Dua lelaki bertopeng melarikan dua beg berisi 7 kilogram (kg) emas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dekat Jalan Pasar Rabu, Kuala Pilah, hari ini.
Memetik laporan daripada Harian Metro, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku di bahagian belakang sebuah kedai emas terbabit yang terletak di Jalan Undang Johol.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan kejadian itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
"Daripada siasatan awal, kami mendapati kejadian membabitkan dua suspek yang bersenjatakan parang dan melarikan emas. Namun, belum ada makluman jika ada penggunaan senjata api lain.
"Maklumat lanjut belum diperoleh daripada ketua polis daerah dan kami akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan perompak seolah-olah mengetahui pembekal emas membawa barang berharga dan meletakkan kenderaan di bahagian belakang premis. Rakaman CCTV itu juga turut tular di media sosial.
Sementara itu, pengurus kedai emas berkenaan, Noorhasliza Abd Rahman berkata, rompakan yang membabitkan dua pembekal emas dan berlaku di luar premisnya.
"Jika dilihat jenayah itu seolah-olah sudah lama dirancang. Mereka memaklumkan kejadian itu kepada kami dan kejadian dirakam melalui CCTV. Malah laporan polis sudah dibuat untuk tindakan lanjut," katanya.
Peniaga makanan di Medan Selera Jalan Pasar Rabu berkata, perompak berkenaan sangat berani kerana melakukan jenayah pada siang hari dan ketika orang sedang ramai.
Dia yang enggan dikenali berkata, lokasi kejadian sangat dekat dengan premisnya berniaga, namun tidak menyedari kejadian itu kerana ia berlaku dengan pantas.
"Tiada apa-apa bunyi yang mencurigakan. Ketika kejadian kami sedang melayan pelanggan yang datang makan tengah hari dan tidak menyedarinya berlaku dan hanya mengetahui kejadian ini selepas polis ke kawasan ini.
"Jika dilihat dari rakaman CCTV itu, mereka ini seolah-olah sudah mengetahui lokasi dan masa pembekal emas membawa barang berharga itu ke kedai emas. Malah mereka memang nekad melakukannya pada siang hari di kawasan terbuka," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/XP5Thlb
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/BJ9YiOv
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment