loading...

Monday, 24 January 2022

'Aktiviti pembalakan bagus untuk populasi harimau' - Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan


7 Januari 2022, media melaporkan seorang lelaki Orang Asli berusia 59 tahun maut dibaham harimau di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan. Beberapa hari kemudian, dua haiwan pemangsa itu pula dilaporkan muncul di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai menyebabkan sesi pembelajaran bersemuka terpaksa ditangguhkan. 


Hal ini menimbulkan kebimbangan para penduduk terutamanya penduduk di perkampungan Orang Asli yang juga mendakwa kehadiran haiwan tersebut adalah berpunca daripada aktiviti pembalakan berleluasa di negeri itu sehingga menyebabkan harimau kehilangan habitat. 


Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah semalam berkata, aktiviti pembalakan tidak akan menjejaskan populasi harimau, sebaliknya bagus untuk haiwan berkenaan.


Walaupun sedar bahawa kenyataannya itu akan menyebabkan dirinya dikecam ramai, namun dia menegaskan pendapatnya itu adalah berdasarkan kajian dari pakar dari Sarawak yang menyatakan bahawa aktiviti pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan baru mengalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau. 


"Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, kawasan-kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau. Populasi harimau akan lebih tinggi, apabila berlaku pembalakan kawasan itu akan ditumbuhi anak pokok. Jadi, kawasan itu akan dihadiri haiwan seperti kancil yang menjadi makanan harimau. Ia akan memudahkan harimau memburu mangsanya. 


"Tetapi dalam hutan simpan, susah untuk harimau tangkap (mangsa berikutan tumbuh-tumbuhan tinggi)," katanya memetik laporan dari MalaysiaKini 24 Januari 2022. 


Tambahnya lagi, JPNK sentiasa patuh dengan catuan tebangan tahunan (CTT) yang ditentukan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) dan aktiviti pembalakan hanya berlaku di kawasan hutan simpan pengeluaran (bukan di hutan simpan perlindungan) yang membabitkan keluasan 3,9000 hektar setahun.


Sumber: MalaysiaKini



from The Reporter https://ift.tt/33G3vqp
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/35f2rKl
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...