Seorang bayi berusia 55 hari meninggal dunia selepas hidungnya berdarah ketika tidur di sebuah taska di Seksyen 7, Shah Alam, Selasa lalu, lapor Harian Metro.
Bapanya, Mohd Shazwan Mohd Yusoff, 34, berkata, dia dan isteri tidak tahu punca sebenar kematian anaknya, Muhammad Rais Hafiy Mohd Shazwan, namun reda dengan ketentuan itu.
"Walaupun tidak tahu punca sebenar kematiannya, kami sekeluarga reda dengan hanya sempat ‘dipinjamkan’ Allah selama 55 hari," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian dia dan isteri baru pulang dari tempat kerja dan mahu mengambil dua lagi anak mereka iaitu Muhammad Raziq, 3, dan Muhammad Rais Hafiy, kira-kira jam enam petang.
"Melihat hidung Rais berdarah ketika tidur dan tidak sedarkan diri, kami segera membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Namun, Allah lebih menyayanginya," katanya.
Mohd Shazwan dan keluarga masih terkejut kerana bayi itu baru sehari dihantar ke pusat jagaan tersebut.
"Pada malam kejadian, isteri (Nurul Ashikin Ahmad Rithauddin, 29) hanya tidur sejam berikutan terlalu bimbang dan berasa tidak sedap hati untuk menghantar Rais ke taska. Namun, isteri perlu berada di pejabat berikutan menguruskan kerja yang tertanggung ketika cuti berpantang sebelum ini,” katanya.
Walau bagaimanapun, Mohd Shazwan tidak menyalahkan taska berkenaan kerana laporan bedah siasat menunjukkan tiada sebarang kesan lebam dan kecederaan pada anaknya itu.
"Bagaimanapun, kami perlu menunggu keputusan sampel hasil ujian yang sudah dihantar ke makmal untuk mengenalpasti punca kematian. Doktor memaklumkan ia akan diperoleh dalam tempoh sebulan dan kami kini tidak boleh menuding jari kepada sesiapa," katanya.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas Zuhur di Masjid Ar-Rayyan, Seksyen 7 sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih dijalankan pihaknya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter http://ift.tt/2kAuD39
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2BdKM5D
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment