loading...

Wednesday, 9 November 2022

'Suami dari neraka' - Lelaki mengaku bersalah lacurkan isteri & hidup dengan hasil persundalan



Seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga bekerja sebagai pegawai bank, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memperdagangkan isterinya bagi tujuan eksploitasi seks, akhir bulan lalu. 

Tertuduh mengaku bersalah di atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh memperdagangkan isterinya berusia 35 tahun bagi maksud eksploitasi seks pada 30 Oktober 2022, jam 1.30 petang di satu bilik di sebuah hotel di daerah Kuala Pilah. 


Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda. 


Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung yang mencadangkan tiada jaminan untuk tertuduh dan jika mahkamah membenarkan jaminan, satu jaminan yang tinggi ditetapkan berserta dengan syarat untuk tidak mengganggu mangsa, selain perlu melapor diri di balai polis terdekat. 


Selain itu, pihak pendakwaan juga meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar identiti mangsa tidak didedahkan di mana-mana media. 


Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan mengeluarkan perintah identiti mangsa tidak didedahkan di media. 


Sementara itu di kamar berlainan, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan mangsa pada 30 Oktober 2022, kira-kira jam 1.30 tengah hari. 


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan, serta denda. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abu Hassan.


Mahkamah menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan tersebut. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/1ilah02
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/uCUAOLD
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...