiki terbabas kerana Joe terlanggar motosikal aku yang aku letakkan di hadapan hentian bas tadi.
Sedar-sedar ambulans dah tiba. Joe dan Faizul masih tak sedarkan diri ketika Pembantu Pegawai Perubatan bertandang pada mereka. Entah siapa yang call ambulans. Mungkin gadis di rumah hadapan hentian bas itu juga, kerana sekitar kawasan itu, tiada rumah lain.
Kami cedera ringan, dan dibenarkan pulang keesokan harinya.
Dalam perjalanan pulang dari hospital, kami suruh bapa Joe singgah di hentian bas semalam. Niat hendak bertandang ke rumah gadis yang bantu kami. Hendak ucapkan terima kasih. Malangnya setibanya disana kami dapati di hadapan perhentian bas tersebut, tiada rumah. Cuma paya.
"Kenapa ada hentian bas di sini sedangkan tiada apa disekelilingnya." tanya Pak Mus, ayah si Joe.
Just nak share satu benda yang saya pernah alami. Dulu satu ketika, saya suka sangat menyumpah orang yang buat salah dan aniaya saya. Sumpah orang itu, sumpah orang itu dan jadikan doa saya itu doa dari insan teraniaya. Saya minta dengan Allah untuk beri balasan pada mereka.
Memang betul terjadi. Bisnes orang yang selalu sumpah saya lingkup, akhirnya dia yang lingkup. Orang yang hebat sangat berkumpul mengutuk saya, akhirnya sesama mereka sendiri bergaduh.
Sampailah satu masa, perkara ini terjadi pada orang-orang yang saya sumpah sehingga menyebabkan saya benar-benar takut untuk meminta dengan Allah berikan balasan pada mereka yang menganiaya kami sekeluarga.
Yang pertama, saya sumpah pada seseorang yang fitnah saya dan anak-anak. Walhal banyak yang dia tipu tetapi diputar-belitkan fakta. Saya dapat khabar dalam masa 3-4 bulan, seluruh keluarga dia asyik sakit-sakit, keluar masuk hospital. Suami dia kemalangan, selepas itu dia pula yang keluar masuk hospital.
Lagi seorang itu bekas staff lama saya, warga Indonesia (Islam) tetapi masuk buddha untuk berkahwin dengan Cina Malaysia. Banyak duit yang dia bawa lari dan memfitnah saya sehingga membuatkan semua orang percaya dengan dia. Akhirnya satu hari, suami dia sendiri yang berpakat dengan polis untuk mengkap dia. Selepas ditangkap, dia dikenakan hukuman penjara berbulan-bulan. Si suami ceraikan dia dan bawa lari semua anak-anaknya. Sekarang dengar khabar dia betul-betul merempat.
Sejak dari itu, saya benar-benar insaf. Saya dah tak berani nak menyumpah. Sebenarnya itu bukan jalan yang terbaik. Jangan jadikan alasan kita teraniaya untuk menyumpah orang. Biarlah Allah saja yang menentukan.
Ini kerana selepas kejadian itu, saya rasa tidak tenang. Buat bisnes pun sangkut-sangkut. Solat pun hati tak tenang, selalu berserabut. Tetapi bila saya belajar dengan seorang pakar motivasi untuk maafkan semua orang, dengan redha saya pergi ke balai polis dan tarik semua laporan polis yang pernah dibuat sebelum ini.
Saya memohon maaf dan memaafkan semua orang. Tak kiralah luka besar mana pun di hati, sebesar mana pun kesalahan mereka, saya maafkan mereka di dunia dan akhirat. Saya minta dengan Allah agar beri kesedaran kepada mereka.
Sejak saya buat semua itu, saya dapat ketenangan dan segala urusan dipermudahkan. Alhamdulillah. Biar Allah buat kerja dia, siapalah kita untuk memohon bala untuk orang lain?
Satu pengajaran yang saya dapat, jangan jadikan alasan kita teraniaya untuk berdoa yang tak baik untuk orang lain walaupun Allah pernah menjanjikan doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan.
Terima kasih kerana sudi membaca sampai habis. Semoga dapat memberi manfaat.
PETALING JAYA - Gerai Nasi Lemak GAY yang beroperasi sejak Januari 2017 terpaksa berhenti beroperasi sementara setelah menerima pelbagai kecaman di media sosial, lapor Malay Mail Online.
Pemiliknya, Adi Yusuf berkata, gerai nasi lemaknya itu bukanlah bermaksud lelaki gay atau homoseks, tetapi GAY adalah singkatan kepada Gerai Adi Yusuf.
