Peningkatan jumlah kes baharu Covid-19 semalam ternyata mengundang kebimbangan orang ramai sehingga timbul spekulasi yang mengatakan perayaan Hari Raya tahun ini akan turut terjejas.
Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali memberi jaminan tiada pelaksanaan total lockdown, rakyat masih berasa sangsi.
Bagi mengurangkan kesangsian itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sekali lagi tampil memberi penjelasan bahawa gelombang varian Omicron dijangka turun dalam tempoh sebulan dua lagi sekali gus membolehkan sambutan Aidilfitri pada awal Mei depan tanpa sebarang sekatan pergerakan.
Bagaimanapun katanya, itu semua bergantung kepada rakyat sendiri sama ada mahu terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) termasuklah mengambil dos penggalak (booster) dan mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka.
"Ini semua tentang tingkah laku. Saya tahu ramai risau tentang raya dan sebagainya. Tetapi jika kita memainkan peranan penting, dapatkan dos penggalak, vaksin anak-anak, kita jangka akan dapat stabilkan pandemik dalam masa sebulan atau dua bulan lagi.
"Kalau Omicron dapat diturunkan, Selamat Hari Raya Aidilfitri," katanya semalam dalam sidang media khas di Putrajaya.
Dalam pada itu juga, Khairy menafikan dakwaan liar di media sosial kononnya peningkatan kes harian secara mendadak merupakan satu konspirasi untuk menghalang sambutan perayaan Hari Raya. Sebaliknya, dia menegaskan negara-negara lain turut berdepan dengan peningkatan kes baharu disebabkan gelombang Omicron.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/aczvYuh
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/k9meKhf
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment