loading...

Sunday, 15 January 2023

'Kalau nak pindah nanti, jangan guna servis lori ni' - Wanita dakwa di-scam pemandu lori, nyaris rugi beratus ringgit



"Jangan guna perkhidmatan syarikat lori ini, kalau nak berpindah nanti," demikian kata wanita yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan syarikat perkhidmatan lori, pada 11 Januari lalu melalui hantarannya di Facebook. 


Dua hari sebelum itu, pengadu telah menghubungi syarikat perkhidmatan lori tersebut. Setelah berbincang, pengadu bersetuju menggunakan khidmat lori satu tan dengan dua pekerja untuk memindahkan barangannya ke rumah baharu dengan bayaran RM250. 


Difahamkan, pengadu mengetahui mengenai syarikat itu melalui Facebook dan bersetuju menggunakan perkhidmatan mereka setelah membaca maklum balas daripada pengguna sebelum ini. 


Malangnya pada hari kejadian, lori yang datang bukanlah lori satu tan. Sebaliknya lori lima tan yang muncul di depan kediamannya. 


"Saya pun hairan, kenapa lori lebih besar pula datang, bukannya lori satu tan tetapi lori lima tan. 


"Pemandu lori menjelaskan, selepas selesai memunggah dan memindahkan barang saya, mereka akan terus buat kerja yang seterusnya. Kiranya sekali jalanlah. 


"Jadi, saya pun teruskan saja tanpa bertanya banyak soalan. Maka bermulalah dramanya di situ," katanya. 


Jelas pengadu, dia tidak mempunyai barang yang banyak. Apa yang dibawa hanyalah seperti mesin basuh 9.5 kilogram, meja solek, meja dengan dua kerusi, tilam saiz king dan beberapa kotak kecil yang mengandungi barangan peribadi. 


Selepas semua barangan besar dimasukkan ke dalam lori, pengadu dimaklumkan bahawa hanya barangan itu sahaja yang muat bagi lori satu tan (rujuk gambar). 


"Saya terkejut sebab seingat saya pada kali terakhir berpindah, lori satu tan masih boleh muat banyak barang. Selepas kami berbincang, pemandu lori minta saya upgrade kepada lori dua tan. Saya pun setuju saja sebab saya memang nak pindah dan tiada masa untuk mencari lori lain. 


"Kemudian saya bertanya berapakah harga untuk lori dua tan. Dia kata dengan berlagaknya, "Double lah!", yang mana kosnya adalah sebanyak RM500. Saya pun redha lah. 


"Tiba-tiba selepas semua barang dibawa turun, pemandu itu sekali lagi kata lori dua tan dah penuh, tak muat untuk sumbat barang lain. Dia meminta saya upgrade lagi. 


"Saya dah macam, kau biar betik? Saya dah mula hilang sabar dan tegaskan bahawa dia tak boleh buat saya begini. Macam mana nak tahu lori satu atau dua tan dah penuh kalau dia yang bawa lori lima tan datang ke rumah dan kemudian bising cakap dah penuh?" katanya. 


Selepas bertekak di depan rumah, pengadu membuat aduan mengenai perkara itu kepada pihak pengurusan syarikat lori itu. Namun sia-sia kerana pegawai yang bertanggungjawab didakwa berlagak dan biadab sehingga menyebabkan pengadu terpaksa bergaduh dengan mereka. 


Disebabkan tiada jalan penyelesaian, akhirnya semua barangan pengadu dikeluarkan semula dan pemandu lori itu beredar begitu sahaja. 


"Saya memang tidak sarankan servis syarikat perkhidmatan lori ini. Bila dah baca feedback pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka di Google Reviews. Rupanya ramai yang menerima nasib sama seperti saya. Ada yang kena scam sampai RM1,000+. 


"Kalau ada yang tak kisah nak bayar mahal, teruskan saja. Tetapi saya kisah," katanya. 


Sumber: Facebook pengadu



from The Reporter https://ift.tt/JhUwTpR
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/SIz7vGP
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...