"Saya tidak menyangka ia kecoh satu Malaysia. Saya terus dikecam. Kuasa media sosial amat menakutkan," katanya memetik laporan dari mStar Online.
Ekoran itu, Adi terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti berniaga buat sementara waktu dan mahu menunggu ia reda dahulu.
"Saya bukan letak nama Nasi Lemak Gayboy pun. Saya tidak menyangka masyarakat terus menghina saya dan menjatuhkan hukum tanpa usul periksa," katanya.
Gerai nasi lemak Adi beroperasi setiap pagi di Taman Segar, Cheras yang menjual nasi lemak pada harga RM2, nasi lemak kerang (RM4) dan nasi lemak ayam (RM5) selain turut menjual beberapa jenis makanan lain untuk sarapan seperti bihun goreng, mi goreng, kueh teow goreng dan kuih muih.
Walaupun pemiliknya telah membuat penjelasan tersebut, netizen masih mempertikaikan kewajaran Adi memilih menggunakan perkataan 'GAY' dan bendera yang sinonim dengan LGBT di bunting yang digunakan untuk gerainya itu. - The Reporter
Bismillahirrahmanirrahim. Saya akan kongsikan insiden yang berlaku kepada kami agar orang lain lebih berhati-hati dengan pihak pengurusan parking Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Semua sedia maklum pihak HKL telah menggunakan khidmat towing dari pelbagai syarikat luar. Walaupun parking bertingkat disediakan masih tidak mampu menampung jumlah pelawat yang datang ke HKL.
Pada 26 Mac 2017 (Ahad) suami telah menziarahi ibunya yang masih terlantar koma di Wad NICU Nephrology HKL yang masuk minggu ke-3. Ini merupakan perkara rutin suami selama 3 minggu ini untuk menjaga ibunya disamping adik-beradik yang lain.
Suami mendapati keretanya telah ditarik (towing) dan pergi membuat bayaran saman pada syarikat parking HKL dan sampai di rumah di Putrajaya, jam 4.00 pagi 27 Mac 2017 (Isnin).
Saya bersiap dan menghantar anak pula ke sekolah selepas subuh. Selang 10 minit berjalan tiba-tiba alarm mengeluarkan bunyi dan tertera:
OVERHEATING. PLEASE STOP YOUR VEHICLE SAFELY
Meter heating dari cool (blue) terus bertukar menjadi heat (red) 100%. Kebetulan memang saya terus park di hadapan lobi pejabat. Tunggu selama sejam, kemudian minta tolongg tuan Hassan Tokey tengokkan masalah kereta, apa sebenarnya yang berlaku. (Thanks Tuan!). Check air masih ada dalam 1/2 tank. Buka penutup radiator, air kering kontang. Jadi tuang dalam 3 liter air Coway.
Hidupkan enjin, kemudian meter tunjuk blue (cool) semula tapi terdapat leaking air di sebelah kiri hadapan kereta. Air bercampur dengan bendalir berwarna hijau, bendalir coolant agaknya.
Saya menghubungi auto-assist untuk hantar carrier then bawa kereta ke pusat servis berhampiran. Bila pihak pomen buat pemeriksaan dan panggil saya untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Saya benar-benar terkejut, kedua-dua belah condenser dan radiator telah kemek, coolant juga telah pecah. Tiada sebarang kesan langgaran or kemalangan. Pihak pomen tanya apa yang berlaku sehingga menyebabkan ia kemek sebegitu rupa.
Saya maklumkan memang tiada sebarang kemalangan yang berlaku, cuma semalam suami maklumkan kereta kena towing oleh pihak penyenggaraan HKL.
Saya telah menghubungi HKL dan mendapatkan nombor telefon pihak yang bertanggungjawab. Sah! Mereka lepas tangan dan berdolak-dalih dalam hal ini. Saya benar-benar marah dan kecewa dengan sikap lepas tangan syarikat berkenaan.
Ya saya faham itu tanggungjawab mereka untuk menjalankan tugas mereka tetapi bukanlah sehingga menjahanamkan kereta para pelawat. Betapa cuai dan tidak profesionalnya mereka daam menjalankan tugas. Bagaimana mereka towing kereta pelawat sampai boleh merosakkan kereta pelawat? Apa hak mereka?
Saya telah membuat laporan polis dan menuntut agar syarikat berkenaan bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.
Sebutharga yang dianggarkan oleh pihak Mitsubishi adalah sebanyak RM8,500.00 untuk kerosakan luaran berkenaan dan belum pasti lagi kerosakan dalaman apa yang telah terjejas akibat masalah tersebut.
Untuk makluman, pihak suami telah berjumpa dengan pihak pengurusan parking HKL dan paling menyedihkan staff yang mengeluarkan saman berkenaan tidak menggunakan resit saman sebenar. Bermakna, duit saman yang telah dibayar sebelum ini telah disonglap oleh manusia yang busuk perut!
Ada staff yang jujur telah menunjukkan resit saman tunda yang sepatutnya dikeluarkan kepada semua pelawat, namun resit yang diterima oleh suami setelah disaman dibuat adalah resit parking semata-mata. Semua saman perlu dimasukkan ke dalam sistem namun mereka tidak jujur dan tidak memasukkan nombor kenderaan kami yang ditunda agar duit bayar tadi boleh diambil oleh mereka.
Saya benar-benar kecewa dengan pihak pengurusan parking HKL. Orang yang datang ke HKL bukanlah suka-suki dan semuanya kerana ada saudara mara yang sakit dan terlantar lama di hospital.
Saya akan terus berjuang untuk mendapatkan hak saya. Saya harap saya orang terakhir yang kena dengan sikap tak bertanggungjawab mereka. Semoga tiada lagi mangsa selepas ini. Orang kurang ajar akan dapat habuannya selepas ini.
Dunia korporat Malaysia mengenali Shahril sebagai anak lelaki sulung Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir. Shamsuddin telah membina Sapura Holdings dari bawah sehingga menjadi salah sebuah konglomerat milik persendirian terbesar dalam negara ini dengan 4,500 pekerja ketika itu.
Sejak awal tahun sembilan puluhan lagi, Shahril yang ketika itu berusia 30 tahun telah mula mengambil alih kepimpinan syarikat daripada ayahnya.
Shahril percaya beliau ingin mencapai kejayaan lebih besar kerana itu telah menjadi sebahagian daripada wataknya.
Beliau melihat ayahnya sebagai mentor yang menyiapkannya untuk memegang tanggungjawab lebih besar.
“Memang, ayah adalah mentor saya. Saya melihat beliau bekerja keras dengan satu tujuan, iaitu untuk memberi pendidikan kepada anak-anaknya, dan itu menjadi dorongan kuat untuk saya menjadi seperti beliau. Saya melihat beliau mengambil begitu banyak orang sebagai pekerja.
“Saya melihat bagaimana beliau merasa puas, bukan semata-mata kerana keuntungan yang dijana oleh syarikat, tetapi kerana beliau mampu menawarkan kerja kepada banyak orang,” ujarnya lagi.
Shahril juga menyebut nama Datuk Rameli Musa (pengarah eksekutif Ingress Corp Bhd) dan Khoo Soo Keong sebagai mentor beliau.
Menurut Shahril, banyak orang bercakap tentang pemberdayaan di tahun lapan puluhan, sedangkan semua mentor beliau telah mengamalkan perkara tersebut di tahun tujuh puluhan.
Pada hari ini SapuraKencana mempunyai modal pasaran sebanyak RM22 bilion, aset bernilai RM15 bilion dan kakitangan sebanyak 11,000 orang. Namun Shahril tidak merancang untuk membina sebuah syarikat raksasa. Hasrat awal beliau hanyalah untuk membina sebuah organisasi yang mempunyai kekuatan teknikal yang tinggi dan memberikan nilai terbaik kepada para pelanggan.
“Sekumpulan daripada kami bertemu dan memikirkan perkhidmatan apa yang tidak banyak ditawarkan di Malaysia. Di penghujung tahun sembilan puluhan, hampir tidak ada syarikat pembekal perkhidmatan minyak dan gas, sedangkan negara ini adalah pengeluar minyak.
“Jadi, bagi kami, apa yang perlu dilakukan adalah membentuk satu pasukan dan mengisi jurang tersebut. Banyak syarikat ketika itu berminat dengan IT, tetapi kami keluar daripada bidang tersebut dan memasuki bidang minyak dan gas. Tiada banyak orang yang memahami perniagaan tersebut ketika itu.
“Sesebuah syarikat menjadi besar kerana ia melakukan kerja dengan betul. Kami melaburkan keupayaan dan modal. Kami komited untuk melakukan sendiri kerja-kerja yang diperlukan,” katanya.
Sebahagian orang menganggap sebab utama SapuraKencana mampu berkembang pesat ialah kerana hubungan yang dimilikinya dengan pihak tertentu.
Bagi Shahril, orang boleh bercakap apa saja.
“Sudah tentu banyak orang yang perlu saya kenali kerana kami memberikan khidmat di 20 buah negara. Pasaran terbesar kami sekarang adalah Brazil yang merangkumi 60% daripada pesanan yang ada. Bagi saya, orang tahu bahawa kami mampu menyempurnakan tugas dan mempunyai rekod kerja yang baik,” ujar Shahril lagi.
Meski pun begitu, beliau tetap memberi perhatian tentang penyempurnaan kerja. “Setiap hari saya berfikir tentangnya. Apabila sesuatu kontrak diambil, kami mesti menyempurnakan kerja. Kami memastikan agar tidak melakukan kekurangan yang merugikan pihak yang memberi kepercayaan kepada kami,” jelas beliau.
Beliau melihat masa depan yang cerah untuk SapuraKencana.
“Keupayaan kami masih boleh dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam jangkamasa dua tahun akan datang, kami akan mencuba untuk memanfaatkan keupayaan. Kami akan terus berusaha mengukuhkan kedudukan dan mendapatkan lebih banyak kontrak. Kami sedang menangani pasaran Amerika Latin. Afrika amat menarik, tetapi pasaran itu sedang berkembang dan kami perlu lebih berhati-hati,” kata Shahril.
Untuk usahawan yang bersungguh-sungguh ingin memulakan perniagaan mereka, Shahril menasihatkan mereka untuk membentuk pasukan yang baik dan dapat membantu eksekutif atasan dan para pemilik syarikat.
“Sediakan sistem kewangan yang baik dan lebih penting, model perniagaan yang lestari dan bernilai tambah,” pesan Shahril.
sumber Mstar.com.my
from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2nvZXx8
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2obuqE4
via IFTTT
PERTUBUHAN Bina Bangsa adalah sebuah NGO yang dianggotai ramai sukarelawan terdiri daripada peguam, ahli perniagaan, penulis dan dari beberapa bidang profesional yang lain. Sebagai sebuah pertubuhan tidak bermotifkan keuntungan, aktiviti yang dijalankan lebih kepada bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara khususnya melibatkan rakyat Malaysia.
Bertitik-tolak di atas keazaman itu, kami bertolak ke Medan, Indonesia untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Konsulat Jeneral Malaysia, Tuan Amizal Fadzli Rajali di sana
Memandangkan sewaktu tiba ia merupakan hari cuti umum di Indonesia, kami memilih untuk mengadakan perbincangan tidak formal dengan para pegawai konsulat sambil makan tengah hari di salah sebuah restoran di pinggir bandar.
Juadah nasi padang yang menyelerakan itu bagaimanapun ‘terbantut’ apabila Amizal Fadzli memaklumkan terdapat ramai rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu atas pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih waktu, memasuki perairan Indonesia secara haram (nelayan), penipuan dan pelbagai lagi.
Namun menurutnya kesalahan yang paling banyak dilakukan yang berkaitan dengan dadah.
Kata Amizal Fadzli, seperti mana di Malaysia, Indonesia juga dibelenggu masalah dadah yang serius. Justeru itu tidak menghairankan pasukan berkuasa di sana sangat memandang berat gejala pengedaran dan penagihan dadah sehingga memaksa mereka mengetatkan kawalan terutama di pintu masuk ke negara itu seperti pelabuhan dan di lapangan terbang.
Disebabkan inilah, ramai rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan berkenaan telah diberkas dan terpaksa meringkuk di dalam penjara-penjara sekitar Indonesia. Tidak terkecuali di bandar besar seperti di Medan.
Biarpun kami di pertubuhan juga tidak mahu bertolak-ansur darihal dadah ini, namun jauh di sudut hati kami juga, atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan, perasaan untuk menziarahi mereka meluap-luap apatah lagi bila mengenangkan nasib mereka yang terkurung beribu batu dari tanah air sendiri. Jauh dari anak isteri dan mereka yang tersayang.
Dengan bantuan Pegawai Liaison Keselamatan Konsulat, ASP Sham Ahmad dan pegawai Imigresen, Puan Salmiah, keesokan harinya kami bertolak ke Rumah Tahanan Negara (RUTAN) Klas 1 Medan di Tanjung Gusta.
Pada mulanya kami terbayang imej ‘ngeri’ penjara di Indonesia yang terkenal dengan kesesakan tahanan di dalam sel, namun semuanya terubat apabila melihat keadaan penjara di Medan ini yang dicat dengan warna-warna lembut, malah jangan terkejut ada patung zirafah di lamannya, macam kat taman permainan kanak-kanak pulak rasanya!
Tetapi memang diakui, daripada pengamatan kasar kami, jumlah tahanan memang sangat ramai.
Keadaan di sana sangat sibuk dengan kenderaan penjara yang keluar masuk, hiruk pikuk tahanan yang baru sampai dan yang baru nak di bawa ke mahkamah, seperti masuk dalam pesta keramaian pun ada juga.
Kami tiba kira-kira pukul 10.30 pagi. Setelah menunggu kira-kira setengah jam, seramai lima banduan orang Malaysia di bawa masuk ke bilik perjumpaan tahanan yang terletak dalam kompleks penjara tersebut.
Ada yang tersenyum, ada yang berwajah sugul malah ada yang seolah-olah dalam keadaan bingung!
Senyum mungkin kerana gembira dengan kehadiran kami, NGO pertama dari Malaysia yang melawat mereka. Sugul mungkin kerana memikirkan nasib yang mereka terima. Bingung mungkin kerana baru bangun tidur!
Setelah memperkenalkan diri dan tujuan kami bertemu mereka, masing-masing mula kelihatan semakin selesa. Seorang demi seorang kemudiannya mula memperkenalkan diri. Tidak cukup dengan itu, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk terus meluahkan perasaan dan berkongsi kehidupan mereka di penjara tersebut.
Rata-rata menerima ketentuan takdir atas perbuatan yang telah mereka lakukan namun pada masa yang sama mengharapkan agar boleh dibebaskan secepat mungkin atau paling tidak pun hukuman penjara yang mereka terima boleh dikurangkan supaya mereka boleh pulang ke Malaysia.
Bagi Rahman (bukan nama sebenar), kehidupan di penjara itu tidaklah seburuk yang disangka namun tetap mengakui berasa tertekan khususnya bila mengenangkan tiada saudara mara dari Malaysia yang datang menziarahinya sejak dimasukkan ke sini lebih setahun yang lalu.
” Mungkin mereka tak ada duit nak datang. Tetapi Alhamdulillah adakalanya saya berpeluang bercakap dengan mereka di tanah air melalui telefon. Duit saya pun banyak dah habis waktu perbicaraan dulu. Nak kata saya dibuli di sini, takde juga. Mereka tahu saya orang Malaysia dan setakat ini tak ada kejadian yang merisaukan berlaku, nama pun penjara, mana ada penjara yang selesa,” katanya yang berasal dari Johor.
Bagi Ah Lek (bukan nama sebenar), kesilapannya melibatkan diri dalam dadah setelah gagal dalam perniagaan benar-benar telah memusnahkan masa depannya.
” Saya kahwin dengan orang Medan. Bila perniagaan saya gagal, saya tertekan dan mula mengambil dadah untuk melupakan masalah saya yang bertimpa-timpa tetapi tak lama selepas berjinak-jinak dengan dadah, saya ditangkap. Saya harap betul kalau dapat segera keluar dari sini, tetapi prosesnya bukan mudah, cara macam mana nak buat pun saya masih keliru, ” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor dan telah memeluk agama Islam semasa berada di sini.
Bagi Hussein (bukan nama sebenar) pula, kedatangannya ke Medan benar-benar memusnahkan kehidupannya apabila ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu ketika membawa sejumlah besar dadah.
” Masa di Malaysia, saya dapat lepas pemeriksaan tetapi malang menimpa bila saya tiba di sini, pihak polis dapat mengesan bagasi saya yang mengandungi bahan terlarang itu. Kini saya pasrah sajalah untuk menghabiskan 13 tahun hukuman penjara kat sini, kalau boleh biarlah saya jalani hukuman ini, saya tak mahu menyusahkan keluarga di Malaysia, redha sajalah,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.
Selepas kira-kira sejam berada di penjara tersebut, kami beredar dari penjara berkenaan. Walaupun kesal dengan perbuatan para banduan ini yang bukan saja telah memalukan diri sendiri dan keluarga, tetapi juga nama baik negara – namun sebagai seorang manusia, naluri kasihan tetap ada.
Kami sempat memberi sedikit buah tangan sumbangan persatuan dan pihak konsulat kepada para banduan ini dan berdoa agar mereka dapat pulang ke tanah air dan bertemu semula dengan mereka yang tersayang walaupun hakikatnya, ia bukan satu perkara yang mudah.
Semoga ada sinar di hujung kehidupan anak bangsa kita ini.
Terima kasih tak terhingga kepada pihak konsulat yang diketuai oleh Tuan Amizal, ASP Sham dan Puan Salmiah kerana tanpa kerjasama yang mereka berikan, kami dari Pertubuhan Bina Bangsa tak mungkin sampai hingga ke sini.
Melawat banduan di penjara bukan satu perkara yang ‘glamour’ namun kalau bukan kita, siapa? Kalau bukan sekarang, bila?
from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2njHdQK
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2nvPwdb
via IFTTT